Ahad, 3 September 2017 | 9:23pm
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bergambar dengan atlet negara ketika meraikan mencapai sasaran 111 pingat emas Sukan SEA KL2017 yang dikumpul kontinjen negara di Penginapan Kontinjen negara, Hotel Renaissance Kuala Lumpur. - Foto Danial Saad

Atlet kita perlu saingi ahli sukan Barat

TAHNIAH kepada ahli sukan tanah air kerana berjaya mencapai keputusan yang begitu baik pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila muncul sebagai juara keseluruhan dengan meraih 145 pingat emas.

Namun, kita tidak boleh dibuai dengan kejayaan tanpa memikirkan langkah seterusnya yang perlu diambil bagi memastikan prestasi cemerlang itu dibawa ke peringkat lebih tinggi.

Sebenarnya atlet negara sudah lama mengecap kejayaan pada peringkat antarabangsa dan ia seharusnya dijadikan penanda aras bagi generasi sekarang untuk memperbaiki pencapaian itu atau sekurang-kurang menyamainya. Malaysia bukan nama asing dalam beberapa acara sukan tertentu pada peringkat antarabangsa.

Kita sudah lama menghantar atlet negara bersaing pada peringkat antarabangsa dan beberapa keputusan cemerlang berjaya dicatat. Misalnya, pada pertengahan 1948, darurat diisytiharkan di Tanah Melayu, tetapi industri sukan seakan tidak terjejas dengan situasi getir ketika itu.

Pada awal 1949, Tanah Melayu muncul sebagai juara dunia dalam sukan badminton apabila kita muncul sebagai juara sulung Piala Thomas yang berlangsung di England.

Pada 1950, pasukan angkat berat Tanah Melayu muncul sebagai juara Sukan Empayar British (kini dikenali sebagai Sukan Komanwel) apabila meraih dua emas, satu perak dan satu gangsa di Auckland, New Zealand.

Ahli sukan pertama negara beraksi di Olimpik

Walaupun Tanah Melayu hanya ditubuhkan sebagai negara bangsa pada 31 Ogos 1957, kita sudah mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik pada 1956. Malah sebelum Perang Dunia Kedua (1939-1945), sudah ada ahli sukan kita dijemput oleh China untuk mewakili negara itu di Sukan Olimpik iaitu Poh Kim Seng (olahraga) pada 1936.

Tahun itu turut menyaksikan pemain tenis negara, Khoo Hooi Hye juga mewakili China di Kejohanan Piala Davis.

Kemudian pada 1948, Yeap Cheng Eng merakam sejarah sebagai ahli sukan pertama negara beraksi di Sukan Olimpik, tetapi mewakili skuad bola sepak China di Olimpik London ketika itu.

Kini, selain badminton, kita juga berjaya melahirkan juara dunia dalam sukan boling menerusi Shalin Zukifli dan skuasy menerusi Datuk Nicol David. Perenang, Nurul Huda Abdullah juga pernah mengharumkan nama negara apabila menguasai acara renang di peringkat Sukan SEA dan turut meraih pingat di Sukan Asia.

Skuad bola sepak negara juga pernah menjadi antara pasukan yang digeruni di rantau Asia. Kita berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Munich pada 1972 dan sekali lagi pada 1980 di Moscow, tetapi pada tahun itu kita mengikut Amerika Syarikat memulau Sukan Olimpik kerana Russia bertindak menyerang Afghanistan.

Pada 1975, Malaysia mendapat tempat ke-4 di peringkat dunia dalam sukan hoki yang mana kita tewas di tangan India pada peringkat separuh akhir Piala Hoki Dunia itu dan ditundukkan oleh Jerman Barat pada penentuan tempat ketiga.

Banyak sejarah pencapaian

Sebenarnya banyak lagi sejarah pencapaian atlet negara yang boleh disenaraikan bagi membuktikan Malaysia sudah lama menjadi jaguh sukan di peringkat lebih tinggi dari rantau Asia Tenggara.

Pencapaian di temasya Sukan SEA 2017 memang boleh dibanggakan tetapi adakah ia mencukupi dengan reputasi lampau kita yang pernah mencatat pelbagai kejayaan di peringkat Asia dan dunia.

Memang sudah sampai masanya untuk ahli sukan kita memberi tumpuan kepada pertandingan pada peringkat Asia, Komanwel dan dunia.

Apa yang dicapai oleh atlet kita di KL2017 memang di luar jangkaan. Saya memang tidak sangka ahli sukan kita boleh mencapai prestasi yang begitu baik kali ini kerana kegiatan sukan di negara ini, kini tidak lagi begitu hebat dan gah berbanding dengan era dahulu. Dengan pencapaian hebat dan cemerlang di Sukan SEA 2017, saya berharap ahli sukan kita, mulai sekarang, akan memasang angan-angan dan mempunyai cita-cita bersaing dengan ahli sukan Barat.

Program pembangunan yang ada sekarang perlu diteruskan, tetapi untuk memastikan kita mempunyai kesinambungan dalam melahirkan atlet bertaraf dunia seperti yang disebutkan di atas, kita perlu menjadikan sukan sebagai budaya, bukan menerusi program tertentu.

Sebelum ini, lahirnya ahli sukan bertaraf dunia bukan menerusi program pembangunan, tetapi melalui inisiatif individu hasil budaya sukan yang pernah mewarnai kehidupan masyarakat kita.

Sekarang, begitu sukar untuk kita lihat generasi muda bermain sepak takraw, bola sepak, badminton atau sukan lain di kampung atau di bandar, tidak seperti sebelum ini.

Kebanyakan atlet yang kita ada sekarang datang dari sekolah sukan, sedangkan sebelum ini hampir semua sekolah di Malaysia menjadi medan untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan.

Dua tahun lagi temasya Sukan SEA akan beralih ke Filipina. Selain memastikan pencapaian tahun ini dikekalkan, kita juga perlu memandang lebih jauh dengan menyasarkan kejuaraan di Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang berlangsung tahun depan.

Penulis ialah pengkritik sukan

335 dibaca
Berita Harian X