Selasa, 8 Ogos 2017 | 6:03am

Revolusi Industri 4.0 hasilkan 'Universiti Uber'

Sejak 2016, sistem pengangkutan di negara kita, dihangatkan dengan kehadiran perkhidmatan Uber yang berfungsi sebagai perantara antara rider dan driver, untuk ke sesuatu destinasi. Penumpang hanya perlu isi maklumat kad kredit ke dalam aplikasi Uber dengan bayaran akan ditolak secara automatik daripada kad kredit pengguna sebelum memohon perkhidmatan pemandu Uber.

Pengguna juga boleh lihat sendiri jarak dan laluan yang akan dilalui tanpa ada unsur penipuan. Pemandu dan penumpang boleh buat penilaian kualiti perkhidmatan dan beri markah sesama sendiri. Mendapat markah lemah secara berpanjangan akan menyebabkan penumpang dilarang menggunakan perkhidmatan Uber sama sekali atau pemandu boleh dihalang teruskan perkhidmatannya.


- Gambar hiasan

Perkhidmatan Uber dilihat semakin popular dan disukai pengguna disebabkan tambang lebih murah berbanding teksi. Selain itu, perkhidmatan juga lebih selesa. Pengguna tidak perlu untuk keluar mencari teksi dan hanya perlu menunggu di rumah untuk menempah Uber.

Dari aspek keselamatan, pengguna Uber lebih berasa selamat kerana mempunyai maklumat lengkap pemandu yang berdaftar dengan pengurusan Uber.

Penulis kerap terfikir konsep Uber ini amat menarik dan secara tidak langsung mampu diserapkan dalam sistem pendidikan tinggi di negara kita. Apa tidaknya, lihat sahaja awal tahun ini apabila Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh melaungkan dan mengangkat kaedah pembelajaran fleksibel sebagai inisiatif ke arah mereka bentuk semula pendidikan tinggi.

Pembelajaran tidak tertumpu di dewan kuliah

Andaikan bahawa pelajar mewakili golongan rider, manakala pensyarah dan pemberi pendidikan tinggi pula bertindak sebagai golongan driver yang memacu dan menyelaras sistem pendidikan tinggi negara. Ekosistem pendidikan tinggi yang giat dibangunkan, sekali gus menyamai modus operandi perkhidmatan Uber di mana pelajar bertindak sebagai pelanggan mampu memilih dan mengatur program akademik, kaedah pembelajaran, subjek yang diambil dan pensyarah.

Pembelajaran juga tidak tertumpu hanya di dewan kuliah, tetapi boleh dikembangkan melalui platform alam maya yang bertindak sebagai medium melakukan diskusi, forum atas talian dan medan untuk menjalankan penilaian secara formatif dan sumatif. Kini setiap universiti awam sudah membangunkan Kursus Dalam Talian Terbuka Secara Besar-besaran (MOOC) untuk kebanyakan subjek. Kaedah ini membolehkan subjek diajar bukan sahaja untuk pelajar di universiti terbabit, bahkan boleh dikongsi dengan universiti lain di Malaysia, mahupun di luar negara.

Usaha ini turut disokong Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang menjadikan Malaysia negara pertama dunia mengiktiraf pemindahan kredit menerusi pembelajaran secara MOOC. Dengan cara ini, institusi pendidikan tinggi mampu menjana pendapatan dengan menawarkan MOOC kepada pelajar universiti lain. Setiap pelajar yang mengambil kursus MOOC boleh dicaj sekiranya mereka ingin mendapatkan pindahan kredit.

Jika kita menyingkap kembali ketika perkhidmatan Uber mula-mula diperkenalkan dahulu, wujud segelintir golongan membantah, terutama pemandu teksi dan pengusaha kereta sewa. Alasannya perkhidmatan ini mengganggu periuk nasi mereka. Tetapi sekarang konsep ini mula diterima dan beri kesan positif dan persaingan sihat kepada penyedia perkhidmatan pengangkutan yang lain.

Begitu juga dengan landskap pendidikan tinggi negara. Berkemungkinan konsep 'Universiti Uber' ini kurang dapat sambutan pada awal pengenalannya. Malah, mungkin ada mengkritik menyatakan bahawa kita terlalu terikut-ikut cara dan metodologi universiti di Barat. Perkara ini tidaklah pelik kerana perbincangan mengenai 'Can We Uber-ize The Higher Education?' juga ditiup ahli akademik di Britain dan Amerika Syarikat.

Ada yang bersetuju dengan mengatakan bahawa pelajar, sebagai rider sudah bersedia mencorakkan pilihan dan jenis tahap pendidikan dan bidang pengajian yang ingin mereka ceburi. Kemudahan di kampus dan ekosistem dibangunkan kerajaan di negara masing-masing juga amat menyokong konsep 'Universiti Uber' ini.

Mereka yang menolak idea ini pula adalah pensyarah yang masih memilih kaedah tradisional dan syarahan dalam dewan kuliah. Ibu bapa juga ada yang tidak bersetuju kerana bimbang anak mereka akan menjadi pelajar yang terlalu dibiarkan 'bebas' meneroka ilmu tanpa ada sokongan dan panduan pensyarah.

Penulis berpendapat dengan ledakan dan juga gelombang Revolusi Industri Keempat (4.0) yang melewati dunia global hari ini, konsep pembelajaran yang mewujudkan 'Universiti Uber' ini akan diterima pakai masyarakat kerana manfaat dan peluang diberikan adalah berganda berbanding konsep pendidikan sedia ada.

Robot tak mampu ganti tugas manusia

Lihat sahaja di Malaysia, pihak kementerian dan juga universiti banyak menganjurkan seminar, bengkel dan simposium bertujuan membincangkan gelombang Revolusi Industri Keempat ini serta bagaimana cara kita untuk memanusiakan teknologi supaya tidak hanyut dibawa arus kemodenan tanpa ada kawalan yang baik.

Penulis bersetuju secanggih manapun sistem robot yang dapat dihasilkan, masih tidak mampu menggantikan tugas manusia secara menyeluruh. Sungguhpun begitu, manusia juga perlu sentiasa tingkatkan kemahiran dan daya kompetensi agar tidak mudah hilang pekerjaan setelah kerja mereka diambil alih oleh robot.

Secara keseluruhan, cendekiawan pelbagai bidang harus sama-sama berganding bahu, duduk semeja supaya pelbagai usaha dan tindakan dapat diatur untuk berdepan gelombang yang amat dahsyat ini. Mahu tidak mahu, konsep Uber pasti menerjah landskap pendidikan kerana ia mampu beri manfaat kepada pelajar sebagai rider, mahupun pensyarah dan institusi pendidikan tinggi yang akan meneruskan legasi pendidikan tinggi berkualiti di Malaysia.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Akses Pembelajaran Terbuka Global (GOALITQAN) Universiti Sains Islam Malaysia

Berita Harian X