Rabu, 2 Ogos 2017 | 6:32am
KONFLIK bersenjata kekal sebagai masalah terbesar dunia. - Foto hiasan

Kaitan jenayah, konflik ancam keselamatan

KONFLIK bersenjata kekal sebagai masalah terbesar dunia, manakala mencegah konflik adalah harapan terbesar kita untuk mengekalkan keamanan. Tetapi, jika kita tidak membanteras jenayah dan menguatkuasakan keadilan, kedua-duanya terus menjadi cabaran yang perlu diselesaikan.

Sejak lebih satu abad lalu, jenayah melalui proses transformasi. Kumpulan jenayah lebih berkemungkinan kini adalah anggota lembaga pengarah syarikat; pemecah pintu keselamatan dan pemandu kumpulan penjenayah kini digantikan oleh akauntan dan peguam licik.

Pada abad ke-21, wang bernilai berbilion dolar diubah melalui pusat kewangan dunia. Kajian oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mengenai aliran wang haram itu menunjukkan perolehan keseluruhan jenayah mencecah AS$2 trilion (RM8.55 trilion).

Jika jenayah itu seumpama sebuah negara, lokasinya adalah di antara Itali dan India jika berdasarkan kepada kedudukannya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Itu bermakna mereka mempunyai wang yang cukup bukan hanya untuk merasuah dan menyogok pegawai penguat kuasa undang-undang atau kastam tetapi juga memasukkan ke dalam poket orang tertentu di negara yang lemah. Penjenayah juga gemar jika aktiviti mereka dibiarkan berleluasa tanpa sekatan.

Jenayah berupaya berubah mengikut keadaan

Sikap tak ambil peduli, memberi tumpuan di tempat lain hanya membolehkan kumpulan jenayah terancang melintasi sempadan, semakin kuat tersebar dan aktif. Aspek paling dikhuatiri ialah bukan hanya masalah daripadanya tetapi keupayaan jenayah berubah mengikut keadaan.

Seperti juga dubuk mengekori singa kerana berharap mendapat makanan, jenayah membayangi konflik. Bukanlah satu kebetulan bahawa konflik di Iraq dan Syria menjadi faktor menggerakkan aktiviti pemerdagangan manusia, penyeludupan migran dan jenayah lain di Asia Barat, Afrika Utara dan merentas Mediterranean. Cuma, jenayah tidak hanya menjadi mudah kerana konflik tetapi turut juga menjadi penyebabnya.

UNODC menganggarkan bahawa pergerakan Taliban mengumpul AS$150 juta (RM641.7 juta), 50 peratus pendapatan keseluruhan mereka, daripada cukai dan pembabitan dalam urus niaga candu.

Kumpulan Boko Haram pula terbabit dalam penyeludupan heroin dan kokain selain memperdagang manusia serta sumber asli di seluruh Afrika Barat. Keuntungan besar sedang dibuat di Afrika Timur yang mana kumpulan Al-Shabaab bekerjasama dengan lanun Somalia dan meraih berjuta-juta dolar dengan menyeludup arang.

Tiada negara mampu tangani jenayah sendirian

Kumpulan seperti ini menggunakan dana hasil daripada aktiviti jenayah untuk membawa huru-hara, pertumpahan darah dan kemusnahan. Aktiviti mereka menjejaskan banyak negara, melemahkan kepatuhan kepada undang-undang dan membawa kemusnahan tidak terperi.

Adalah berbahaya jika tidak menghiraukan aktiviti mereka selain memberi kesan sampingan kepada usaha membantu golongan miskin dan menderita. Jika jenayah berubah, begitu juga dengan pandangan kita mengenai kaedah menghadapinya juga perlulah berubah.

Perubahan yang terkandung dalam agenda bagi Pembangunan Mapan 2030 menekankan pentingnya menyekat jenayah sebagai langkah memperbaiki hidup masyarakat.

Perkara paling utama ialah matlamat nombor 16 mengenai mewujudkan masyarakat aman damai dan inklusif melalui usaha menamatkan impak buruk jenayah.

Sehubungan itu, kita perlu mencari jalan bekerjasama, pendekatan utama menghadapi permasalahan dunia dan sejajar dengan pengiktirafan bahawa tiada satu pun negara dapat menyelesaikan jenayah terancang merentas sempadan secara sendirian.

Pandangan lalu bahawa jenayah adalah satu isu nasional sudah bertukar kepada langkah bekerjasama lebih rapat peringkat antarabangsa dan menggunakan instrumen perundangan universal seperti Konvensyen PBB menghadapi Jenayah Terancang Merentas Sempadan dan Konvensyen PBB menentang Rasuah.

Berikutan itu, kita mempunyai instrumen, kerjasama dan senjata menangani jenayah. Apa yang mungkin tidak ada ialah kesediaan menyelesaikan persoalan ini - Bilakah jenayah wajar ditangani? Masa terbaik untuk menangani jenayah rentas sempadan bukan selepas setahun, sebulan mahupun sehari selepas keamanan dipersetujui.

Menangani jenayah, memperkuat penguatkuasaan undang-undang dan menegakkan keadilan tidak boleh ditangguhkan. Semua itu perlu dicapai serentak. Jika tidak, masalah akan timbul kemudian.

Mungkin contoh terbaru menggunakan pendekatan bersama ialah di Colombia apabila persetujuan damai dengan kumpulan FARC, termasuk merangka strategi menghadapi penanaman dan hasil pokok coca.

Di Colombia, usaha untuk mewujudkan keamanan, membina keadilan dan menamatkan jenayah dilakukan secara holistik. Oleh sebab itulah saya sarankan pendekatan ini di seluruh dunia.

Konflik perlu ditamatkan bagi menyekat berjuta-juta manusia menderita supaya kebaikannya dirasai semua. Pun begitu, dalam usaha mencapai keamanan, jangan lupa gigitan dubuk juga berbisa.

Penulis ialah Pengarah Eksekutif, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah

229 dibaca
Berita Harian X