Jumaat, 28 Julai 2017 | 12:44pm

Syariah perbesar kuasa, perundangan Islam

Isu kepatuhan atau 'compliance' dalam sistem perbankan bukan lagi isu yang asing. Kepatuhan adalah penanda aras bagi menentukan kejituan operasi dan prestasi sesebuah bank. Kepatuhan syariah mahupun perundangan adalah aset terpenting pengurusan sesebuah sistem perbankan.

Dengan pertumbuhan pesat ekonomi Islam dan sistem kewangan Islam, isu kepatuhan syariah diaplikasi ke dalam sistem kewangan Islam. Hasilnya, beberapa negara mula terima konsep ketidakpatuhan syariah adalah kegagalan patuh dalam sistem perbankan Islam. Arab Saudi menerajui dengan membawa konsep apa saja yang bertentangan dengan syariah adalah bertentangan dengan undang-undang negaranya.

Secara tidak langsung sebarang produk perbankan tidak syariah tidak dapat dilaksanakan di Arab Saudi. Ini dapat dilihat apabila produk seperti bai'al-inah tidak diterima kebanyakan negara Arab kerana mempunyai unsur riba.

Malaysia mendepani dunia dengan meletakkan kepatuhan syariah sebagai tanggungjawab statutori ke atas pegawai bank, ahli lembaga pengarah serta penasihat syariah.

Hampir setiap Standard Syariah yang dikeluarkan menggariskan tanggungjawab serta tugas yang harus dilakukan dalam setiap produk. Malaysia juga negara pertama meletakkan penalti RM25 juta kepada sesiapa yang melanggar dan tidak patuh syariah mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Indonesia juga jitu dengan Syariah. Definisi kepatuhan 'Hukum Islam' dinyatakan di dalam Undang-Undang No 21/2008 bagi perbankan Islam. Penubuhan Otoritas Jasa Keuangan (OJK) memantapkan lagi kewangan Islam. Thailand sebuah negara bukan Islam juga serius meletakkan syariah sebagai tunggak melaksanakan sistem kewangan Islam di sana.

Pengukuhan syariah tidak jadi halangan bagi sebuah negara zikir seperti Brunei Darussalam. Syariah diletakkan sebagai syarat utama melaksanakan sistem kewangan Islam. Ini dijelaskan di dalam Perintah 2008 dengan mendefinisikan Hukum Syarak sebagai hukum yang diterima ahli sunnah wal jamaah.

Singapura juga negara bukan Islam tetapi komited melaksanakan kewangan Islam patuh syariah menerusi Peraturan Perbankan Islam. Russia, Jerman dan Jepun juga amat komited memastikan isu layanan percukaian dan sistem perundangan mampu diolah bagi membolehkan sistem kewangan beroperasi.

Hasil kesungguhan secara perundangan, pengamal kewangan Islam lebih berhati-hati menerbitkan sesuatu produk dan kajian dibuat lebih teliti sebelum ia dikeluarkan. Apa maksud syariah? Kebanyakan negara di atas mendefinisikan 'syariah' sebagai hukum menurut empat mazhab diiktiraf iaitu mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Namun, adakah 'syariah' dilihat sebagai sesuatu yang menurut hukum Islam iaitu yang ada dalam al-Quran dan Al-Sunnah? Soalan seterusnya bermain di fikiran, sekiranya berlaku pertelingkahan antara bank dan pelanggan, apakah mahkamah akan menerima definisi 'syariah' menurut empat mazhab di atas atau apakah mahkamah akan iktiraf sesuatu kontrak itu tidak patuh syariah kerana bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah atau kerana bertentangan dengan undang-undang kontrak sivil di negara itu?

Malaysia, Thailand, Singapura, Indonesia mengamalkan semua kes membabitkan kewangan Islam didengar di Mahkamah Sivil dan bukan Mahkamah Syariah atas dasar ketentuan perundangan. Jika ini berlaku, mampukah negara yang amal patuh syariah dalam sistem kewangan Islam diputuskan sistem mahkamah berteraskan sivil? Bagaimana penerimaan prinsip Undang-Undang Sivil mampu mengiktiraf sistem hukum Islam berlandaskan syariah?

Akhir-akhir ini, kita dihujani dengan beberapa kes babitkan nilaian berbilion dolar atas dasar tidak patuh syariah. Nilaian sukuk Dana Gas bernilai AS$700 juta (RM3.008 bilion) tidak dapat dilaksanakan kerana sistem mudharabah yang dilaksanakan bertentangan dengan undang-undang muamalat Islam sekali gus, bertentangan undang-undang Arab Saudi. Pengamal perbankan agak tidak menentu dengan keputusan ini.

Jadi apakah kes ini satu kayu ukur bagi memastikan kesungguhan melaksanakan kepatuhan syariah bagi pihak perundangan? Dengan ada sistem kewangan berlandaskan syariah, dan meletakkan 'syariah' sebagai penanda aras dalam menerbitkan sesuatu produk, contohnya di Malaysia, adakah sistem perundangan bersedia mentafsir, dan menolak kontrak tidak patuh syariah daripada dilaksanakan sekiranya bertentangan syariah? Dengan meletakkan penalti nilaian jutaan ringgit, adakah ini mampu dikenakan sekiranya sesuatu produk melaksanakan riba dan jelas tidak patuh syariah?

Kes Dana Gas adalah salah satu kes membabitkan ketidakpatuhan syariah dalam penstrukturan kontrak muamalat. Ini bererti kontrak distruktur bukan kontrak syariah tetapi dinamakan sempena kontrak syariah iaitu 'mudharabah'.

Kes Shamil Beximco pula babit undang-undang syariah di mahkamah di England. Tetapi, mahkamah tidak bersedia menurut kehendak pihak bertelagah supaya kontrak diputuskan menurut syariah. Begitu juga kes Aramco Saudi, yang memutuskan 'Syariah' tidak mampu memutuskan kes sukar dan unik seperti industri gali minyak dan gas.

Ada kes mempunyai isu produk penstrukturan salah seperti kebanyakan kes yang dilaporkan di mahkamah Malaysia. Produk distruktur jelas salah dan bertentangan dengan Resolusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara, namun masih diputuskan sebagai boleh dilaksanakan dan tidak batal. Malah prinsip sivil diguna pakai sebagai penanda aras kesahihan kontrak muamalat dan bukannya syariah seperti disebut dalam akta.

Kesimpulannya, syariah adalah jalan yang jelas, lurus dan betul. Diturunkan dalam al-Quran dan hadis. Wajib diikuti dan disanjungi. Bila dinyatakan dalam sistem perundangan bahawa syariah adalah tunjang muamalat, wajib dilaraskan secara jitu ke arah merealisasikan syariah. Namun, isu syariah bukan untuk dijadikan alasan tidak membayar hutang, tetapi syariah adalah untuk membesarkan kekuasaan dan perundangan Islam.

Penulis ialah Profesor Madya Kanan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Brunei Darussalam

230 dibaca
Berita Harian X