Jumaat, 12 Oktober 2018 | 11:02am
SURUHANJAYA Pilihan Raya memasang kain rentang galak penduduk Port Dickson keluar mengundi esok. - Foto NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Kemenangan Anwar manfaat negara, PD

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Port Dickson penting kerana ia akan memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berperanan sebagai ahli perundangan di Parlimen. Kehadiran beliau di Dewan Rakyat akan mengukuhkan kedudukan negara.

Ekosistem sesebuah negara yang kukuh membabitkan banyak faktor dan peranan. Ketokohan dan pengalaman yang dimiliki Anwar sepanjang pembabitan beliau sebagai pemimpin politik ialah aset yang akan menjadi faktor penting kepada keutuhan negara.

Dalam erti kata lain, negara memerlukan peranan beliau secara langsung dan lebih aktif bagi memastikan pengalaman kepemimpinan yang dimilikinya dapat disumbangkan secara maksimum terhadap pembangunan negara.

Hubungan baik Anwar dengan pelbagai pihak sama ada di dalam dan di luar negara amat bernilai dan ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan kemajuan masyarakat dan kerjasama antarabangsa.

Penyertaan Anwar dalam Parlimen juga memberi keyakinan masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap masa depan politik negara yang stabil pada masa depan. Ia akan memberi petunjuk jelas kepada masyarakat antarabangsa terutamanya, iaitu persediaan proses peralihan kepemimpinan negara jelas dan lengkap.

Arah tuju corak pentadbiran

Ini secara langsung menutup sebarang bentuk pemikiran, perasaan dan sikap ketidaktentuan dalam konteks politik negara. Penyertaan Anwar ke Parlimen akan memberikan satu arah tuju mengenai corak pentadbiran pada masa depan. Penggiat dalam sektor ekonomi dan diplomasi tidak lagi berada dalam situasi ragu-ragu dan mereka akan dapat merencana kerjasama dengan kepemimpinan ekonomi dan politik dengan Malaysia secara yakin.

Sebagai pemimpin pelapis negara, Anwar perlu mengetengahkan diri dari awal dan mengikuti setiap perkembangan perundangan dalam segenap aspek secara lebih dekat. Dalam situasi negara yang amat mencabar hari ini, pembabitan Anwar sebagai ahli perundangan akan membolehkan beliau menyertai setiap perbahasan.

Malah, beliau juga boleh memberikan idea, cadangan dan saranan secara langsung kepada kepemimpinan negara, demi kebaikan awam. Kedudukan Anwar sebagai Ahli Parlimen yang disokong oleh rakyat tentu akan memberikan beliau kekuatan moral.

Dalam erti kata lain, sokongan penduduk Port Dickson pada PRK ini seumpana satu pengiktirafan politik yang penting terhadap peranannya dalam menyumbang kepada pembangunan politik negara dan antarabangsa.

Peranan Anwar dalam konteks reformasi Parlimen amat mustahak. Institusi Parlimen ialah antara dimensi terpenting dalam sistem demokrasi moden. Keutuhan Parlimen akan memberi manfaat besar kepada kesejahteraan dan keseimbangan kuasa dalam pentadbiran negara.

Institusi Parlimen yang berkesan dan berwibawa akan memberikan manfaat kepada rakyat secara langsung menerusi penggubalan undang-undang yang akan memelihara hak dan kepentingan mereka.

Hasrat untuk menumpu terhadap usaha reformasi institusi Parlimen sekiranya terpilih dalam PRK Port Dickson mesti dialukan.

Parlimen yang utuh dan berwibawa akan mengukuhkan sistem demokrasi. Malah, ia akan berperanan sebagai pengimbang penting terhadap perjalanan urus tadbir kerajaan. Demokrasi sebagai mekanisme pemerintahan moden akan lebih bermakna dan berjaya, sekiranya keseimbangan peranan dan fungsi setiap dimensi keutuhannya dapat dicapai dan dijayakan.

Keseimbangan fungsi di antara eksekutif, perundangan dan kehakiman akan memastikan dominasi satu pihak dapat dielakkan kerana penguasaan itu akan memudaratkan kepentingan rakyat dan negara. Reformasi institusi Parlimen memerlukan kepemimpinan ahli politik yang berjiwa demokratik dan memahami batas peranannya.

Dalam konteks ini, Anwar sebagai ketua sebuah parti yang memiliki perwakilan Ahli Parlimen yang teramai akan dapat memberikan pengaruhnya yang tersendiri terhadap cita-cita membangunkan institusi Parlimen yang berwibawa dan dihormati semua pihak.

Penduduk Port Dickson amat bertuah sekiranya Anwar terpilih sebagai Ahli Parlimen kawasan itu. Port Dickson tentu akan menjadi sinonim dengan nama Anwar seperti yang dialami oleh Parlimen Permatang Pauh sebelum ini.

Sebagai bakal pemimpin utama negara, Anwar tentu akan berusaha memberikan membawa kesejahteraan penduduk dan pembangunan di Port Dickson. Keunikan dimiliki Port Dickson tentu akan lebih terkenal pada masa depan sama ada pada peringkat serantau dan antarabangsa.

PRK kali ini satu peluang terbaik bagi penduduk Port Dickson mencipta sejarah baharu negara dan mengangkat kedudukan mereka pada pentas masyarakat antarabangsa. Kemenangan Anwar permulaan penting bagi Port Dickson mencipta sejarah itu.

Namun, penduduk Port Dickson hendaklah terlebih dahulu bertindak memulakan langkah membina sejarah itu dengan keluar mengundi beramai-ramai dan menyempurnakan tanggungjawab politik mereka.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia

291 dibaca
Berita Harian X