Khamis, 28 September 2017 | 10:35am
- Gambar hiasan/kwest/Shutterstock.com

Malaysia kekal komited tangani isu iklim dunia

Pada 2015, Malaysia bersama kira-kira 200 negara lain berkumpul di ibu negara Perancis untuk memuktamadkan Perjanjian Paris bagi menangani cabaran perubahan iklim dihadapi dunia kini. Krisis antarabangsa ini adalah masalah sangat kompleks membabitkan banyak dimensi - sains, ekonomi, masyarakat, politik serta persoalan moral dan etika.

Ia adalah fenomena yang akan berterusan selama beberapa dekad lagi. Kaitan antara pelepasan gas rumah hijau dan pemanasan global sudah lama dikaji pakar sains yang sangat bimbang akan impak perubahan iklim disebabkan peningkatan suhu dunia. Mereka merumuskan sejak 250 tahun lalu bermula dari Revolusi Perindustrian, aktiviti manusia seperti pembakaran bahan api fosil dan penebangan hutan menjadi penyebab utama peningkatan kepekatan gas rumah hijau di atmosfera dan meningkatkan purata suhu permukaan.

Bagi Malaysia sendiri, ancaman ini beri cabaran besar kepada pertumbuhan ekonomi dan kestabilan sosial hingga menyebabkan kita terpaksa berdepan pelbagai implikasi termasuk kemusnahan ke-kal alam sekitar serta impak kesihatan dan sekuriti makanan.

Perjanjian Paris yang dikuatkuasa secara rasmi pada 2016 bukan kesepakatan pertama berkaitan krisis perubahan iklim yang dimeterai negara. Malah, pada 1992 Malaysia turut serta di persada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menjayakan Konvensyen Rangka Kerja mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) bermatlamat menstabilkan pelepasan gas rumah hijau bagi menghalang gas itu berinteraksi dengan sistem iklim sejagat dan mendatangkan mudarat.


GAMBAR fail, wakil negara-negara pada Perjanjian Paris 2015. - Foto https://www.weforum.org

Ikrar negara maju

Pada 1997, Protokol Kyoto yang bernaung di bawah UNFCCC menyaksikan negara maju berikrar membendung pengeluaran gas karbon dioksida. Walaupun Protokol ini tidak mengikat secara mandatori, sebagai negara yang bertanggungjawab, Malaysia secara sukarela meletak sasaran pengurangan intensiti karbon sehingga 40 peratus menjelang 2020 berbanding asas 2005.

Seterusnya, ketika Persidangan Ke-21 Negara Parti (COP21), Perjanjian Paris dirundingkan bagi menggantikan Protokol Kyoto yang akan tamat sasarannya pada 2020. Pemeteraian Perjanjian Paris ini dikatakan amat bersejarah kerana buat julung kali negara dunia bersepakat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau agar kenaikan suhu global berada di bawah dua darjah Celsius dan mengehadkan kenaikan suhu kepada 1.5 darjah.

Walaupun negara ini cuma menyumbang 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelepasan berbanding Amerika Syarikat (18 peratus) dan China (20 peratus), komitmen kita terhadap Perjanjian Paris sangat tinggi. Malaysia mensasarkan pengurangan 45 peratus menjelang 2030 dengan 10 peratus daripadanya bersyarat iaitu dengan ada pemindahan teknologi dan penerimaan bantuan kewangan dari negara maju.

Berbanding persepakatan mengenai perubahan iklim terdahulu, Perjanjian Paris berbeza kerana ia dibentuk melalui dua ikatan iaitu sumbangan sukarela dan komitmen wajib, dan menggunakan pendekatan harmoni dan bijaksana 'bawah-ke-atas' yang mempertanggungjawab setiap negara membangunkan pelan sendiri mengikut keadaan domestiknya.

Mengurangkan pembebasan karbon setiap lima tahun

Ini bermakna Perjanjian Paris digerakkan bukannya melalui penguatkuasaan undang-undang antarabangsa tetapi dengan menggunakan tekanan politik berlandaskan pendekatan telus agar kemajuan dan pencapaian sesuatu negara terhadap komitmennya dapat dikaji melalui proses tetap.

Bagi tujuan ini, setiap negara termasuk Malaysia bersetuju untuk meletakkan sasaran nasional bagi mengurangkan pembebasan karbon setiap lima tahun melalui laporan yang dikenali dengan sumbangan nasional yang ditentukan atau 'Nationally Determined Contributions' (NDC).

Pelaksanaan Perjanjian Paris yang pada mulanya dikhuatiri terbantut apabila Amerika Syarikat menarik diri, namun diteruskan dengan lancar apabila negara lain, termasuk China dan India menyatakan kesanggupan terus komited. Malaysia sendiri tidak terpengaruh dengan penarikan diri Amerika Syarikat itu malah sentiasa berusaha ke arah pencapaian matlamat, terutama melalui pendekatan dua arah mitigasi dan adaptasi yang menjadi struktur utama Perjanjian Paris.

Akan tetapi, sungguhpun mekanisme NDC yang fleksibel menetapkan negara bebas untuk membariskan komitmen masing-masing, secara realitinya setiap negara tentu berdepan cabaran tersendiri demi mencapai sasaran itu. Dalam konteks Malaysia sebagai negara membangun, pelaksanaan pengurangan pelepasan gas rumah hijau menimbulkan cabaran teknologi, ekonomi, sosial dan institusi yang besar.

Hal ini semestinya membawa implikasi kepada dasar negara bagi sektor utama seperti tenaga, pengangkutan, pembinaan, industri, pertanian, perhutanan dan pengurusan sisa, serta membabitkan kos yang sangat tinggi. Dalam hal ini, amatlah penting bagi Malaysia untuk menyesuaikan komitmen terhadap Perjanjian Paris berdasarkan keupayaan, pengetahuan dan kepentingan domestik.

Pada masa sama, Malaysia perlu pastikan NDC negara disediakan dengan baik dan jelas agar ia boleh bawa kepada transformasi dalam sektor dan industri berintensifkan karbon dan supaya matlamat dinyatakan Malaysia dapat dipenuhi. NDC negara juga harus menyatakan bagaimana Malaysia mengintegrasikan perubahan iklim ke dalam keutamaan domestik seperti pembangunan lestari, dan menghantar isyarat kepada sektor swasta untuk menyumbang kepada usaha ini.

Walaupun Perjanjian Paris tidak mengandungi mekanisme penguatkuasaan bagi mengesahkan pelaporan negara, Malaysia perlu telus bahawa pelan tindakan dan pelbagai inisiatif yang diambil dapat menyumbang secara langsung kepada sasaran pengurangan intensiti pelepasan.

Adalah menjadi harapan agar Persidangan Ke-23 Negara Parti (COP23) tidak lama lagi di kota Bonn, Jerman dapat digunakan oleh Malaysia untuk memastikan negara sentiasa berada di landasan betul ke arah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan ke arah merealisasikan sasaran lebih tinggi untuk NDC seterusnya.

Penulis adalah Pensyarah Undang-Undang Alam Sekitar, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

389 dibaca
Berita Harian X