Selasa, 1 Ogos 2017 | 6:47am

Menyemai semangat cinta negara

TANGGAL 31 Julai setiap tahun, negara akan meraikan perajurit yang banyak berkorban demi tanah air tercinta dengan mengadakan sambutan Hari Pahlawan bertujuan memperingati jasa mereka yang gugur mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanah air.

Kerajaan mengisytiharkan Hari Pahlawan pada 31 Julai 1960 sempena tamatnya darurat pada tarikh itu. Ia adalah platform mensyukuri keamanan dikecapi negara sehingga membolehkan kemajuan dan pembangunan negara berjalan lancar tanpa sebarang ancaman daripada anasir luar yang tidak bertanggungjawab.

Simboliknya, pahlawan adalah orang yang gagah dan berani, (pejuang yang gagah dan perwira yang ditakuti). Walaupun sekangkang kera, kedaulatan negara perlu dijaga dan dipertahankan. Jasa pahlawan tetap dihargai dan dikenang buat selama-lamanya. Justeru, Hari Pahlawan bererti hari memperingati pahlawan yang terkorban di medan perang dalam mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman musuh.

Pahlawan negara seharusnya sentiasa dikenang kerana mencipta ketamadunan negara kepada bumi bertuah ini. Perjuangan mereka sama ada di era sebelum merdeka, mahupun pasca merdeka terus menjadi titik tolak bagi permulaan dalam kandungan sejarah negara.

Sebelum ini, sambutan Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun secara bergilir-gilir antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Tahun lalu, ia dianjurkan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dan tahun ini akan dianjurkan PDRM di lokasi sama. Sambutan kali ini akan diadakan pada Oktober 2017 atas ketetapan Majlis Rasmi Kerajaan, diadakan selepas Perbarisan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Bunga Raya lambang kempen Tabung Pahlawan

Sementara, Kempen Tabung Pahlawan pula bermula pada 1950 di bawah Kastodian Ex Service Association of Malaya yang dianggotai bekas tentera British berkhidmat di Malaya selepas Perang Dunia Kedua, nama asal Persatuan Veteran ATM (PVATM). Awalnya, kempen Tabung Pahlawan dikenali Poppy Day seperti di Britain. Selepas negara mencapai Kemerdekaan pada 1957, nama itu ditukar kepada Tabung Pahlawan. Lambang bunga 'poppy' ditukar kepada lambang bunga raya.

Di samping mengajak rakyat jelata menghargai perjuangan dan pengorbanan pahlawan melalui platform Kempen Tabung Pahlawan, ia juga sebagai platform menyemai dan meningkatkan sifat serta semangat cinta terhadap negara dalam kalangan Gen Y.

Mengikut rekod, ada kira-kira 300,000 pesara ATM dan jumlahnya berubah-ubah setiap masa kerana Veteran ATM dianggap sebagai Aging Society yang menghidap pelbagai penyakit. Setiap tahun, antara 4,000 hingga 5,000 orang askar yang berkhidmat, akan bersara, manakala lebih kurang 180,000 daripada 300,000 pesara ATM tidak berpencen. Setakat ini, hanya 160,000 orang sahaja mendaftar sebagai ahli Persatuan Veteran ATM.

Kementerian Pertahanan menetapkan agensi menjaga kebajikan Veteran ATM iaitu Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) dan Pertubuhan Hal Ehwal Bekas Anggota Tentera (PERHEBAT).

Agensi itu sentiasa mencari pendekatan dan kaedah penambahbaikan kemudahan dan bantuan sedia ada. Misalnya, JHEV bertanggungjawab menguruskan bayaran pencen, kemudahan perubatan, bantuan kebajikan, bantuan persekolahan anak serta pembinaan dan senggaraan rumah melalui inisiatif Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan Ke-7 (NBOS7) yang disalurkan kerajaan. PVATM hanya memberi bantuan kebajikan kepada Veteran Kelainan Upaya (VKU) dan balu OKU serta bantuan kebajikan apabila veteran ditimpa musibah seperti banjir, rumah terbakar dan rumah rosak oleh angin ribut/bencana alam. PVATM guna hasil kutipan Tabung Pahlawan bagi tujuan berkenaan.

PERHEBAT pula dipertanggungjawab mengendalikan kursus peralihan sebagai persediaan veteran menjadi orang awam, di samping membantu menyediakan kerjaya kedua kepada mereka. Perlu dijelaskan bahawa Kempen Tabung Pahlawan dilancar secara rasmi pada 31 Julai setiap tahun.

Penaung Kempen Tabung Pahlawan adalah isteri Perdana Menteri dan Penasihat adalah Menteri Pertahanan, manakala Timbalan Menteri Pertahanan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk yang bertanggungjawab melaksanakan kempen berkenaan. Tahun ini, majlis pelancaran akan diadakan ketika Himpunan Raksasa Veteran ATM 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC). Kira-kira 10,000 hingga 15,000 veteran ATM turut serta.

Sasar kutipan RM5 juta

Dalam pada itu, PVATM juga mengadakan pengisian tambahan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat, terutama Gen Y untuk mengingati, menghargai perjuangan serta pengorbanan veteran dalam mempertahankan negara melalui acara Walk for Peace dan Warrior Challenge (sukan lasak).

Di samping itu, kementerian turut mengadakan persembahan 'flashmob' sebagai medium promosi awal dalam meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia terhadap Kempen Tabung Pahlawan 2017 yang dilaksanakan di Pasar Seni pada 7 Mei dan di Stesen LRT Masjid Jamek pada 21 Mei lalu.

Kita harap kutipan tahun ini lebih baik. Jawatankuasa Induk kempen menetapkan sasaran kutipan RM5 juta. Sasaran kutipan minimum juga ditetapkan, RM3.5 juta. Tahun lalu kita berjaya memenuhi sasaran kutipan minimum. Tahun ini kita harap banyak lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat gergasi beri sumbangan, selain sumbangan individu bagi membantu kebajikan veteran secara menyeluruh.

Akaun Tabung Pahlawan diaudit setiap tahun oleh juruaudit bertauliah dan laporannya dihantar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengeluarkan kuasa 'Pengecuali Cukai' dan PDRM yang mengeluarkan permit kutipan.

Berita Harian X