;
Rabu, 24 Januari 2018 | 6:37am
PULAU dayang bunting, Langkawi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Langkawi makin hilang keaslian landskap

KEDAH dan negara beruntung dianugerahkan dengan Kepulauan Langkawi yang luar biasa keindahan landskapnya, unik warisan geologi dan biologinya, serta kaya dengan budaya dan tradisi penduduknya. Atas rahmat kurnian Ilahi ini, pada 2007, Langkawi mendapat gelaran UNESCO Global Geopark, pertama di Malaysia dan di Asia Tenggara.

Pengiktirafan global ini ialah lambang kualiti dan keistimewaan 99 gugusan pulau legenda ini, pada masa sama, menjadi tanggungjawab komuniti setempat dan pemimpin kerajaan untuk memulihara keasliannya.

Hari ini, Langkawi menjadi destinasi pelancong paling popular di Malaysia. Kedatangan lebih 3.5 juta pelancong setiap tahun menjadi sumber kehidupan komuniti setempat dan pemain industri pelancongan. Tiga tapak pelancongan paling ramai dikunjungi pelancong ialah Kambria Machincang Geoforest Park (landskap batuan paling tua di Malaysia); Kilim Kars Geoforest Park (pemandangan batu kapur kars tropika terindah di dunia) dan Dayang Bunting Marmar Geoforest Park (tasik dolina paling unik di negara ini).

Daya tarikan sebenar pelancong ialah keunikan, keistimewaan dan keindahan landskap dan warisan alami, bukannya prasarana buatan manusia. Untuk membawa pelancong ke Langkawi, kita perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti sistem pengangkutan, produk tarikan pelancong, hotel dan resort, makanan dan pelbagai produk tempatan sebagai tanda hati.

Pada masa ini, Langkawi menyediakan semua kemudahan ini dengan cemerlang. Begitupun, secara falsafahnya, kemudahan ini ialah keperluan asas bagi menjayakan aktiviti pelancongan, tetapi jangan sekali memusnah atau mengganggu warisan tabii dan keaslian landskap, iaitu sumber asas daya tarikan pelancong ke Langkawi.

Kami perhatikan, pembangunan awal memberikan perhatian tinggi kepada aspek keaslian landskap tabii ini. Kebanyakan resort dibina di kawasan strategik, tidak melebihi empat tingkat, bersesuaian dengan topografi dan di celah-celah hutan rimba atau pesisir pantai. Pelancong yang datang berasa kagum dan bangga dengan usaha pengekalan keaslian topografi dan keindahan alam sehingga menjadi bahan mulut untuk diceritakan kepada rakan potensi pelancong akan datang.

Inilah pendekatan terbaik dan paling berkesan untuk meningkatkan kedatangan pelawat dan kelestarian pelancongan.

Sejak akhir ini, keadaan mulai berubah. Bangunan tinggi yang mengubah keaslian landskap berkembang bagaikan cendawan tumbuh. Pemotongan bukit dan reka bentuk bangunan yang tidak harmoni dengan landskap tabii dibangunkan seperti tiada berkesudahan. Isu kekurangan bekalan air bersih, kebersihan kawasan dan kesihatan alam sekitar mulai muncul dan bakal menjadi semakin serius.

Komuniti setempat dan pelancong mulai menyuarakan kegelisahannya. Kami dimaklumkan, sudah ada suara pelancong yang berkunjung setiap tahun menyatakan dengan tegas, 'saya suka ke Langkawi, tapi ini kali terakhir saya ke sini, keadaan sudah tidak seperti dahulu'.

Geoforest Park baharu

Satu-satunya aset paling penting dan berharga di Langkawi ialah hutan simpan kekal yang meliputi hampir 50 peratus guna tanah kepulauan ini. Apabila kita wujudkan global geopark, sebahagian daripada hutan simpan ini diangkat statusnya menjadi Geoforest Park iaitu kawasan pemuliharaan yang menggabungkan keistimewaan warisan biologi, geologi dan landskap tabii.

Untuk memperluaskan pendekatan pemuliharaan dan pelancongan, kami juga sedang berusaha memperkenalkan Gunung Raya sebagai Geoforest Park baharu.

Daya tarikan keindahan alam terawal ialah Pekan Kuah. Ia adalah sebuah teluk yang dilindungi oleh Pulau Dayang Bunting, Pulau Tuba dan puluhan pulau kecil lain. Oleh kerana keadaan geografinya, ia menjadi tapak pertempatan dan kawasan pelabuhan terawal yang membina sejarah Kepulauan Langkawi.

Pembangunan beberapa kemudahan awam untuk pelancong seperti Dataran Helang dan Taman Lagenda amat tepat dan memberikan ruang kepada pelancong menikmati keindahan dan mengenali sejarah kepulauan ini. Perancangan membuat tambakan secara meluas di tapak bersejarah ini adalah tindakan kurang bijak, satu kesilapan besar dan mungkin permulaan kepada kemusnahan ekosistem kepulauan Langkawi.

Ekosistem pulau berbeza dengan daratan. Ia dipengaruhi interaksi laut dan daratan, khususnya proses ombak dan pasang surut. Apa yang dilihat pada masa ini ialah keadaan keseimbangan, dimana proses hakisan yang membentuk pulau dan pantai batuan dan pantai berpasir serta berlumpur.

Sumber makanan laut sebagai mata pencarian nelayan tempatan juga dipengaruhi oleh ekosistem pesisiran ini. Sebarang perubahan terhadap kawasan pesisir, khususnya tambakan laut secara besar-besaran akan mengubah keseluruhan hidrologi lautan, mengubah regim hakisan dan pemendakan, selanjutnya boleh memusnahkan pelbagai prasarana sedia ada dan ekologi di pesisir pantai.

Ketika diisytiharkan sebagai UNESCO Global Geopark, bersamanya disertakan Pelan Pembangunan Langkawi Geopark, iaitu garis panduan pembangunan ke arah kelestarian. Pelan ini memberi perhatian kepada kepentingan pemuliharaan kawasan berpandangan indah dan tapak warisan alam, pembangunan eko dan geopelancongan untuk pertumbuhan ekonomi, dan pembangunan masyarakat tempatan iaitu khalifah bumi Langkawi.

Pembangunan besar-besaran yang hanya untuk kepentingan individu atau kelompok kecil tidak termasuk dalam rancangan geopark. Kita amat sedar pengusaha dan peniaga hanya berhasrat untuk meraih faedah dan keuntungan terbesar daripada peluang yang ada bagi mereka dan organisasinya, tetapi pemimpin perlu bertanggungjawab menjaga kesihatan alam sekitar dan melindungi kepentingan masyarakat setempat.

Berilah perhatian kepada agenda pembangunan lestari, khususnya dari perspektif pemuliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti watan, sebelum nasi menjadi bubur.

Penulis adalah Penasihat, Langkawi UNESCO Global Geopark; Felo Utama, Pusat Penyelidikan Langkawi, UKM

2702 dibaca
Berita Harian X