Isnin, 7 Ogos 2017 | 6:06am

'Potong' gula untuk lebih sihat, cantik

Susah sebenarnya jadi wanita Melayu. Bukan sahaja kita ditekankan menjadi seorang ibu yang baik, isteri yang pandai melayan suami, anak menantu yang pandai mengambil hati keluarga mentua, malah bak kata Saloma, wanita mesti pandai menjaga badan supaya suaminya tidak berasa bosan.

Wanita diminta untuk memenuhi semua kriteria ini dan pada masa sama menghadapi realiti kehidupan moden yakni menjadi wanita bekerja untuk menampung keperluan dan perbelanjaan keluarga. Daripada guru, pekerja swasta atau kerajaan; wanita mesti sentiasa berada dalam keadaan siap siaga (perkataan baharu yang saya pelajari) sentiasa mengawasi anak dan menjaga keluarga.

Saya harus akui, saya bukan rujukan yang baik untuk melihat cabaran kehidupan wanita Melayu moden masa kini, namun saya ingin berkongsi sedikit pengalaman dari sudut yang saya kira amat penting dalam kehidupan kita sebagai wanita moden, iaitu kesihatan.

Apabila kita melihat kecantikan selebriti dalam Instagram, pelbagai faktor yang dapat kita lihat memberi sumbangan kepada kecantikan itu, daripada penggunaan fesyen yang baik, solekan yang sesuai, penggunaan tapisan kamera (filter) telefon pintar yang membuatkan kulit kelihatan halus dan sempurna hingga jenama pakaian yang dipakai.

Namun, di sebalik semua itu, apa yang ramai orang lupa bahawa asas kepada bentuk kecantikan fizikal adalah penjagaan kesihatan. Apa yang orang ramai tidak nampak ialah di sebalik gambar yang hampir sempurna itu adalah puluhan jam masa dihabiskan di pusat kesihatan (gym) dan disiplin dalam penjagaan pemakanan.


Pusat gymnasium. - Gambar hiasan

Penjagaan kesihatan penting

Menjadi wanita Melayu moden masa kini, sesungguhnya penjagaan kesihatan itu amat penting bukan sahaja bagi kecantikan fizikal semata-mata, tetapi dalam memastikan badan kita mempunyai stamina untuk menghadapi kehidupan seharian. Namun, anda pasti akan mempersoalkan, "mudahlah cik puan untuk bercakap begitu, saya tidak mempunyai pelatih peribadi dan masa untuk ke gym."

Faktor utama masalah kesihatan dalam kalangan masyarakat kita bukan makanan berlemak seperti rendang dan nasi lemak, tetapi kegilaan kita makan gula. Kita letak gula dalam segala benda yang kita makan. Gula penyumbang utama kepada masalah kesihatan yang biasa kita dengar iaitu obesiti, diabetes, sakit jantung dan darah tinggi.

Selalu kita dengar kalau hendak diet, perkara pertama yang kita perlu hentikan ialah makan nasi dan ini selalunya berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Berat badan akan turun pada awal permulaan diet kita itu, namun kita dapati ia terhenti dan naik kembali kerana kita akan menggantikannya dengan perkara lain. Karbohidrat seperti roti, nasi dan pasta dicerna oleh badan kita dan menggubahnya kepada glukos yakni sejenis gula dalam darah yang menjadi bahan bakar kepada badan.

Gula tambahan sebagai dalang

Asas kepada diet berhenti makan nasi datang daripada idea bahawa sekiranya sudah tidak mempunyai glukos untuk dibakar, badan kita mula membakar lemak yang tersimpan seterusnya menurunkan berat badan. Namun, apa yang perlu kita sedar, glukos bukan penyumbang kepada pembentukan lemak dalam badan, sebenarnya fruktos yakni gula tambahan yang menjadi dalang utama merosakkan tubuh badan kita.

Berbeza dengan glukos, gula buatan manusia - fruktos, ia tidak mempunyai tindak balas serupa dengan glukos, hati tidak akan berhenti memproses fruktos dan apabila hati kita sudah menghasilkan glycogen yang mencukupi, ia akan mengubah fruktos yang kita makan kepada lemak yang menyumbang kepada kegemukan dan lemak ini masuk ke dalam darah seterusnya meningkatkan kolesterol dan menaikkan risiko serangan jantung.

Malah, gula juga sesuatu yang mudah menimbulkan ketagihan, dengan pemakanan gula akan terhasil hormon dopamine yang menjadikan kita gembira dan ceria seterusnya membuatkan otak kita mahu memakan lagi gula berkenaan. Sebab itu apabila sedih dan kecewa, kita akan mencari makanan manis untuk menaikkan mood dan sebab itu kita selalu tambah dan sukar untuk kenyang apabila memakan benda manis.

Penerangan yang saya tawarkan di sini adalah hasil pembacaan dan pengalaman sendiri. Saya dapati dengan pemotongan gula dalam pemakanan harian secara terus akan menyumbang kepada peningkatan stamina, pengurangan berat dan kecerdasan badan. Logik di balik pemikiran ini amat mudah, zaman-berzaman nenek moyang kita makan lemak daripada daging, namun tidak pernah ada masalah kegemukan dalam masyarakat, hanya apabila gula mula diperkenalkan terutama dalam minuman, khususnya minuman soda baru kita dapati isu obesiti mula muncul dalam kalangan masyarakat kita.

Kalau saya ditanya, apakah langkah pertama harus dibuat oleh seseorang wanita untuk menaikkan taraf kesihatan atau kelihatan cantik, saya dengan tegas akan katakan, potonglah gula dalam makanan dan minuman. Lupakan tas tangan berjenama, kasut bergaya atau solekan mahal, itu semua hanya pelengkap kepada tubuh badan yang sihat.

Sebenarnya, gula tidak mempunyai sebarang sumbangan nutrisi kepada badan kita melainkan kalori, tidak seperti nasi yang mempunyai vitamin dan nutrisi tambahan; gula adalah apa yang disebut sebagai kalori kosong. Kalau anda benar-benar serius mahu meningkatkan kesihatan, potonglah gula dalam pemakanan daripada minuman bergula, makanan manis hingga tambahan gula dalam masakan.

Cuba lakukan ini untuk sekurang-kurangnya sebulan. Dua minggu pertama anda mungkin akan rasa resah dan gundah gulana (moody) satu simptom biasa apabila badan anda cuba menyesuaikan diri dengan ketiadaan gula tambahan di dalam badan. Gantikan ketiadaan gula itu dengan gula asli daripada buah-buahan dan insya-Allah saya rasa anda akan dapat rasakan perubahan bukan sahaja dari segi kesihatan fizikal, tetapi juga kepada deria rasa yang menjadi semakin sensitif dengan ketiadaan gula yang melitupi deria rasa lain.

Cubalah. Tak susah, apa kata anda lakukan hijrah ini kemudian kongsi pengalaman anda tanpa gula untuk sebulan di Instagram saya dan sama-sama kita berusaha menjadi lebih sihat seterusnya membina kehidupan lebih baik.

Penulis adalah Bekas Personaliti TV

Berita Harian X