Jumaat, 26 Januari 2018 | 7:05am
PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama rakan sejawatannya Narendra Modi (dua dari kanan) serta Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong (kiri), Presiden Indonesia Joko Widodo (dua, kiri) dan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (kanan) sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India. - Foto BERNAMA

ASEAN-India: Kebersamaan nilai, masa depan

HARI ini 1.25 bilion rakyat India akan menjadi tuan rumah kepada 10 ketua negara ASEAN ketika sambutan Hari Republik India di New Delhi. Semalam, saya berkesempatan untuk menjadi hos kepada pemimpin ASEAN sempena sidang peringatan 25 tahun kerjasama ASEAN-India.

Kehadiran mereka bersama kita adalah isyarat hubungan baik dari negara ASEAN yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Maklum balas daripada ini, pada pagi musim sejuk ini, India mengalu-alukan nilai persahabatan ini.

Ini bukan acara biasa. Ia adalah bersejarah yang meletakkan perjalanan bersama India dan ASEAN dalam memperkasakan kerjasama yang bermakna untuk 1.9 bilion populasinya iaitu kira-kira satu perempat daripada jumlah penduduk di dunia.

Hubungan kerjasama India-ASEAN mungkin hanya berusia 25 tahun, tetapi hubungan India dengan Asia Tenggara bermula sejak lebih dua milenia lalu. Ia terbentuk melalui persahabatan dan keamanan, seni budaya dan agama, bahasa dan kesusasteraan dan hubungan inilah yang diterjemahkan dalam nilai kepelbagaian India dan Asia Tenggara melalui hubungan unik antara rakyat kita bersama.

Hubungan semula jadi dengan timur

Lebih dua dekad lalu, India membuka pintunya kepada dunia dan perubahannya. Interaksi yang berabad-abad lamanya menjadikan hubungan itu semula jadi dengan timur. Maka bermulalah perjalanan baharu integrasi semula India dengan Timur.

Bagi India kebanyakan rakan kongsi dan pasaran utama kami, dari ASEAN hingga Asia Timur hingga Amerika Utara, terletak di timur. ASEAN dan Asia Tenggara yang juga jiran kami melalui darat dan laut menjadi batu loncatan kepada dasar pandang ke Timur hingga kepada Akta Polisi Timur dalam tempoh tiga tahun lalu.

ASEAN dan India berkembang daripada hanya rakan dialog kepada rakan strategik. Kita perkasakan kerjasama itu melalui 30 mekanisme. Hubungan kita dengan anggota ASEAN berkembang dari segi kerjasama diplomatik, ekonomi dan keselamatan. Kita bekerjasama memastikan laut kita selamat dan terjaga.

Dagangan dan pelaburan kita meningkat berkali ganda. ASEAN adalah rakan dagang keempat terbesar India dan India rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN. Lebih 20 peratus pelaburan luar mengalir ke ASEAN. Diketuai Singapura, ASEAN adalah sumber pelaburan utama India. Perjanjian Perdagangan Bebas India di rantau ini adalah paling lama dengan cita-cita tinggi di mana-mana sahaja.

Hubungan udara pula berkembang pesat dan kami memanjangkan lebuh raya hingga tengah benua Asia Tenggara dan ini diberi keutamaan. Pertumbuhan jaringan akses ini menjadikan kita lebih dekat. Ia juga meletakkan India sebagai sumber pelancongan yang membangun pesat di rantau Asia Tenggara. Lebih daripada enam juta diaspora India di rantau ini, berakarkan kepelbagaian dan dinamik, membentuk hubungan yang lebih rapat.

Hubungan kotemporari antara India dan Malaysia adalah meluas dalam banyak kawasan. Malaysia dan India berkongsi kerjasama strategik dan kita bekerjasama dalam pelbagai forum pelbagai hala dan serantau. Diaspora India yang ramai di Malaysia pula mendekatkan lagi hubungan itu. Kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke India pada 2017 juga memberikan impak signifikan kepada hubungan dua hala.

Malaysia muncul sebagai rakan dagangan ketiga terbesar India dalam ASEAN dan menjadi pelabur penting. Dagangan dua hala antara India dan Malaysia meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 10 tahun. India dan Malaysia mempunyai Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif dua hala sejak 2011. Perjanjian ini amat unik kerana kedua-dua pihak menawarkan komitmen ASEAN Plus dalam bentuk dagangan barangan dan menerima tawaran WTO Plus dalam perkhidmatan dagangan.

