;
Isnin, 22 Januari 2018 | 7:55am
PENGUNDI Cina di Sungai Besar membentuk sehingga 30 peratus daripada keseluruhan pengundi. - Foto fail NSTP

Memahami pengundi Cina

SAYA masih baru dalam politik dan menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Selangor sejak 2013 sebelum menang dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Sungai Besar selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Noriah Kasnon dalam kemalangan helikopter di Sarawak pada Mei 2016.

Dalam tempoh itu, saya cuba belajar mengenai komunikasi politik dan memahami geo-politik khususnya dalam kalangan pengundi di kawasan yang saya wakili. Saya menziarahi mereka apabila berlaku kematian, majlis perkahwinan serta kerap ngopi bersama pagi dan petang. Pengundi Cina mengenali saya dengan panggilan 'Aman', berbanding Budiman.

Pengundi Cina di Sungai Besar membentuk sehingga 30 peratus daripada keseluruhan pengundi. Dalam pengamatan saya yang setahun jagung ini, masyarakat Cina amat sensitif dan sentiasa mengikuti perkembangan politik. Walaupun mereka hanya penjual ikan atau peniaga buah tepi jalan, pembacaan politik mereka begitu realistik dan biasanya dipengaruhi oleh surat khabar yang dibaca.

Di pasaran sekarang, ada lima akhbar berbahasa Cina yang menjadi rujukan. Boleh disimpulkan, mereka sangat bersatu hati, terutama dalam soal pendidikan dan bahasa.

Faktor itu yang sekian lama mengikat mereka sebagai kumpulan pengundi kedua terpenting selepas Melayu-Bumiputera. Masyarakat Cina tahu satu undi adalah tidak ternilai harganya. Undi mereka sukar dibeli dengan apa cara sekalipun.

Orang Cina tidak gemar ucapan yang panjang berjela, sarat dengan propaganda dan pujian menggunung. Mereka mahu ucapan yang ringkas, padat dan menjaga kepentingan mereka. Mereka juga tidak suka jika ada pemimpin yang lewat hadir ke program mereka.

Selain itu, mereka tidak gemar pemimpin yang menunjuk-nunjuk kekayaan. Lazimnya, majoriti mereka adalah jutawan senyap. Mereka mahu pemimpin yang dirasakan boleh membantu. Hasilnya adalah soal kedua. Usaha membantu itu yang utama. Mereka juga tidak mahu sumber pendapatan mereka terancam.

Oleh sebab itu, pengalaman saya bersama pesawah, nelayan dan peniaga, kami akan kerap berbincang dan berunding dan mencari jalan penyelesaian jika sesuatu isu membabitkan punca pendapatan mereka. Contoh isu bot nelayan dan pemutuan padi.

Umumnya kepentingan politik masyarakat Cina berkisar kepada tiga hal utama, iaitu pendidikan Cina, akhbar Mandarin dan sosioekonomi mereka seperti NGO, keturunan, persatuan perniagaan dan kebajikan.

Isu pendidikan dan bahasa nyata menjadi kesedaran bersama yang boleh bertukar menjadi daya pendesak yang kuat. Dalam soal ini, ia membabitkan segenap lapisan masyarakatnya daripada golongan sarjana, ahli politik, tokoh sosial mahupun rakyat biasa.

Di Singapura, sekolah Cina, media dan pengajian Cina di Universiti Nanyang sudah dihapuskan lebih 30 tahun dulu. Keadaan sedikit berbeza apabila Perdana Menteri Singapura, baru-baru ini mengisytiharkan penubuhan semula sekolah dan pengajian Tionghua. Keputusan itu rentetan bangkitnya tanah besar China dalam pelbagai bidang pada peringkat antarabangsa.

Kepelbagaian dalam kesatuan

Di negara ini pula, kita berjaya mengekalkan apa yang menjadi kebanggaan masyarakat Cina iaitu pendidikan dan bahasanya. Dasar kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sejak merdeka adalah bersikap liberal terhadap pendidikan vernakular.

Nampaknya berbanding Singapura sekalipun, kita lebih konsisten membenarkan pendidikan bahasa ibunda. Malah, Malaysia satu-satunya negara Asia Tenggara yang mengamalkan pelbagai bahasa atau multi-lingustic.

Kesedaran akan makna diversity in unity atau 'kepelbagaian dalam kesatuan' sudah menjamin keamanan dan kedamaian bangsa Malaysia.

Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung MCA pada 12 Oktober 2014, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, 'tolong jangan bimbang mengenai sekolah Cina kerana ia sudah dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara. Malah ia termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara.'

Pada waktu sama, usaha untuk menguasai subjek Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah jenis kebangsaan harus sentiasa diperkemaskan.

Pensyarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Teo Kok Seong mendedahkan berdasarkan hasil kajian dalam kalangan 14,000 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 79 kem seluruh negara pada 2010, sejumlah 604 pelatih kaum Cina dan India langsung tidak boleh bercakap bahasa kebangsaan.

Beliau segera menyarankan supaya pembelajaran bahasa secara integrasi seperti dalam kalangan etnik Cina Kelantan perlu diperluaskan di semua negeri. Ulasan Dr Teo, 'penguasaan bahasa dalam bentuk loghat tempatan didapati berjaya membentuk suasana etnik Cina dan Melayu sebagai rakan sekutu, bukannya individu asing-asing dalam proses komunikasi dan interaksi yang berlaku.'

Saya secara peribadi juga berasakan kemahiran berbahasa Melayu mesti dipertingkatkan dalam kalangan etnik Tionghua. Prinsipnya mudah, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Bahasa Melayu tidak dapat tidak wajar menjadi bahasa perpaduan.

Tulisan ini diharap dapat memberi sedikit pencerahan dalam memahami sensitiviti masyarakat Tionghua. Usaha mendesak supaya pendidikan dan bahasa mereka dihapuskan demi kononnya mahu mewujudkan asimilasi seperti di Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina tentu sesuatu yang di luar kerangka persefahaman sedia ada.

Dasar kerajaan BN sudah terbukti bertahan diuji zaman. Pada masa sama, saya berharap masyarakat Cina sendiri cekal menyokong dan berusaha untuk sama-sama memantapkan penguasaan bahasa Melayu. Bukan sahaja melalui pembelajaran di sekolah jenis kebangsaan, tetapi juga sebagai bahasa basahan harian kita.

Di situ ada pepatah Cina berbunyi "jika kau merancang untuk satu tahun, tanamlah padi; jika kau merancang untuk 100 tahun; didiklah manusia."

Ayuh bangkit bersama! Sejahtera Malaysia.

Penulis adalah Ahli Parlimen Sungai Besar

1022 dibaca
Berita Harian X