Isnin, 4 September 2017 | 10:33am
ASPIRASI Transformasi Nasional 2050 (TN50) jelas dalam usaha mempersiapkan segenap penjuru negara mendepani cabaran dunia VUCA. - Foto fail NSTP/Osman Adnan

Mendepani cabaran dunia empat dimensi

MUTAKHIR ini, segenap penjuru diskusi majlis ilmu pelbagai peringkat berbicara mengenai Industri 4.0 (IR 4.0). Bagaimanapun, kedengaran irama IR 4.0 lebih kuat dipalu di peringkat pengajian tinggi, industri dan pemutus dasar negara.

Kekerapan ini bawa mesej bahawa kesedaran mesti dibenihkan agar persiapan dapat dibuat. Semakin kita pantas berlari, tangkas juga gelombang ini merambat tanpa batasan.

Sedari atau tidak, tangan kita seolah-olah dituntun kemas ke pintu dunia yang semakin membatasi pergerakan dan perilaku kita. Selamat datang ke dunia VUCA. VUCA iaitu Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity. Volatility adalah peningkatan kemeruapan yang sangat drastik terhadap perubahan empat dimensi iaitu jenis, kelajuan, isi padu dan skala.

Uncertainty mencengkam ketidakpastian hasil kemeruapan pantas yang menyebabkan begitu sukar untuk menjangka perkara berikutnya.

Complexity hadir bersama kerumitan impak ketiadaan perhubungan jelas antara punca dan akibat. Akhirnya, hadir ambiguity membawa bersama kesamaran terhadap ketepatan yang mewujudkan kepelbagaian berganda maksud terhadap persekitaran.

Dunia VUCA ini bukanlah baru bermula, tanpa sapaan sudah lama menjengah. Buktinya, pada 2001, 500 juta manusia berhubung di atas talian, sejumlah 200 bilion emel dihantar setiap hari. Ahli keluarga Facebook lahir membuak-buak dengan 2.01 bilion pengguna aktif bulanan. Nampaknya, kita terpaksa mengalah dan mengakui Facebook terlalu besar untuk diabaikan.

Perkara yang asas mesti diberikan roh

Dengan lima profil baharu wujud setiap saat bersama jemaah 83 juta profil akaun palsu, duduk bersama menyantuni 300 juta foto dimuat naik pada setiap hari, dan pada setiap 60 saat, 510,000 komen diangkat bersama 293,000 status dimuat naik, apa lagi yang boleh kita nafikan. Benarlah kita kini jadi warga dunia VUCA. Kepesatan penderia saling berhubungan menyambung titik-titik data raya menerusi Internet of Things (IoT) memang membuatkan kepala kita pusing.

Kepala yang pening mesti dirawat. George William Casey Jr, seorang jeneral tentera (bersara) Amerika Syarikat yang juga pensyarah kanan di Cornell University menzahirkan kebimbangan luar biasa berhubung persediaan menghadapi dunia VUCA menerusi kertas putihnya bertajuk Leading in a VUCA World. Dibentangkannya kerangka persediaan dalam melatih pemimpin masa depan agar dunia VUCA dapat dihadapi sebaiknya. Marilah kita ukur baju di badan sendiri. Perkara asas mesti diberikan roh. Dengan penuh keinsafan, kekhilafan yang membunuh akal budi masyarakat mesti dicari penawar agar tidak terus melarat.

Meletakkan keimanan sebagai sauh institusi kekeluargaan

Sebuah negara hebat dibina daripada institusi kekeluargaan yang taat kepada pencipta-Nya. Hari ini kita dihidangkan dengan pelbagai berita yang sangat mengelirukan dan juga merumitkan, pelbagai salah laku sebumbung. Jika di bawah bumbung sama tempat berteduh bukan lagi menjadi tempat berlindung, di mana dan siapakah akan menjadi pahlawan wira ulung? Jika bukan ayah yang menjaga maruah diri anak, di manakah utuhnya akhlak? Apabila jenayah seks sebumbung ini berlaku dengan pelbagai parameter sukar diramal, diperkaya dengan bahan rangsangan di hujung jari, wahai dunia VUCA, kami benar-benar dirundung kesedihan dan menghitung hari, menanti rumahku syurgaku berkubur mati.

Memastikan agar universiti bukanlah hanya mengenai lulus peperiksaan

Ramai menyebut, masa depan negara itu sinonim dengan golongan pemuda dan mereka yang mengisi menara ilmu. Aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) jelas dalam usaha mempersiapkan segenap penjuru negara mendepani cabaran dunia VUCA. Di menara ilmu, usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Soaring Upwards terus mengangkasa pendidikan tinggi negara. Tetapi, universiti bukanlah semata-mata mengenai lulus peperiksaan.

Amat merugikan jika empat tahun pengajian hanya sibuk berlumba mengejar deretan gred A tanpa mempersiapkan diri sebagai graduan berakhlak dan berilmu. Kejadian buli di pelbagai peringkat termasuk di institusi pengajian tinggi (IPT), memberi isyarat ada penyakit dalam masyarakat. Apabila amarah menguasai tindakan, adab, akhlak, moral dan etika terus dilempar ke tong sampah. Jelasnya, kepintaran intelektual sahaja tidak memadai untuk memandu diri agar rasional dalam segenap tindakan.

Meletak ketinggian akal budi sebagai nadi sains dan teknologi

Dengan sembilan tunjang IR4.0, simulasi dan realiti maya, integrasi sistem menegak dan melintang, industri IoT, keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembuatan bahan tambahan, rantaian bekalan, analisa data raya dan robot automasi, usah biarkan kita jadi hamba teknologi. Walaupun Sophia yang kelihatan jelita dan pintar, 'seorang robot wanita' yang dilahirkan Dr David Hanson, pengasas Hanson Robotics, itulah kepintaran dan kejelitaan buatan manusia.

Kepintaran ini hasil kebijaksanaan manusia yang seharusnya penuh dengan hikmah, lengkap dengan akal budi. Kepesatan teknologi hasil aplikasi sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) mesti dilengkapi dengan abjad A, menjadikannya STEAM iaitu Science, Technology, Engineering, Arts & Mathematics. Agar abjad A ini berupaya membina akal budi untuk kita terus menjadi khalifah yang terpuji.

Akhirnya, malam ini apabila mata terpejam, tenangkah kita? Atau kita tetap sesak memikirkan keselamatan keluarga, kejiranan dan anak bangsa. Apabila dipinjamkan lagi sehela nafas untuk hidup yang berbaki, relakah kita berjuang menghadapi 360 darjah cabaran merumitkan, penuh kesamaran dan ketidakpastian. 31 Ogos 2017, demi Negaraku Sehati Sejiwa, bersedialah kita mendepani cabaran dunia VUCA!

Penulis ialah Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik & Perhubungan Korporat) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

242 dibaca
Berita Harian X