Selasa, 5 September 2017 | 10:32am
SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berucap pada majlis perasmian Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke arah Wasiat Lebih Tersurat di Putrajaya pada 5 Ogos lalu. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Amanah Diraja lindungi bahasa kebangsaan

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika menzahirkan titah perasmian Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke arah Wasiat Lebih Tersurat di Putrajaya pada 5 Ogos lalu, antara lainnya menyentuh satu perkara yang amat penting di bawah payung Raja-Raja, iaitu isu yang dititahkan:

"Terpahat secara tersirat - tertera secara tersurat di dalam Perlembagaan Persekutuan, semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, yang secara tegas menetapkan antaranya, kedaulatan Raja-Raja. Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu. Kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain, diberi jaminan untuk dilindungi pada setiap masa. Perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan tanpa perkenan Raja-Raja"

Maka dalam hal ini, kita mestilah mempunyai pandangan jauh ke hadapan, iaitu bersikap proaktif terhadap segala krisis yang kita hadapi di dalam masyarakat kita mengenai isu yang dititahkan itu kerana dengan sikap proaktif inilah sahaja kita akan dapat menyelesaikan banyak masalah untuk jangka pendek dan jangka panjang.

Saya ingin mengambil beberapa iktibar daripada ajaran Islam dalam konteks penggunaan bahasa kebangsaan yang disentuhkan itu, yang seharusnya tanpa sebarang pertikaian adalah bahasa utama negara. Al-Quran menerangkan kepentingan bahasa kebangsaan, iaitu ketika mengutuskan Rasul-Nya dengan menggunakan 'bahasa kaumnya' iaitu bahasa yang difahami semua kaum, dalam istilah sekarang disebut sebagai bahasa kebangsaan.

Allah SWT berfirman, bermaksud: "Dan Kami tidak utuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia dapat memberi penjelasan kepada mereka" (Surah Ibrahim, ayat 4). Dengan itu ternyata bahawa bahasa adalah alat penting untuk menyampaikan sesuatu mesej tertentu dan sebagai alat komunikasi yang amat berkesan. Maka bagi kita di Malaysia ini, bahasa rasmi adalah yang menjadi bahasa utama untuk semua rakyat kita.

Al-Quran juga adalah kitab suci yang diturunkan Allah SWT dalam bahasa yang indah dan penuh bermakna. Keindahan bahasa dan ketepatan maknanya, dengan segala gambaran metaporikalnya yang dalam dan pramasasteranya yang di luar dari jangkauan manusia dan jin, menjadikan kitab suci itu satu mukjizat.

Kita membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa apa sekali pun, tidak akan sama kepuasan dan penjelmaan maknanya seperti ketika kita membacanya di dalam bahasa asal.

Bagaimanapun, hal ini tidak menafikan keindahan dan kekuatan dalam setiap bahasa dalam kalangan masyarakat manusia di dunia ini. Keunikan setiap bahasa kebangsaan adalah warisan yang seharusnya dikuasai anak bangsa itu sendiri dengan sebaik-baiknya.

Namun begitu, menguasai bahasa kebangsaan dengan baik, tidak bererti sesuatu bangsa itu seharusnya mengabaikan bahasa asing. Malah, ada riwayat menyatakan, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, sesiapa yang mempelajari bahasa sesuatu kaum itu, maka ia akan terselamat daripada tipu daya kaum itu.

Bahasa sebagai satu warisan negara

Maka dalam konteks ini, tentu juga dapat disimpulkan, orang yang menguasai bahasa asing juga akan dapat banyak manfaat daripada segi menimba ilmu dan mempelajari sejarah dan kebudayaan bangsa tertentu itu. Inilah sebenarnya matlamat kita, iaitu penguasaan bahasa asing itu seharusnya berada pada tahap tinggi dan dapat dibawa ke tengah, bukan menguasainya separuh-separuh, seperti bahasa 'setengah belut dan setengah ular' sehingga lahir kebimbangan semakin ramai rakyat tidak tahu bertutur bahasa Melayu dengan tepat.

Adalah diharapkan sungutan dan kebimbangan kita itu tidak akan seterusnya menjadi rungutan semata-mata. Dan saya dapat memahami semangat Perlembagaan kita bahawa untuk mengatasi masalah kelemahan bahasa ini, maka kita haruslah mengadakan beberapa siri bimbingan budaya bahasa untuk mengembali dan melindungi bahasa itu sebagai satu warisan negara.

Warisan negara dan bangsa adalah sesuatu yang murni bagi sesuatu bangsa itu. Budaya dan bahasa adalah warisan yang dapat menegakkan jati diri bangsa. Tanpa bahasa dan budaya yang tinggi, maka bangsa itu juga akan jatuh ke dalam satu keadaan yang memalukan.

Dalam konteks bahasa ini juga, kita tidaklah seharusnya terkeliru dengan perkembangan dan kemajuan sesuatu bahasa itu dalam bentuk kata-kata dan istilah pinjaman yang mempengaruhi pertumbuhannya. Kita bebas cipta istilah dan meminjam kata-kata asing bagi bahasa kita. Menggunakan bahasa pinjaman daripada bahasa asing kepada bahasa Melayu amat berbeza dengan konsep merojakkan bahasa terutama atas dorongan amat tidak patriotik, atau rasa rendah diri dan malu untuk guna bahasa ibunda.

Hal yang sama sering berlaku ketika ada segelintir orang Melayu yang cuba menunjukkan kepandaian berbahasa Inggeris ketika mencampur adukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, tetapi kadang-kadang wujud keadaan memalukan, iaitu ketika mereka guna bahasa yang salah, sama ada dari segi nahunya, atau struktur ayatnya.

Sebab itulah ditegaskan di atas, bahawa bahasa apa saja yang kita pelajari, termasuk bahasa ibunda kita sendiri, haruslah dipelajari dan dikuasai dengan baik. Maka dalam konteks ini, kita berasa bangga kerana ada rakyat bukan Melayu, dapat menguasai bahasa kebangsaan dengan baik, seperti ditonjolkan juga di dalam beberapa sesi perbincangan konvensyen di Putrajaya itu.

Agama kita juga menegaskan mengenai hal ini, ketika Allah SWT berfirman: "Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) ialah kejadian langit dan bumi, serta kepelbagaian bahasa dan warna kulit kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah tanda-tanda bagi orang yang mahu berilmu". (Surah Al-Rum, ayat 22).

333 dibaca
Berita Harian X