Khamis, 10 Ogos 2017 | 6:01am
- Gambar hiasan

Pecah tembok berfikiran dalam kotak

Dunia dan perlakuan manusia serta hidupan di bumi ini sangat kompleks dan saling berhubung antara satu sama lain. Lain pula cara kita mengenali alam dan mendekati penyelesaian masalah kehidupan. Manusia cuba pisahkan fahaman mengenai bahan bumi dan proses untuk setiap fenomena dan mencadang tindakan berasaskan sektor atau komponen kecil yang mudah ditangani.

Bidang ilmu, khususnya sains tulen kini, sudah begitu menjurus dan mendalam sehingga kita menjadi taasub kepada fenomena yang sangat terfokus dan semakin jauh kepada keperluan kehidupan harian. Perkembangan sains dan teknologi sememangnya begitu hebat, sehingga kita boleh membina kenderaan canggih untuk ke angkasa lepas atau ke lautan dalam. Sebaliknya, isu yang paling asas dan dekat di hati seperti kemiskinan, kesejahteraan, perpaduan dan kelestarian masih belum mampu diselesaikan secara bersepadu (syumul).

Sejak di bangku sekolah lagi kita didedahkan kepada pendekatan pendidikan bersifat bidang ilmu (sektoral). Bidang Sains Tulen pula dipecahkan kepada Fizik, Kimia, Matematik, Biologi dan Geologi. Apabila belajar di pusat pengajian tinggi pula, bidang ilmu dipecahkan menjadi subbidang lebih kecil.

Dalam bidang Geologi umpamanya, kita boleh menjurus kepada Geologi Fizikal, Geologi Struktur, Petrologi, Sedimentologi, Geomorfologi, Geofizik, Geokimia, Paleontologi dan puluhan subbidang Geologi gunaan lain. Ramai pakar dalam subbidang ilmu sangat menjurus pengetahuannya sehingga tidak berupaya mengikuti bidang dan subbidang lain di luar kepakarannya.

Perkembangan begini membawa banyak kebaikan, khususnya dalam hal berkaitan pembangunan infrastruktur fizikal, penciptaan teknologi tinggi (menghasilkan produk termaju) dan penyelesaian masalah bersifat sektoral. Penjanaan kekayaan individu, negara dan kemudahan canggih seperti kenderaan, telefon pintar dan komputer mampu kita nikmati kerana perkembangan bersifat kepakaran dan pengkhususan ini.

Ramai pakar di menara gading berupaya meneroka ilmu baharu, memahami fenomena alam yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Begitupun, mereka sebenarnya semakin berjauhan dengan realiti kehidupan sebenar, iaitu keperluan asas manusia dan kepentingan melestarikan kehidupan bermasyarakat.

Dalam struktur pentadbiran kerajaan juga pendekatan kita bersifat sektoral. Organisasi pentadbiran di struktur berasaskan kepada pelbagai kementerian, bahagian, jabatan dan unit. Masing-masing hanya memberikan perhatian kepada mencapai objektif khusus tersendiri, sementara urusan berkaitan objektif bersama kurang diberikan perhatian. Beginilah juga keadaan pemikiran kita, sejak di bangku sekolah, di universiti dan dunia pekerjaan, kita hanya dapat melihat isu dan pendekatan penyelesaian berasaskan kefahaman sektoral.

Apabila krisis alam sekitar mulai mengancam kesejahteraan awam, khususnya isu pencemaran tanah, air dan udara, gangguan bekalan air bersih, bencana alam dan pemanasan global, komuniti dunia mulai sedar usaha atasi krisis alam sekitar perlukan pendekatan pelbagai bidang.

Idea pengurusan berasaskan kesihatan ekosistem dan pendekatan terintegrasi mulai diperkenalkan. Perkembangan selanjutnya menggerakkan gagasan pembangunan lestari serta munculnya bidang ilmu pelbagai bidang yang dikenali Sains Kelestarian. Selepas lebih 30 tahun idea pembangunan lestari diperkenalkan, organisasi dan masyarakat masih belum berupaya mengubah set minda ke arah penyelesaian secara terintegrasi (syumul).

Pembangunan lestari babit isu kemanusiaan

Dalam perbincangan peringkat global terakhir ini pula, konteks pembangunan lestari tidak sahaja berkaitan dengan kesihatan alam sekitar, tetapi membabitkan pelbagai isu kemanusiaan, khususnya kemiskinan, keadilan ekonomi, keselamatan makanan dan kesejahteraan sosial. Komuniti yang berada pada tahap kemiskinan, tiada pilihan melainkan menggunakan sumber alam sekitar secara tidak lestari untuk hidup. Ternyata, pendekatan bersifat sektoral bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan isu alam sekitar, tetapi membabitkan juga isu sosial dan agihan ekonomi.

Wawasan kelestarian peringkat global semakin menyerlah, pelbagai perancangan dan tindakan bersifat syumul sudah mula diperkenalkan. Negara kita masih terperangkap dalam kesektoran dan belum mampu mengatur hala tuju jelas ke arah kelestarian. Satu sebab utama ialah kerajaan, kepemimpinan dan warga belum dapat memecahkan tembok amalan berfikiran dalam kotak. Untuk hasilkan warga berfikiran syumul, kita perlu nilai semula cara mendidik, mentadbir dan membuat keputusan.

Berikut adalah perubahan berterusan boleh dipertimbangkan:

Kaedah pendidikan, selain memberikan penekanan kepada kemahiran membaca, menulis dan mengira, semua pengetahuan dan pengalaman perlu didedahkan kepada pelajar secara syumul melampaui batasan bidang ilmu;

Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mempertimbangkan beberapa akta atau enakmen payung yang menyatukan perundangan sedia ada berasaskan komponen kelestarian, iaitu kesihatan alam sekitar (sumber asli), kesejahteraan masyarakat (manusia) dan pertumbuhan ekonomi (kekayaan); dan

Memperkenal pendekatan mengurus bersama, iaitu semua pihak berkepentingan utama duduk semeja dan buat keputusan bagi melaksanakan pelbagai program dan projek secara bersepakat.

Warga berfikiran syumul mampu melihat isu dan peluang berasaskan pandangan hidup yang luas dan meramal impak hubung kait antara fenomena melampaui batasan bidang ilmu.

Wawasan pembangunan Geopark Kebangsaan yang diperkenalkan sejak 2006 adalah projek ke arah membina komuniti yang diidamkan ini.

Profesor Emeritus, UKM dan Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara

455 dibaca
Berita Harian X