Isnin, 9 Oktober 2017 | 11:16am
- Gambar hiasan

Tuntutan hak asasi jangan korbankan Islam

Kira-kira enam bulan dari sekarang, gabungan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) akan berpeluang sekali lagi terbabit dalam proses Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review atau ringkasnya UPR) pada Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Geneva apabila pusingan ketiga UPR berlangsung dan membabitkan Malaysia.

Dijangkakan giliran rekod hak asasi manusia kita hanya akan disemak pada November 2018, tetapi proses penelitian rekod dan laporan pemegang kepentingan telah bermula dan NGI serta semua pemegang kepentingan berpeluang menghantar laporan hak asasi manusia masing-masing kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada Mac 2018.

Sepanjang tahun ini, gabungan NGI aktif dalam beberapa perundingan bersama Wisma Putra mengikut gugus hak asasi manusia yang ditetapkan kerangka UPR. Proses UPR boleh beri manfaat kepada negara jika strateginya ditekuni dan dioptimumkan NGI.

Bagi rakyat Malaysia secara umumnya, tuntutan hak asasi manusia haruslah ambil kira sensitiviti awam, keselamatan negara dan nilai moral serta tidak bersandarkan pada acuan asing semata-mata. Adalah mendukacitakan seperti berlaku pada Oktober 2013, gabungan NGO yang mengenepikan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, realiti budaya dan terutamanya panduan Islam sebagai agama negara menurut artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan memanipulasi proses UPR untuk mengemuka beberapa tuntutan tidak munasabah di pentas antarabangsa.

Desakan beri hak beragama sesuka hati memudaratkan

Kita telah dengar bagaimana gabungan NGO itu yang guna label COMANGO menggunakan mekanisme UPR ini untuk desak rakyat Malaysia boleh tafsir hak kebebasan beragama ikut kehendak mereka, seperti yang kononnya dituntut Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR), hak-hak keistimewaan Melayu dan bumiputera Sabah serta Sarawak diketepikan dengan desakan meratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD), amalan songsang berkaitan gaya hidup LGBTIQ dibenarkan dengan desakan mengiktiraf Yogyakarta Principles 2016 yang diisytiharkan penyokong amalan songsang ini dan mengakibatkan desakan memansuhkan beberapa seksyen dalam Kanun Kesiksaan dan Enakmen Syariah Negeri-negeri, desakan menghapuskan Akta Hasutan 1948 demi melempiaskan hak kebebasan bersuara tanpa batas serta lain-lain tuntutan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

Di seantero dunia, kita melihat perbahasan mengenai hak asasi manusia menjadi semakin mencabar. Benua Eropah terus dibebani isu migrasi pelarian Asia Barat, khususnya dari Syria akibat kesan peperangan yang berlarutan. Negara seperti Jerman pula berhadapan dengan lambakan kehadiran warga Islam sehingga menyerlahkan sikap anti-Muslim dan rasis mereka.

Seorang menterinya, Wolfgang Schaeuble menyerlahkan sikap dwi-standard dan hipokrit ini dengan menegaskan migran Muslim yang enggan mengubah cara hidup selepas berhijrah ke Eropah perlu diberitahu bahawa mereka buat keputusan salah berhijrah.

Di negara kita, isu lebih membimbangkan ialah usaha menafsirkan semula asas hak asasi manusia yang pada awalnya disepakati sejak UDHR 1948. Bagi penulis, antara cabaran paling getir di saat ini ialah tuntutan menafsir kebebasan beragama yang ternyata melanggar banyak sempadan yang ditetapkan Islam.

Usaha berterusan NGO liberal nampak zahir melalui desakan hapuskan peranan Mahkamah Syariah (melalui usaha campur tangan dan usaha memanipulasi usul RUU355), perlekehan terhadap Islam melalui media sosial, serta usaha menyebarluaskan gerakan revolusi gender yang sedang berleluasa. Masyarakat kita juga dilanda desakan hedonisme seperti penganjuran pesta arak.

Terkini, perbahasan mengenai gaya hidup songsang LGBTIQ dijadikan agenda paling utama mereka yang ingin mengenepikan terus sikap dan pendirian baki 76 negara yang menjadikan beberapa tingkah laku berkaitan LGBTIQ sebagai jenayah mengikut lunas undang-undang masing-masing.

Usaha menganjurkan pesta gay 'White Party BKK Warm UP' di Lembah Klang selepas "Big Gay Iftar" pada Ramadan lalu adalah gejala krisis identiti gender semakin parah dan antara cubaan meruntuhkan institusi kekeluargaan.

Kehidupan golongan songsang ini pada hakikatnya menjadi dilema besar masyarakat Barat sehingga sarjana dalam kalangan mereka terpaksa mendedahkan kebobrokan agenda kemuncak masing-masing, sebagai contoh seperti ditulis Felo Kanan The Catholic Association, Ashley McGuire mengenai kempen radikal menghapuskan perbezaan gender yang sangat berbahaya di dalam karya terbaru beliau, A gender-neutral World? Sex Scandal: The Drive to abolish Male and Female (2017).

Maka usaha gabungan NGI di Malaysia untuk mempertahankan kedudukan Islam, nilai murni masyarakat Asia serta budaya hidup bertamadun tinggi perlulah diberikan sokongan sewajarnya. Melalui usaha gabungan NGI yang menyertai proses UPR kedua pada 24 Oktober 2013, pelbagai desakan serta strategi berbahaya COMANGO yang bercanggah Perlembagaan Persekutuan didedahkan dan hujah mereka dijawab aktivis dan intelektual Muslim sehingga ke hari ini melalui pelbagai plat- form dan saluran media.

Nyata, gabungan NGI lebih bersedia kali ini selepas proses penyelidikan mendalam dan berterusan dilakukan sebagai respons tuntutan bercanggah musuh. NGI perlu memperkukuh usaha apabila bakal berdepan tidak kurang 10 isu utama hak asasi manusia yang akan diketengahkan menjelang sesi UPR tahun hadapan. Ia termasuk hak kehidupan, kebebasan bersuara dan berhimpun, kebebasan beragama, isu LGBTIQ, Hak-hak Wanita, Hak Kanak-kanak, Hak Pendidikan, Hak Migran dan Pelarian, Hak Memiliki Harta dan hak orang asal.

Meskipun persediaan gabungan NGI kali ini berada pada tahap lebih tinggi berbanding sesi sebelumnya apabila disedarkan kegiatan terancang mereka yang mengakui liberal di persada PBB, namun kita tidak boleh leka dan mengambil mudah cabaran yang bakal menjelma pada sesi pusingan ketiga kelak.

Peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

186 dibaca
Berita Harian X