Perjanjian Kajian Mengelak Cukai Berganda antara dua negara yang ditandatangani pada Mei 2012 dan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama kastam ditandatangani pada 2013 pula memudahkan kerjasama dagangan dan pelaburan.

India dan ASEAN melakukan lebih daripada itu. Kerjasama kita dalam institusi diterajui ASEAN seperti Sidang Kemuncak Asia Timur, Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN Plus (ADMM-Plus) dan Forum Serantau ASEAN (ARF) memperkasakan keamanan dan kestabilan di rantau ini. India juga menyertai Perjanjian Kerjasama Komprehensif Ekonomi Serantau bagi mencari perjanjian yang menyeluruh, seimbang dan adil bagi 16 negara terbabit.

Bebas sebarang persaingan

Kekuatan dan daya tahan kerjasama itu bukan daripada angka, tetapi hubungan di sebaliknya. India dan ASEAN bebas daripada sebarang persaingan dan tuntutan. Kita mempunyai visi yang sama untuk masa depan yang disandarkan di atas komitmen inklusif dan integrasi, kepercayaan ke atas kedudukan kedaulatan semua pihak dan menyokong laluan perdagangan yang bebas dan terbuka.

Kerjasama ASEAN-India akan terus berkembang. Dengan anugerah demografi, keperluan dan dinamik serta kematangan ekonomi yang pesat, India dan ASEAN akan membina kerjasama ekonomi yang kukuh. Hubungan akan lebih dekat dan dagangan akan berkembang.

Pada era federalisme yang kompetitif di India, negara kami juga membina hubungan kerjasama produktif dengan negara rantau Asia Tenggara. Timur Laut India kini di laluan kebangkitan. Hubungan dengan Asia Tenggara akan mempercepatkan pembangunannya. Utara-Timur itu akan menjadi jambatan bagi hubungan ASEAN-India dalam impian kita.

Sebagai Perdana Menteri, saya sudah hadir Sidang Kemuncak ASEAN-India dan Sidang Kemuncak Asia Timur tahunan sebanyak empat kali. Kehadiran ini meyakinkan saya kepada kesatuan ASEAN yang menjadi pusat dan kepemimpinan membentuk visi di rantau ini.

Tahun ini adalah tahun yang bersejarah. India menyambut usia 70 tahun pada 2017. ASEAN pula mencapai ulang tahun ke-50. Kita boleh melihat masa depan bagi kedua-dua pihak dengan penuh optimis dan kerjasama dengan penuh keyakinan.

Pada usia 70 tahun, India memancarkan semangat, menggunakan tenaga penduduknya yang muda. Sebagai ekonomi berkembang pesat di dunia, India menjadi batasan hadapan bagi peluang global dan pemacu kestabilan dalam ekonomi global. Masa yang berlalu menyaksikan ia semakin mudah untuk menjalankan perniagaan di India. Saya berharap negara ASEAN, selaku jiran dan rakan, mengambil bahagian dalam transformasi baharu India.

Kami memandang tinggi perkembangan ASEAN. Dilahirkan ketika Asia Tenggara melalui peperangan dan rantau itu dalam ketidaktentuan. ASEAN menyatukan 10 negara anggota di bawah matlamat dan masa depan yang sama.

Teruskan cita-cita

Kita mempunyai potensi untuk meneruskan cita-cita lebih tinggi dan menangani cabaran ketika ini dari urbanisasi dan infrastruktur kepada pertanian berdaya tahan dan planet yang sihat. Kita juga boleh menggunakan kuasa teknologi digital, inovasi dan peningkatan hubungan untuk mengubah kehidupan dalam skala dan kelajuan yang tidak pernah dicapai.

Masa depan yang dijanjikan memerlukan keamanan utuh. Ini adalah era perubahan, gangguan dan peralihan yang amat jarang sekali dalam sejarah. ASEAN dan India mempunyai banyak peluang, juga tanggungjawab besar, untuk mencartakan laluan yang kukuh dalam ketidaktentuan dan cabaran masa kini kepada masa depan terjamin dan aman untuk rantau ini dan dunia.

India selalu memandang ke timur untuk melihat cahaya dan peluang. Sekarang seperti mana masa lampau, timur atau rantau Indo Pasifik digunakan sebaiknya untuk masa depan dan kebersamaanya dengan ASEAN.

Kerjasama ASEAN-India akan memainkan peranan penting untuk kedua-dua pihak. Di Delhi, ASEAN dan India akan menyatakan semula ikrar ke hadapan ini.

Penulis adalah Perdana Menteri India

138 dibaca
Berita Harian X