Ahad, 1 Oktober 2017 | 8:43am
SESUNGGUHNYA di sebalik gelaran janda itu wujud seorang insan bergelar wanita, ibu, kakak, adik dan anak perempuan, dan kesukaran mereka wajar diberikan perhatian mendalam. - Foto hiasan

Fahami cabaran, kesukaran ibu tunggal

"Hai serba salah jikalau menjadi janda, ke mana pun saja, orang curiga"

Begitulah sepotong lirik lagu berjudul Nasib Janda yang didendangkan Zaleha Hamid penyanyi popular era 80-an.

Walaupun sedikit meriah bunyinya, ia adalah cerminan terhadap masyarakat kita sendiri. Di sebalik tajuk menggamit imaginasi ini, wujudnya satu isu serius yang wajar diketengahkan.

Masyarakat kita mempunyai satu stigma ke atas mereka yang bercerai, namun lebih menyedihkan stigma ini dilihat agak berat sebelah ke atas perempuan atau yang diberi gelaran janda.

Janda lebih mendapat perhatian berbanding duda, sebab itu kita biasa dengar gelaran janda berhias atau janda si polan dan gelaran seperti ini tidak pula terlekat kepada si duda. Anda pernah dengar gelaran duda berhias atau duda si Milah? Malah, suatu ketika dahulu, stigma yang wujud apabila berlaku perceraian, kaum wanita yang pertama dipersoal atau disalahkan.

Saya bukan hendak persoalkan siapa betul dan siapa salah atau siapa punca perceraian, anggaplah jodoh setakat itu sahaja dan kedua-dua pihak ada kelemahannya. Apa yang hendak saya bawa ialah apa yang berlaku kepada wanita apabila bergelar janda.

Kita mulakan dengan mahkamah syariah. Bercakaplah dengan mana-mana wanita yang bercerai kemungkinan besar ada kisah mereka tersendiri. Sekiranya perceraian itu berlaku dengan aman dan baik, Alhamdulillah, proses tuntutan di mahkamah akan lancar dan mudah.

Bidang kuasa syariah berbeza

Namun, realitinya, pengalaman melalui proses mahkamah adalah sesuatu yang perit. Menunggu kata putus mahkamah kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun lamanya. Bayangkan status seorang wanita itu yang menunggu keputusan, ibarat gantung tidak bertali, masih isteri orang dengan kekangan yang datang dengan status ini, namun tidak dapat menuntut hak sebagai isteri.

Lebih memilukan lagi pada masa sama bekas suami dengan pantas dan mudah terus bahagia dengan isteri muda yang baharu. Komplikasi bidang kuasa syariah berbeza mengikut negeri ditambah kesempitan kewangan untuk dapat nasihat dan bantuan guaman hinggalah kepada proses birokrasi yang memakan masa. Ini semua beri kesan amat ketara kepada wanita menuntut hak dan keadilan. Ini belum isu penguatkuasaan keputusan mahkamah, sering saya dengar betapa susah bekas isteri dapat tuntutan nafkah dan harta sepencarian.

Saya bukan mahu persoalkan institusi syariah atau menidakkan ia, namun tidak salah kalau kita bincang dengan niat untuk penambahbaikan. Selain itu, timbul dengan persepsi mereka yang bergelar janda oleh masyarakat khususnya dalam kalangan golongan Adam.

Kononnya, dikatakan janda itu lebih mudah dan terbuka mindanya maka wujud satu fenomena yang melanda tempat kerja hari ini yakni gangguan seksual. Isu gangguan seksual ini tidak khusus kepada satu kelompok wanita sahaja, namun dilihat mereka bergelar janda lebih terdedah. Banyak luahan wanita bergelar janda diganggu pegawai atasan atau bos lelaki yang hidung belang.

Gangguan dari segi jenaka miang berbaur seks diselitkan dalam perbincangan kerja hinggalah ke gangguan secara fizikal di tempat kerja. Seolah-olah dalam masyarakat kita, mereka yang memegang status janda ini dipandang mempunyai harga diri dan maruah lebih rendah daripada anak dara atau isteri orang, maka lebih beranilah lelaki miang ini mengambil kesempatan.

Menangguk di air keruh

Apatah lagi kalau-kalau seseorang ibu tunggal itu sedang mengalami kesempitan kewangan atau kesukaran dalam menampung tanggungan maka makin menjadi-jadilah gangguan daripada lelaki miang yang cuba menangguk di air yang keruh. Sebab itulah menjadi kebiasaan untuk mereka yang bercerai untuk terus pakai cincin perkahwinan di jari untuk mengelakkan daripada diganggu.

Tidak kiralah di sektor swasta atau kerajaan sekalipun, perkara ini tidak wajar dipandang enteng dan remeh, bayangkan perkara ini terjadi kepada anak atau adik beradik kita sendiri. Lebih memilukan apabila wanita itu sendiri mempunyai perasaan syak wasangka terhadap golongan janda.

Dikatakan janda tiada lain kerjanya melainkan merampas lelaki, suami atau pasangan orang; seolah-olah terdesak sangat mereka mencari suami secepat mungkin hingga tidak mengira status lelaki itu. Janganlah kerana satu dua cerita dijadikan kesimpulan kepada semua, dan saya akui secara peribadi tidak berhak mempersoal perkara ini, namun saya pohon kita sebagai masyarakat tidak pandang serong mereka yang bergelar janda.

Bukan janda sahaja berpotensi untuk merampas pasangan anda, anak dara hatta isteri orang juga boleh, kalau niat memang sudah tertanam antara seorang lelaki dan perempuan itu, tidak kiralah apa status, apa pun boleh berlaku. Tidak salah untuk wanita itu berwaspada, tetapi janganlah terlalu berat sebelah hinggakan memandang serong yang teramat kepada mereka yang pernah melalui perit getir runtuhnya satu-satu perkahwinan itu.

Sebenarnya janda itu tiada beza langsung dengan orang bujang namun kita sebagai masyarakat yang letak gelaran ini terhadap wanita. Saya sebenarnya tidaklah berapa kisah akan gelaran ini dan saya yakin begitu juga wanita lain yang dapat gelaran sama, namun stigma dan persepsi bersama status ini yang menjadikannya sukar.

Pernah saya menulis bagaimana dalam pindaan RUU 355 dalam memperkasa undang-undang syariah, tidak dimasukkan pandangan golongan wanita dan saya sekali lagi mohon kepada yang berkuasa sekurang-kurangnya ambil pandangan golongan wanita, khususnya mereka yang berpengalaman dalam institusi mahkamah syariah sebelum mencadangkan rang undang-undang membabitkan isu kekeluargaan dan perkahwinan.

Saya sedar, penulisan kali ini mungkin sedikit panas dan berbaur sensasi, namun saya berpendapat, isu ini penting diketengahkan. Dari mereka yang sedang hadapi kesukaran dan dugaan da-lam proses perceraian, kepada yang diganggu di pejabat dan tempat kerja hinggalah ibu tunggal yang berhempas pulas menyara anak secara sendiri, saya pohon masyarakat lebih memahami kesukaran dan cabaran yang mereka hadapi. Sesungguhnya di sebalik gelaran janda itu wujud seorang insan bergelar wanita, ibu, kakak, adik dan anak perempuan, dan kesukaran mereka wajar diberikan perhatian mendalam.

Penulis adalah Bekas Personaliti TV

918 dibaca
Berita Harian X