Rabu, 30 Ogos 2017 | 7:08am
KERAJAAN perlu mencari jalan agar hartanah bandar tidak menjadi terlalu mahal. - Foto hiasan/NSTP

Perbandaran hakis kuasa politik Melayu

PERBANDARAN adalah proses perubahan sesebuah kawasan luar bandar kepada pembentukan satu kawasan bandar.

Proses ini berlaku dengan pesat di kebanyakan negara dunia ketiga khususnya selepas mencapai kemerdekaan daripada penjajah, tidak terkecuali Malaysia. Perbandaran tidak dapat dielakkan dalam proses pembangunan.

Tidak mungkin sesuatu kawasan luar bandar terus kekal menjadi kawasan luar bandar apabila berlaku proses pembangunan. Banyak kawasan luar bandar pada asalnya membangun menjadi bandar selepas beberapa dekad.

Sebagai contoh, Bandar Shah Alam dan Bandar Baru Bangi adalah dua kawasan yang asal luar bandar. Selepas tiga dekad daripada perancangan awalnya, kedua-dua kawasan ini menjadi kawasan bandar selepas melalui proses perbandaran dirancang teliti.

Apa yang ingin ditekankan dalam perbincangan rencana ini adalah proses perbandaran dan masa depan kuasa politik Melayu. Kawasan dahulunya luar bandar dipenuhi hutan dan ladang, sudah berubah menjadi pusat bandar dengan bangunan batu lengkap pelbagai kemudahan moden.

Nilai hartanah di kawasan bandar sudah meningkat berkali ganda. Sebagai contoh, kawasan perbandaran yang tumbuh pesat di Johor dan Selangor, meletakkan kedudukan ekonomi dan pendapatannya jauh lebih tinggi daripada Kelantan dan Terengganu yang proses perbandarannya agak perlahan.

Ini adalah hakikat yang kita terima dan secara tidak sedar, kita berasa bangga dengan kadar perbandaran yang berlaku tanpa memikirkan kesan sampingan bagi jangka panjang iaitu masa depan kuasa politik Melayu. Satu persoalan yang harus kita fikirkan juga adalah proses perbandaran dan perubahan struktur dan komposisi penduduk di kawasan bandar yang baharu dibina.

Penduduk pelbagai kaum

Dalam konteks negara kita yang terdiri daripada penduduk pelbagai kaum dan agama, faktor kaum dan agama mempunyai hubungan rapat dengan kuasa politik dan pengundi. Sejauh manakah kawasan perbandaran baharu yang dibentuk dirancang dengan teliti struktur penduduknya atau dibiarkan berlaku tanpa apa-apa rancangan dalam aspek struktur penduduk?

Adakah kedudukan kekayaan negara mengikut kaum akan menjamin terbentuk kawasan bandar yang mempunyai penduduk seimbang antara pelbagai kaum atau hanya akan didiami secara majoriti penduduk sesuatu kaum (Cina) dan mempunyai jumlah yang kecil kaum tertentu (Melayu)?

Apakah kesan pembentukan struktur penduduk yang sedemikian kepada masa depan kawasan bandar yang baru terbentuk terhadap masa depan kuasa politik dan pengundi Melayu? Adakah kawasan bandar yang baharu dibentuk itu menjadi sebuah kawasan Parlimen atau kawasan Dewan Undangan Negeri yang selamat bagi parti politik kaum Cina?

Kesan jangka panjang

Proses perbandaran dan perubahan struktur penduduk ini berlaku sekarang. Adakah kawasan perbandaran baru yang terbentuk mencerminkan peratusan penduduk mengikut nisbah nasional iaitu peratus paling tinggi (atau peratus yang tinggi) adalah didiami oleh orang Melayu, diikuti kaum lain seperti Cina dan India?

Apakah kesan jangka panjang kepada politik dan masa depan negara jika semua kawasan baharu perbandaran yang dibentuk semua didiami kaum tertentu dan tidak melambangkan komposisi nisbah penduduk nasional? Jawapan mudahnya kawasan bandar yang baharu akan menjadi kawasan utama pengundi kaum Cina sebagai pengundi majoriti.

Sebagai contoh kawasan Parlimen Gelang Patah di Johor pada asal bukan kawasan Parlimen majoriti kaum Cina. Apa akan berlaku jika kawasan perbandaran ini berjalan lancar dan membangun dengan pesat? Kesannya kurang baik bagi kestabilan politik Melayu dan negara amnya.

Adakah proses perbandaran sebegini perlu diperbetulkan bagi masa depan politik negara? Jawapannya adalah 'ya' iaitu ia perlu diperbetulkan. Pihak berkuasa harus menentu peratus pemilikan yang seimbang mengikut kaum tertentu. Jangan dibiarkan hanya satu kaum tertentu memiliki hartanah bandar yang baru dibina. Peranan Lembaga Pembangunan Bandar (UDA) perlu diaktif dan digerakkan semula.

Ia mesti diagihkan mengikut kaum tertentu berdasarkan struktur penduduk nasional dan jangan sesekali dibiarkan bergerak berasaskan apa yang sedang berlaku sekarang. Agenda pembangunan bandar hendaklah diasaskan kepada pembangunan secara menyeluruh penyusunan semula penduduk. Apa yang berlaku ketika penjajahan iaitu hanya satu kaum sahaja yang mendiami kawasan bandar (Cina) manakala kaum lain berada dan tinggal di lokasi geografi secara terpisah mesti disekat.

Kerajaan perlu mencari jalan agar hartanah bandar tidak menjadi terlalu mahal dan hanya mampu dibeli oleh kaum tertentu. Pengawalan harga dan campur tangan kerajaan ke arah lebih positif sangat perlu. Adakah ia mampu dilakukan dan dirancang dengan lebih baik serta bersifat lebih seimbang dan siapakah paling bertanggungjawab dalam penyusunan semula ini?

Pembinaan kampus Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi dan Institut Teknologi MARA di Shah Alam adalah pemangkin pertumbuhan kedua-dua bandar baharu ini. Dirancang agar penduduk utama terdiri daripada orang Melayu sebagai peratus tertinggi tanpa menyekat kaum lain.

Apa yang dilakukan Tun Abdul Razak Hussein ketika itu adalah membentuk bandar sebagai kawasan selamat bagi kedudukan politik dan ekonomi masa depan orang Melayu dan baik bagi negara secara keseluruhannya.

Penulis ialah Pensyarah di Program Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

1287 dibaca
Berita Harian X