Khamis, 25 Januari 2018 | 6:51am
ISTANA Negara. - Foto Saifullizan Tamadi.

Kesatuan bangsa Melayu patut jadi agenda utama

SEJARAH membuktikan bahawa kegemilangan umat Melayu akan wujud apabila bangsa ini bersatu dalam kesatuan yang kukuh. Kegemilangan empayar Melaka berada di puncak apabila kerjasama antara pemerintah dengan rakyat dan kesatuan rakyat yang majoritinya Melayu dalam keterikatan terhadap bangsa sendiri kukuh.

Di samping itu, sistem pemerintahan tersusun, diterima pakai sebagai suatu budaya yang perlu didukung bersama. Kesatuan dalam kalangan elit pemerintah turut menjadi penyumbang kepada terbinanya kesatuan dalam kalangan bangsa Melayu ketika era kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka.

Dalam konteks perbincangan ini, kerajaan Melayu Melaka menjadi rujukan penulis kerana wujud bahan rujukan bertulis boleh dirujuk oleh kita semua.

Dalam pengkisahan sejarah Melaka menerusi teks Sulalatus Salatin yang diselenggara oleh A Samad Ahmad menunjukkan, pada era kegemilangan Melaka bukan tidak wujud perselisihan pendapat, perebutan pengaruh dan berbeza cara berfikir pembesar Melayu ketika itu. Misalnya, perebutan pengaruh antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja boleh menjejaskan kesatuan Melayu dan pentadbiran kerajaan ketika itu.

Kebijaksanaan Sultan Muzaffar Syah menyelesaikan konflik kepentingan dengan cara terbaik dan terhormat, dapat mengelakkan pertikaian antara pengikut dua pembesar itu. Kesatuan umat Melayu dapat dipertahankan dan keutuhan pentadbiran dapat dikekalkan.

Melaka kerajaan kuat

Keutuhan pentadbiran dan kesatuan Melayu mewujudkan suasana tenang dalam pentadbiran Bendahara Paduka Raja sehingga berjaya mentadbir empayar Melaka yang meliputi Majapahit, Pasai dan Melaka sendiri. Kesejahteraan daripada pemuafakatan pembesar yang menaungi pengikutnya, menjadikan Melaka kerajaan kuat di dalam dan juga luaran sehingga dapat mematahkan ancaman daripada Kerajaan Siam.

Malang sekali, kemakmuran dan kegemilangan yang membawa kesenangan menjadikan pembesar Melaka alpa dan asyik dengan kuasa yang boleh menjadikan mereka kaya-raya. Ketamakan terhadap kuasa menyebabkan mereka terjebak dengan politik wang, rasuah dan fitnah sesama sendiri.

Laksamana Hang Tuah yang taat dan setia kepada raja difitnah ada hubungan sulit dengan dayang Raja. Akibatnya, kewibawaan Hang Tuah terkubur bersama sistem pemerintahan yang baik. Propaganda fitnah berleluasa di samping rasuah dan salah guna kuasa, menjadikan negara tidak lagi dapat berfungsi dengan sewajarnya.

Jawatan dan tanggung jawab diberi kepada orang yang salah. Akhirnya, Kerajaan Melayu Melaka yang hebat jatuh ke tangan kuasa asing, yakni Portugis pada 1511. Hakikat sejarah, sama ada kita suka atau tidak akan sentiasa berulang dengan dimainkan oleh watak dan latar masa berbeza.

Subjeknya adalah bertumpu kepada sumber yang membolehkan seseorang memperoleh kesenangan, pengaruh dan kuasa politik.

Demi menebus kembali kegemilangan, seluruh bangsa Melayu harus bersatu memperjuang nasib di bumi bertuah ini agar kelangsungannya terus berkekalan. Perjuangan menegak bangsa ini memerlukan keyakinan, cinta dan semangat juang. Ketiga-tiga ini menentukan untung nasib umat Melayu pada masa kini dan akan datang.

Cinta kepada bangsa

Keyakinan terhadap perjuangan membina motivasi kukuh kepada individu untuk tetap berada dalam perjuangannya. Keyakinan membentuk kepercayaan bagi seseorang menjadi pengikut yang setia. Kepercayaan yang utuh terhadap parti, dasar parti dan juga kepemimpinan menjadi prasyarat pertama untuk seseorang itu kekal menjadi anggota suatu parti. Tiada kekuatan yang melebihi keyakinan.

Keyakinan yang tidak berserta cinta juga tidak lengkap bagi membolehkan seseorang itu tetap dalam perjuangannya. Cinta kepada bangsa akan tercetus apabila seseorang menghayati sejarah asal-usul bangsanya. Rentetan peristiwa yang sepanjang sejarah yang meliputi citra awal, perkembangan, kegemilangan, kemunduran, kebangkitan semula penting untuk seseorang mengenal bangsanya.

Dalam konteks ini, umat Melayu perlu mengimbas kembali sejarah maju mundur bangsanya dalam sejarah tamadun manusia. Perasaan cinta kepada bangsa menjadikan seseorang tidak mengkhianati perjuangan memajukan bangsanya. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan bangsa ditindas oleh mana-mana pihak. Cinta kepada bangsa sendiri bukan suatu yang negatif asal kita tidak memusuhi bangsa lain.

Demi mencapai keamanan hidup bernegara berpaksikan Rukun Negara, keharmonian hidup bersama dalam satu negara perlu dipertahankan. Tanpa keamanan, kemajuan dan kesejahteraan bangsa Melayu itu tidak tercapai. Dengan wujudnya cinta kepada bangsa Melayu khususnya, segala dasar dan rancangan baik perlu disokong demi kesejahteraan bersama.

Keyakinan yang mantap terhadap apa yang dipercayai, ditambah dengan rasa cinta terhadap parti dan bangsa menghasilkan semangat juang tinggi bagi menjayakan cita-cita bangsa Melayu. Pemikiran yang terbinanya keyakinan bersama cinta yang murni terhadap bangsa Melayu menjadikan seseorang itu sanggup berjuang memenangkan cita-cita bangsanya.

Matlamat ini, seharusnya tidak tertumpu kepada kemenangan dalam pilihan raya sahaja, tetapi perlu diteruskan selagi hayat dikandung badan demi kelangsungan bangsa Melayu seluruhnya.

Hakikatnya, perahu sudah di air, dayung pula sudah di tangan, hanya menunggu tindakan seluruh umat Melayu berfikir dan bertindak selaras dengan kepentingan bangsanya. Melayu perlu mengenepikan perbezaan remeh dengan bermuafakat membina suatu agenda tuntas yang dapat diterima secara mutlak berdasarkan kosmologi bangsa ini.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Sosio Budaya, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

601 dibaca
Berita Harian X