Jumaat, 4 Ogos 2017 | 6:05am
PUTRAJAYA.

Kejayaan usah lunturkan jati diri kita

Laungan Negaraku Malaysia yang bergema di Dataran Putrajaya dalam siri pertama jelajah Ekspresi Negaraku pada 18 Mac lalu menyaksikan satu lagi detik perpaduan apabila ribuan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai etnik dan latar belakang menzahirkan ekspresi kebersamaan mereka dalam membina negara ini.

Bermula saat itulah, satu lembaran patriotisme baharu yang benar-benar istimewa terbuka luas. Hampir 60 tahun menyambut ulang tahun kemerdekaan, identiti jiwa dan bangsa perlu disemarakkan semula agar kekal utuh terjaga. Anggapan bahawa semangat cintakan negara semakin luntur adalah satu persepsi. Mungkin benar dan mungkin tidak, bergantung kepada sudut pandang sisi orang yang menilai. Jika kita masih dibuai mimpi, tidak mustahil tanggapan yang tidak menyenangkan ini akan menjadi satu realiti.

Kita dibayangi persepsi dan kata-kata sinis bahawa rakyat Malaysia kini semakin kehilangan jati diri. Generasi muda bergaya hipster, dengan gelagat dan penampilan yang nyata janggal dengan budaya asli kita. Kononnya mereka berfikiran di luar kotak, mencari satu kelainan dan suasana itu didakwa menjadikan mereka lebih kreatif dan berinovasi.

Ramai juga yang mengiyakan persepsi ini apabila melihat kehadiran pelbagai warna kulit yang semakin meriah mendiami bumi negara ini. Dahulu kita hanya ada Melayu, Cina, India dan pribumi Sabah dan Sarawak. Kini kita ada sahabat dari Nepal, Filipina, Bangladesh dan Myanmar. Percampuran komposisi ini sedikit sebanyak mula mengubah landskap demografi negara, terutama apabila berada di kota raya mega seperti Kuala Lumpur.

Semangat kesatuan

Rakyat Malaysia masih lagi mempunyai semangat kesatuan dan rasa kepunyaan yang kuat terhadap negara. Tanpa mengira batasan kaum, politik mahupun agama, kita mampu bersatu dan bekerjasama mengatasi setiap rintangan.

Laporan Expat Insider 2016 meletakkan Malaysia berada di tempat ke-22 sebagai negara yang rakyatnya paling peramah di dunia. Laporan Kegembiraan Dunia 2017 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula menyenaraikan Malaysia di tangga ke-42 sebagai negara paling gembira, iaitu mengatasi Jepun dan Korea Selatan.

Dalam edisi terbaru Indeks Keamanan Dunia (GPI) terbitan Institute for Economics and Peace (IEP), Malaysia berada di tangga ke-30 dari 163 negara, iaitu posisi lebih baik berbanding negara maju seperti Itali di tempat ke-39, Perancis (46) dan United Kingdom (47). Malah menurut dapatan Indeks Sekatan Visa Henley & Partner 2017, rakyat Malaysia menikmati akses memasuki ke-164 negara di dunia ini tanpa memerlukan visa.

Firma Amerika Syarikat, BAV Consulting dan Wharton School dari Universiti Pennsylvania mengumumkan Malaysia sebagai pendahulu dalam kategori Negara Terbaik Untuk Melabur 2017. Bank Dunia pula menyebut Malaysia sebagai antara ekonomi terbaik di rantau Asia Pasifik dan kedua terbaik di rantau Asia Tenggara dari segi keberkesanan dan kualiti kawal selia perniagaan yang diukur oleh Doing Business Report 2017.

Kegemilangan menerusi DFTZ

Kegemilangan ekonomi negara bakal dilestarikan menerusi Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang dijangka melonjakkan pertumbuhan syarikat antara 30-40 peratus setahun. Berfungsi sebagai hab e-dagang serantau, DFTZ dijangka menjana AS$65 bilion nilai urus niaga perdagangan dan berupaya mewujudkan 60,000 pekerjaan pada 2025.

Dunia bukan hanya menyanjung kita dengan kehebatan pahlawan legenda Hang Tuah lima sekawan, tapi juga jaguh skuasy negara Datuk Nicol David, ratu terjun dunia Pandalela Rinong dan raja keirin dunia, Azizulhasni Awang. Semestinya, alunan keramat lagu Negaraku bakal lebih kerap berkumandang di persada dunia, yang sebelum ini sudah tiga kali kedengaran di Stadium Olimpik Rio de Jeneiro, Brazil pada temasya Sukan Paralimpik, juga di Jerman dan di Argentina dalam sukan permotoran dunia Moto3 melalui juara kita, Khairul Idham Pawi. Tidak ketinggalan juga, kita mempunyai Harith Iskandar - sebagai Funniest Person in the World 2016.

Kita sudah catat sejarah yang dibanggakan, kita ada rentetan kejayaan yang sudah dikecapi dan kita juga punya harapan menggunung terhadap masa depan negara. Bermula dengan Transformasi Perkhidmatan Awam (TPA) 1.0 yang dipelopori Jabatan Perkhidmatan Awam sejak 2013, dan kini bakal memasuki fasa baharu TPA 2.0, gerakan islah ini perlu bersifat holistik.

Pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) memainkan peranan penting dalam perkara ini. Kerajaan dan seluruh pentadbirannya giat mendapatkan pandangan dan hasrat rakyat dalam mereka bentuk acuan negara seperti yang diinginkan untuk 30 tahun akan datang.

Penghujung 2017 bakal menyaksikan pembentangan laporan penuh ekspresi TN50 hasil pungutan suara generasi belia. Impian ini lebih jelas dan semakin meyakinkan untuk dicapai dengan ada gandingan gerakan Negaraku Malaysia. Semangat dan roh cintakan negara diseru dan ditiup agar mengalir deras dalam setiap pembuluh darah anak bangsa.

Kita mahu negara gemilang di persada dunia, kita mahu menjadi jaguh di setiap lapangan. Pada masa sama, kita kekal sebagai anak watan yang masih berpegang kepada nilai-nilai ketimuran dengan jati diri yang masih tidak tergugat.

Menyoroti kembali pencapaian negara setakat ini, dan menjenguk kepada kemampuan yang dimiliki, pastinya kita mampu mencapai sasaran 2050 nanti, iaitu untuk menyaksikan Malaysia menempa kedudukan di barisan 20 negara terbaik di dunia. Ingatlah bagi setiap titis keringat dan pengorbanan yang dicurahkan, manfaatnya adalah untuk kemaslahatan diri, keluarga, generasi dan anak bangsa sendiri. Salam Negaraku Malaysia.

Penulis adalah Perunding Latihan Kanan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

Berita Harian X