Rabu, 27 Disember 2017 | 8:21am
SEKUMPULAN remaja dipercayai menghidu gam atas bumbung sebuah bangunan kedai di Kampung Air, Kota Kinabalu, yang viral di laman sosial pada tahun lalu. Foto Media sosial

Segerakan akta penyalahgunaan inhalan maut

PADA 2000, tiga kematian membabitkan remaja, berumur 14, 18 dan 20an kerana menghidu gam beracun dilaporkan oleh akhbar tempatan. Pada 2007, dua kanak-kanak, berusia 7 dan 9 tahun ditemui tidur di atas kotak dan berhampiran mereka dijumpai gam tayar. Mereka dipercayai menghidu gam. Kedua-dua insiden ini sudah lama berlaku.

Saya mengambil contoh yang lama ini kerana ingin menunjukkan bahawa gejala dan masalah ini sudah sekian lama menjadi perhatian, tetapi kita belum dapat menyelesaikannya, bahkan semakin hari semakin menular dan amat membimbangkan.

Sehingga kini tabiat menghidu gam dalam kalangan remaja, bahkan kanak-kanak semakin membarah. Perbuatan ini dilakukan tidak mengira tempat, termasuk ketika persekolahan atau dalam kawasan sekolah.

Keadaan ini menyedihkan negara. Negara mengharapkan generasi yang sejahtera seperti Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menyatakan bahawa, 'Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini bagi melahirkan rakyat Malaysia berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara'.

Namun, sekiranya gejala menghidu gam dalam kalangan murid dan pelajar tidak ditangani dengan baik, maka sukar untuk kita menikmati aspirasi pendidikan negara yang diidamkan. Dalam keadaan ini, penguatkuasaan disiplin hendaklah disokong oleh ibu bapa, Persatuan Ibubapa dan Guru serta masyarakat sekitar.

Buka pintu penagihan dadah

Kesan menghidu gam ini bukan sahaja bahaya kepada pelakunya, tetapi juga buruk kepada keadaan sosial masyarakat kerana ia boleh menyebabkan perbuatan luar kawalan, dan juga kematian. Dalam kalangan murid atau pelajar, ia akan menjadi faktor kepada gejala ponteng sekolah dan membuka pintu kepada penagihan dadah atau juga jenayah lain.

Dari segi perundangan, ramai yang menyuarakan pandangan supaya perbuatan menghidu gam ini dijadikan suatu jenayah di bawah undang-undang berkaitan dadah seperti Akta Dadah Berbahaya 1952 atau Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Gesaan sudah lama dibuat untuk diwujudkan undang-undang atau peraturan khusus bagi mengambil tindakan perundangan ke atas penghidu gam, sama ada dalam bentuk undang-undang jenayah atau pemulihan.

Pada 2007, PEMADAM pernah mencadangkan supaya suatu Akta khusus untuk menangani gejala ini. Akta Dadah Berbahaya tidak boleh digunakan ke atas penghidu gam kerana gam tidak termasuk di bawah definisi 'dadah' mengikut seksyen2Akta Dadah Berbahaya 1952. Sehingga kini undang-undang yang paling relevan dalam menangani perbuatan menghidu gam ini ialah Akta Racun.

Perbuatan itu boleh dikategorikan sebagai suatu kesalahan penyalahgunaan racun di bawah Akta Racun.

Akta Racun digubal dan mula berkuat kuasa sejak 1952 bertujuan mengawal pengimportan, pemilikan, pengeluaran, penjualan dan penggunaan racun.

Menurut Seksyen2Akta ini, 'racun' bermaksud bahan yang dinamakan dan disenaraikan dalam senarai racun, termasuk apa juga campuran, sediaan, larutan atau berbentuk asli yang mengandungi bahan berkenaan.

Seksyen yang relevan dalam hal berkaitan penyalahgunaan gam ialah Seksyen 30 Akta Racun, secara spesifiknya seksyen 30(3) yang memperuntukkan, antara lain, bahawa sebarang perbuatan mengimport, mengeksport, mengilang, menjual, membekalkan, memiliki atau menggunakan apaapa bahan psikotropik yang tidak mematuhi peraturan adalah melakukan kesalahan.

Menurut Seksyen 30(5) pula, sekiranya disabitkan seseorang boleh dihukum dengan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

Bahan psikotropik dalam Seksyen 30(3) secara ringkas bermaksud apa-apa bahan yang boleh menjejaskan minda, emosi dan tingkah laku seseorang. Sementara itu, pada 1986, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas 8/1986 mengenai Penyalahgunaan Inhalan.

Tindakan KPM dibuat apabila mendapati perbuatan menghidu gam dalam kalangan pelajar sekitar 1983. 'Penyalahgunaan inhalan' bererti menyalahgunakan suatu bahan daripada fungsi asalnya, seperti menghidu gam, najis haiwan, aerosol, petrol atau thinner yang bertujuan mendapatkan kesan khayal.

Secara bersepadu, agensi kerajaan, seperti Pasukan Petugas Antidadah, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan mempunyai peranan masing-masing dalam menangani perkara ini. Pekeliling ini juga menentukan proses atau prosedur yang perlu dilakukan sekiranya pelajar didapati melakukan penyalahgunaan inhalan.

Antara lain, ibu bapa pelajar hendaklah diberitahu dengan segera dan keadaan itu hendaklah dilakukan dengan hati-hati dan tidak dihebohkan demi kebajikan pelajar.

Tanggungjawab bersama

Sementara itu, pekeliling berkenaan juga menyatakan bahawa ibu bapa dan guru hendaklah bersama-sama menangani masalah terbabit dengan melakukan pengawasan rapi. Tugas mendisiplinkan pelajar di sekolah adalah tanggungjawab guru besar atau pengetua atau guru lain yang diberikan kuasa.

Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003 mengenai Kuasa Guru Merotan Murid mengkategorikan tindakan disiplin kepada tiga kategori, iaitu kategori berat, sederhana, dan ringan. Berdasarkan pekeliling itu, ada 35 kesalahan berat yang boleh dihukum rotan, termasuk antara lain, menyimpan, membawa, mengedar, menghisap atau terbabit dalam kegiatan dadah; membawa, menyimpan, menghisap atau mengedar bahan tembakau dan membawa, meminum, menyimpan atau mengedar minuman keras atau sebarang benda yang memabukkan atau mengkhayalkan.

Secara umum, keperluan kepada perundangan yang mencukupi dalam menangani masalah sosial, sama ada dalam kalangan pelajar atau tidak, perlu diambil perhatian seberapa segera. Gubalan undang-undang berkaitan 'Penyalahgunaan Inhalan' perlu diteliti secepat mungkin.

Begitu juga dengan tindakan pemulihan. Negara memerlukan undang-undang untuk menyekat gejala ini dan peraturan berkaitan pemulihan. Di samping meneruskan kempen kesedaran yang menentang gejala hidu gam, kelompangan undang-undang ini perlu diisi dengan segera kerana gejala ini sudah pasti tiada jalan pulih.

Penulis ialah Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

2250 dibaca
Berita Harian X