Rabu, 9 Ogos 2017 | 5:52am

Pelantikan Md Raus ikut Perlembagaan

Pada 4 Ogos lalu, Tan Sri Md Raus Sharif selamat mengangkat sumpah sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan seterusnya sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan mulai tarikh 4 Ogos dan untuk tempoh tiga tahun. Saya pada waktu itu sedang berada di London kerana menghadiri beberapa perbincangan dan mesyuarat mengenai tuntutan Malaysia terhadap Pulau Batu Putih dan hanya akan kembali ke tanah air pada hari ini.

Walaupun berada jauh di perantauan, saya tetap mengikuti dengan dekat perkembangan pelantikan Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara ini kerana ia adalah isu panas membabitkan kepentingan awam. Apatah lagi bila seorang bekas Menteri Undang-Undang dilaporkan berkata dalam satu portal berita pada 12 Julai lalu bahawa, melainkan jika saya menyatakan sokongan terbuka saya kepadanya, beliau percaya pelantikan Md Raus tidak mendapat sokongan saya.


Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif menjawab pertanyaan pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2016 di Istana Kehakiman, pada 5 Ogos lalu. - Foto BERNAMA

Begitu juga dengan beberapa pihak lain yang dilaporkan meminta saya menjelaskan pendirian saya selaku penasihat undang-undang kerajaan mengenai sama ada pelantikan Md Raus ini bertepatan dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan ataupun tidak. Suka saya terangkan di sini bahawa pendirian saya adalah jelas, iaitu pelantikan Md Raus ini dibuat setelah kesemua kehendak Perlembagaan Persekutuan dipatuhi.

Oleh itu ia tidak wajar disensasikan dan dipolitikkan oleh sesiapa sahaja untuk kepentingan mereka. Ada yang mengaitkan pelantikan Md Raus ini dengan politik kepartian, kononnya ia berpunca daripada usaha badan eksekutif, khususnya Perdana Menteri, untuk mengekalkan kuasa dan kononnya ini akan menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Bagaimanapun, perlu disedari pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan, langsung tidak membabitkan badan eksekutif kerana ia dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Ketua Hakim Negara di bawah Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah Fasal ini, mana-mana orang yang telah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia boleh dilantik untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan oleh baginda.

Pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan ini tidak wajar dipertikai kerana beliau memang sudah memegang jawatan kehakiman yang tinggi di Malaysia, menyamai pelantikan Tan Sri S Chelvasingam MacIntyre dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha sebelum ini. Seperti dijelaskan oleh kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan Md Raus sebagai hakim tambahan ini dibuat oleh baginda atas sembah cadangan dan nasihat Ketua Hakim Negara pada ketika, Tun Arifin Zakaria, pada 30 Mac lalu.

Hanya setelah Yang di-Pertuan Agong memperkenankan cadangan Arifin supaya Md Raus dilantik sebagai hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan, barulah wujud nasihat Perdana Menteri kepada baginda supaya Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara. Bagi saya, frasa 'bagi apa-apa maksud' di dalam Fasal (1A) Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan ini mencakupi satu skop yang sangat luas dan saya setuju bahawa ia sama sekali tidak mengecualikan pelantikan hakim tambahan ini sebagai Ketua Hakim Negara.

Bahawa pelantikan Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara ini diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 24 dan 25 Mei, menjadikan pelantikan ini sukar untuk dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Tindakan mempertikaikan pelantikan Md Raus sebagai Ketua Hakim Negara ini bukan sahaja tidak wajar tetapi juga tidak beradab kerana ia menunjukkan sikap tidak hormat pihak-pihak yang berbuat demikian kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Pada masa sama, seperti disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum ini, saya juga tidak menghalang rancangan mana-mana pihak, termasuk Majlis Peguam, untuk merujuk perkara ini ke mahkamah kerana ini adalah hak mereka. Bagaimanapun, saya sangat kesal dengan tindakan tidak matang Majlis Peguam di dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa mereka pada 3 Ogos lalu meluluskan resolusi memboikot Md Raus dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Kata Presiden Majlis Peguam, George Varughese, resolusi ini menyamai resolusi yang pernah diluluskan oleh Majlis Peguam pada 1988 waktu berlakunya krisis kehakiman ekoran pemecatan Ketua Hakim Negara pada ketika itu, Tun Mohd Salleh Abas. Lebih teruk lagi, seorang Ahli Parlimen PKR, malah dilaporkan oleh sebuah portal berita pada 6 Ogos sebagai mendakwa bahawa pelantikan Md Raus jauh lebih teruk daripada pemecatan Mohd Salleh sedangkan perbezaan kedua-duanya adalah umpama langit dan bumi.

Di sebalik cubaan sesetengah pihak untuk meniupkan sentimen kedaerahan dalam isu pelantikan Md Raus ini, ia sebenarnya tidak menzalimi sesiapa, malah tidak melahirkan apa-apa krisis kehakiman, berbanding kes pemecatan Mohd Salleh yang rekodnya terbukti.

Majlis Peguam menyebut bahawa pelantikan hakim tambahan sebagai Ketua Hakim Negara tidak pernah berlaku tetapi, seperti disebut oleh Md Raus, hakikat bahawa sesuatu perkara tidak pernah berlaku tidak semestinya menjadikan perkara ini tidak boleh berlaku.

Saya bersetuju dengan pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Zaki Azmi, bahawa Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsirkan secara kaku (rigid), sebaliknya ia perlu ditafsirkan secara kreatif dan konstruktif bagi menyelesaikan masalah baharu. Malah, tafsiran inilah yang diguna oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Badan Peguam Malaysia vs Kerajaan Malaysia [2008] 1 CLJ 521 sewaktu menolak tuntutan Badan Peguam Malaysia ke atas pelantikan Dr Badariah Sahamid sebagai Pesuruhjaya Kehakiman.

Penulis adalah Peguam Negara

1325 dibaca
Berita Harian X