Isnin, 31 Julai 2017 | 6:39am
ANGGOTA polis Israel mengawal di luar Masjid Al-Aqsa. - Foto EPA

Masjid Al-Aqsa menunggu suara perpaduan Islam

PERISTIWA yang melanda bumi Palestin di tangan regim Yahudi dan Zionis antarabangsa, dengan pencerobohan secara terang-terangan ke atas Masjid Al-Aqsa, kiblat pertama umat Islam, menimbulkan rasa sedih, marah, kesal dan seribu satu kehampaan yang di rasakan oleh umat Islam keseluruhannya.

Kepentingan bumi yang terletaknya Masjid Al-Aqsa dinyatakan di dalam Al-Quran mengenai Nabi yang turun dan mendiami bumi suci Palestin ini dengan jelasnya iaitu seperti Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Yaaqub, Yusuf, Salih, Daud, Sulaiman, Isa dan Nabi lain lagi. Nabi dan Rasul terakhir, Baginda Rasulullah SAW, diberi penghormatan yang amat mulia oleh Allah SWT dengan pengembaraannya ke bumi suci ini dan persinggahannya pada waktu malam Israknya di masjid Al-Aqsa dalam peristiwa Israk dan Mikraj baginda dalam satu peristiwa mukjizat yang besar seperti disebutkan di dalam Surah Al-Isra'.

Masjid Al-Aqsa yang terletak di bumi Palestin adalah kiblat pertama umat Islam dan menjadi masjid suci, di samping masjid Al-Haram di Makkah dan masjid Al-Nabawi di Madinah. Umat Islam kini bebas melawat dan beribadah di kedua-dua masjid yang terletak di bumi Saudi, di Makkah dan Madinah. Tetapi amat malang sekali sebuah masjid suci yang menjadi kiblat pertama iaitu masjid Al-Aqsa kini terletak di bawah kekuasaan regim Israel selepas kekalahan Arab kepada Israel dalam peperangan lima hari pada Jun 1967.

Rosakkan masjid

Sejak penaklukan Zionis pada Jun 1967, pihak Zionis melakukan pelbagai aktiviti yang merosakkan masjid Al-Aqsa. Hanya beberapa hari sahaja selepas penaklukannya, mereka merobohkan dinding Al-Magharibah di sebelah barat masjid dan diratakan untuk menjadi tempat ibadat orang Yahudi.

Dalam usaha mereka untuk menemui bukti sejarah mengenai kehadiran (Solomon's temple) di kawasan utara dan barat kota Baitul-Maqdis, mereka menjalankan kerja galian dan pembungkaran yang besar di kawasan itu, tetapi mereka tidak menemui bukti yang mereka cari itu, malah bukti sejarah yang mereka temui menunjukkan bahawa bandar dan kota ini adalah kota suci Islam.

Sekurang-kurangnya tiga faktor yang menjadikan Palestin amat penting kepada umat Islam, iaitu kesucian masjid Al-Aqsa sebagai kiblat pertama, kedua kerana kekejaman hebat yang dilakukan oleh regim Israel dan gerakan Zionis antarabangsa yang dilakukan terhadap umat Arab dan Islam. Ketiga ialah serangan mental dan fizikal yang dilakukan oleh regim berkenaan dan gerakan Zionis antarabangsa di Amerika Syarikat dan Eropah sehingga mereka berjaya memecah-belahkan tanah Palestin dan rakyatnya serta umat Islam seluruhnya.

Rampas tanah Palestin

Negeri Zionis yang dijadikan negara Israel di Palestin, ditubuhkan pada 14 Mei 1948 di atas sekeping tanah yang kecil sahaja, tetapi mereka merampas tanah Palestin dengan kadar 77 peratus dan mengusir kira-kira 800,000 penduduk Palestin yang terus menerus menjadi pelarian perang, iaitu ketika mereka memenangi peperangan dengan Arab yang lemah dan tidak punya kepemimpinan itu di antara 1948 hingga 1967.

Dalam peperangan dengan Arab pada Jun 1967, baki tanah Palestin dirampas, termasuk Tebing Barat, Timur Jerusalem, dan Genting Gaza. Regim ini juga menakluki Pergunungan Golan (1,150km persegi) dari Syria, dan semenanjung Sinai (61,198km persegi) dari Mesir. Akibatnya, kira-kira 300,000 lagi rakyat Palestin menjadi pelarian perang, terpaksa meninggalkan tanah air mereka. Tetapi Sinai dikembalikan kepada Mesir ketika Mesir memenangi peperangan dengan Israel pada 1974, dengan beberapa syarat diletakkan kepada mereka, termasuk perjanjian damai dengan Israel dan bantuan kewangan dari sekutu Israel, Amerika Syarikat.

Ketika negara Israel ditubuhkan pada 1948, rakyat asal Palestin terpaksa lari merempat ke negara lain, dan regim Israel segera membuka pintu seluas-luasnya kepada orang Yahudi dari seluruh dunia untuk berhijrah masuk ke Israel. Menurut perangkaan yang pernah dicatatkan, ada kira-kira 2.8 juta Yahudi berhijrah ke Palestin di antara 1949 - 2000.

Kemenangan Hamas dalam pilihan raya Palestin, membuka peluang kepada regim Israel menjadikannya sebagai alasan untuk mengukuhkan lagi penindasan mereka terhadap Palestin dan rakyatnya, kerana mereka melabelkan Hamas sebagai golongan radikal dan jihad Islam, tambahan pula Hamas mempunyai kae-dah perjuangan yang berbeza dari Fatah dan berkonflik pula dengan Fatah, sehingga akhirnya Palestin mempunyai dua kerajaan dengan dua Perdana Menteri, Fatah menguasai Tebing Barat dan Hamas menguasai Genting Gaza.

Pada 2005, Israel sekali lagi bermain sandiwara, iaitu mengundurkan tentera dan rakyatnya dari Gaza, supaya Gaza menjadi kawasan penduduk Palestin sepenuhnya, yang kemudian ternyata bahawa Gaza sudah menjadi penjara terbuka yang besar bagi rakyat Palestin, kerana kawasan lautan dan ruang angkasanya dikuasai Israel.

Maka kini, regim Israel bertindak menceroboh Kiblat Pertama umat Islam, ketika umat Islam keseluruhannya hanya menjadi penonton terhadap kekejaman ini di bumi suci Islam, malah umat Islam sendiri tidak mempunyai kuasa untuk menentangnya, kerana umat Islam tidak mempunyai strategi dan perancangan untuk memberi keadilan kepada negara dan rakyat Palestin.

Ini ditambah pula dengan perpecahan dan krisis sesama sendiri yang secara tiba-tiba tercetus, lalu menggalakkan musuh Islam untuk melakukan apa-apa saja tindakan provokasi dan kekejaman terhadap fizikal dan spiritual umat Islam, seperti yang berlaku terhadap kiblat pertama umat Islam ini dan rakyat Palestin sendiri hanya dapat bertindak sendirian tanpa sebarang bantuan dari negara Islam, khususnya jirannya sendiri.

Berita Harian X