Khamis, 5 Oktober 2017 | 7:11am
- Foto hiasan

Birokrasi jerut PBB tangani isu kemanusiaan

KITA akan sentiasa menghargai inisiatif yang menyatukan masyarakat antarabangsa di bawah satu badan atas nama keamanan.

Langkah yang membawa kepada satu perikatan membuka pintu kepada kerjasama yang boleh mencegah daripada tersasar daripada pertimbangan bersama, sekali gus menghalang mana-mana negara bertindak di luar gagasan undang-undang.

Bagaimanapun, institusi seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlandaskan 'ideal' berkenaan tidak sepatutnya dihalang oleh peraturan sendiri apabila menggerakkan sesuatu perkara yang mahu dilakukannya. PBB ketika ini dihalang meneruskan misinya selepas dikatakan bertindak di luar peraturan, membuat keputusan yang tidak dapat diubah suai, terbabit dalam perang berterusan dan dituduh terbabit dalam skandal memalukan.

Sebagai contoh, buat kali pertama dalam tempoh sembilan tahun, Majlis Keselamatan PBB berjaya membuat keputusan dipersetujui bersama pada September 2017 untuk mengutuk tentera Myanmar. Langkah ini tidak memberi jalan keluar kepada masyarakat Muslim Arakan (Rakhine), mahupun menghentikan pembunuhan beramai-ramai di sana.

Keadaan ini sesuatu yang amat memilukan bagi sebuah institusi penting yang ditubuhkan untuk menjamin keamanan antarabangsa. Susulan daripada itu, pemimpin mewakili 193 negara anggota PBB yang menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) Ke-72 tahun ini, menuntut supaya ia melakukan pembaharuan dengan menekankan bahawa PBB yang ditubuhkan pada 1945 tidak lagi memiliki keupayaan untuk memenuhi keperluan masyarakat antarabangsa ketika ini.

Seorang daripada pemimpin dunia yang paling lantang bercakap mengenai pembaharuan ialah Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang menyatakan bahawa PBB tidak mencapai potensi menyeluruh sejak beberapa tahun lalu kerana birokrasi dan penyelewengan pengurusan.

Cuma, beliau tidak ambil kira belanjawan PBB meningkat 140 peratus dan petugasnya bertambah lebih dua kali ganda sejak 2000. Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres membuat kesimpulan kepada permasalahan besar badan dunia ini dengan berkata: "Saya hanya sukar lelapkan mata apabila memikirkan mengenai birokrasi".

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pula merumuskan perlu pembaharuan dalam struktur PBB dengan menyuarakan pandangan ini: "Kami menyarankan supaya keseluruhan Majlis Keselamatan dianggotai perwakilan 20 negara memiliki hak dan kuasa yang sama.

"Dunia bukan lagi dalam keadaan seperti selepas Perang Dunia Kedua. Kami berharap Majlis Keselamatan PBB yang diwakili semua negara di dunia dapat menjadi suara kemanusiaan sebenar."

Ketika kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan menghalang sebarang keputusan bermakna dilaksanakan ketika menghadapi pelbagai konflik perang ketika ini di seluruh dunia, syarat pembentukan PBB iaitu birokrasi sendiri tidak membenarkan pembaharuan dirinya.

Misi kemanusiaan PBB dipandang serong

Ketika sebahagian pemimpin dunia amat gembira memberi ucapan tahniah kepada negara tertentu yang membuka pintu mereka kepada pelarian termasuk Turki dan Lubnan, mereka tidak dapat melakukan apa-apa jika PBB tidak mengambil sebarang tindakan dalam isu berkenaan.

Tuduhan tertentu yang sebahagiannya memalukan dan menimbulkan syak wasangka terhadap anggota pengaman PBB sudah menjadi agenda sejak beberapa tahun lalu dan membawa kepada pandangan serong terhadap kewibawaan misi kemanusiaan badan dunia itu.

Sehingga pada September lalu, pada mesyuarat di New York, susulan cadangan oleh Sweden, 75 negara menandatangani kontrak menghalang serangan seksual terhadap wanita dan kanak-kanak oleh askar dan orang awam yang bertugas dalam PBB.

Dalam suasana dunia moden ini, yang peperangan dan keganasan sering meletus, mungkin lambang ketiadaan kuasa membabitkan PBB ialah imej menunjukkan negara yang terperangkap dalam peraturannya sendiri.

Adalah satu masalah besar apabila PBB yang sepatutnya menunjukkan harapan dunia tidak dapat bangkit daripada kebuntuan birokratik itu, manakala negara kuasa besar yang menganggotai badan dunia ini sering bercakap mengenai pembaharuan tanpa dapat mengambil sebarang langkah dalam perkara berkenaan.

Seperti juga proses Perlembagaan dirangka di sesebuah negara, dikendalikan atau dipinda berdasarkan sejarah dan hal ehwal semasa negara itu, Piagam PBB juga perlu dikuatkuasakan dengan cara yang sama.

Memansuhkan hak untuk menggunakan kuasa veto, memberi keutamaan kepada keputusan yang diambil kuasa serantau di wilayah dilanda kekacauan selain mengambil tindakan pantas serta berkesan sebaik pembunuhan beramai-ramai atau genosid terbukti, adalah perubahan yang perlu dibuat dalam Piagam PBB.

Tambahan lagi, mengambil langkah perlu dan segera untuk mencegah jenayah memalukan daripada berlaku yang akan cemarkan nama PBB adalah juga sesuatu yang penting dilakukan.

Dalam perkara ini, adalah penting untuk meletakkan pengaman PBB menjalani latihan khusus dan memaklumkan kepada mereka bahawa mereka boleh dikenakan hukuman bermotif pencegahan dalam perkara ini.

Masyarakat antarabangsa memerlukan perikatan seperti PBB yang dapat menjamin keamanan global.

Sememangnya bagus bagi kita kerana mempunyai institusi penting seperti ini tetapi pada masa sama keberkesanannya dalam erti kata bermakna bergantung kepada kita.

Penulis Turki yang menulis lebih 300 buku diterjemah kepada 73 bahasa mengenai politik, agama dan sains

248 dibaca
Berita Harian X