Jumaat, 13 Oktober 2017 | 7:22am
PENJAWAT awam mendengar amanat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, minggu lalu. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Mengurangkan ketidaksamaan kekayaan

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan mengumumkan khabar menggembirakan, khusus untuk penjawat awam dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan hujung bulan ini. Itu harapan penjawat awam setiap kali Kerajaan Pusat melangkah ke Parlimen untuk membentangkan belanjawan tahunan.

Sebenarnya ramai beranggapan Perdana Menteri akan mengumumkan 'buah tangan' ketika menyampaikan Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-15 yang bertemakan Aspirasi Perkhidmatan Awam Menuju TN50: Penyampaian Untuk Kesejahteraan Rakyat dan Negara pada 3 Oktober lalu. Tetapi, Perdana Menteri memutuskan untuk menunggu sehingga akhir bulan.

Malaysia di sebalik kepelbagaian warna yang digambarkan masyarakat pelbagai agama dan budaya, selepas 60 tahun kemerdekaan dengan penduduk yang meningkat lebih 30 juta, berhadapan cabaran merapatkan jurang ketidaksamarataan pendapatan. Walaupun KDNK Negara untuk separuh pertama 2017 (1H17) mencecah paras tertinggi sejak dua tahun lalu iaitu 5.8 peratus, pertumbuhan yang meningkat disebabkan, terutama oleh momentum pemulihan permintaan luar, meningkatkan pelaburan swasta disokong pelaksanaan projek infrastruktur dan pembinaan keupayaan firma.

Ada perbezaan pendapatan

Bagaimanapun, jika dibandingkan, ada perbezaan pendapatan tidak sihat yang mana 20 peratus pendapatan masyarakat Malaysia dan tenaga buruh meliputi 15 juta dan dalam kategori B40 dan M40. Keupayaan pendapatan isi rumah M40 adalah antara RM3,860 dan RM8,319, manakala kumpulan B40 merujuk kepada 40 peratus bawah, berpendapatan bulanan RM3,900 ke bawah. Manakala isi rumah berpendapatan RM10,000 sebulan, layak dikategorikan sebagai empat peratus rakyat Malaysia berada dalam kumpulan teratas.

Ketidakseimbangan pendapatan merujuk kepada sejauh mana pendapatan diagihkan secara tidak rata di kalangan penduduk dan mengikut tinjauan Pew Global 2014, 77 peratus rakyat Malaysia berfikir jurang antara orang kaya dan miskin adalah masalah besar. Oleh itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mewakili pekerja menganggotai kesatuan sekerja mahu kerajaan mengambil program, dasar dan pendekatan mengurangkan ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan antara pelbagai struktur sosial. Ke arah ini, MTUC mengambil langkah tepat meminta kerajaan untuk langkah proaktif yang memihak penduduk B40 ke M40. MTUC mencadangkan kerajaan memberi penekanan kepada beberapa perkara.

Pertama, perumahan. Diharap kerajaan akan menimbang dana pusingan RM20 bilion untuk pinjaman bebas kadar faedah, pinjaman bebas kadar faedah daripada dana pusingan untuk memiliki rumah mampu milik, menubuhkan lembaga kawal selia perumahan dan tanah dan memastikan rumah sesuai dan mampu milik. MTUC juga meletak harapan tinggi agar kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,800.

Kerajaan seharusnya menggalakkan kemudahan, faedah dan manfaat bukan berbentuk kewangan seperti cuti satu bulan bagi bapa yang dapat anak. Tiba masanya cuti bersalin 90 hari sehingga lima anak disediakan. Kedua-dua aspek itu penting bagi melahirkan masyarakat penyayang dan negara terus rasai kadar kelahiran berkekalan. Selain itu kerajaan perlu tampil untuk menangani kos rawatan dan pembedahan tinggi di sektor swasta.

Elaun RM300, pertimbang untuk bekerja semula

Dalam menangani kos sara hidup, insentif bagi menggalakkan penubuhan pusat jagaan kanak-kanak, penyediaan bas percuma untuk kanak-kanak bersekolah, elaun kos sara hidup RM300 dan mewujudkan peluang pekerjaan di sektor pembinaan wajar dipertimbangkan. Sudah sampai masanya pendidikan percuma bagi kumpulan B40 dan M40 diperkenalkan.

Kajian Bank Negara Malaysia menunjukkan majoriti akan kehabisan kewangan dalam seminggu sekiranya hilang sumber pendapatan. Lebih 75 peratus akan berhadapan cabaran mendapatkan RM1,000 dengan segera jika berhadapan kes kecemasan. Ini realiti sebahagian besar pekerja. Dalam satu forum mengenai kempen gaji minimum di Kuala Lum-pur pada Sabtu lalu, pandangan yang menyentuh banyak pihak dilontarkan. Pandangan menarik ialah seseorang boleh menyara kehidupan dengan dua kemungkinan. Pertama, memperoleh upah sewajarnya dan bermaruah. Kedua, membuat pinjaman. Itu sebabnya ramai buat pinjaman secara formal dan tidak formal termasuk daripada ah long. Ada habiskan hidup mereka sebagai pekerja dengan terus berhutang.

Adakah kita mahu ini berterusan? Saya percaya jika kita tanya pekerja, mereka akan mengatakan 'tidak'. Jadi apa pilihan yang ada? Kami syorkan selain insentif digariskan di atas, upah semasa harus dikaji semula. Semua pihak harus sedia menyediakan tambahan AS$50 (sekitar RM200 seminggu) ataupun RM800 sebulan.

Itu sebabnya tuntutan gaji minimum RM1,800 dikemukakan dan diharap Perdana Menteri akan umum berita menarik dan menggembirakan keseluruhan pekerja, bukan hanya pekerja perkhidmatan awam. KWSP dan dana adalah Dana-Dana Persaraan untuk pekerja Malaysia apabila mereka bersara. Tidak boleh dilupakan pekerja Malaysia adalah penyumbang dana KWSP.

Oleh itu, kerajaan diharap kaji semula, pinda dasar dan sediakan dana KWSP. Tidak seharusnya dilaburkan di mana-mana entiti perniagaan/syarikat korporat yang menjalankan perniagaan dan kegiatan mereka adalah antikesatuan dan antiburuh. Dalam dunia mencabar ini, di sebalik peningkatan kos sara hidup, kerajaan wajar pertimbang insentif kewangan dan bukan kewangan demi membela pekerja dan mereka bergantung kepada mereka.

Usaha perlu dipertingkatkan bagi menyebar mesej 'perbelanjaan berhemat' sebagai peringatan berterusan mengenai pengurusan dompet. Juga, sistem pendidikan percuma untuk pelajar golongan B40 dan M40 harus dilaksanakan dari awal. Dengan cara ini, pendidikan mereka tidak akan terganggu disebabkan tidak bayar dan beli buku latihan.

Kerajaan boleh dan seharusnya mempertimbangkan permintaan komprehensif ini.

Penulis adalah Setiausaha Agung Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Bank (NUBE)

536 dibaca
Berita Harian X