Khamis, 11 Oktober 2018 | 10:59am

Wajibkan ahli politik isytihar harta tiap tahun

MINDA PENGARANG

THAILAND dan Filipina sudah memperlihatkan kesan positif daripada penguatkuasaan tegas oleh kerajaan negara itu dalam membendung rasuah. Kedua-dua negara itu menetapkan syarat wajib pengisytiharan harta oleh ahli kongres dan anggota Kabinet serta pasangan masing-masing, termasuk secara dalam talian.

Pastinya, akta baharu yang akan digubal Kerajaan Malaysia tidak lama lagi untuk mewajibkan wakil rakyat mengisytiharkan harta, selain cadangan supaya diperluaskan kepada semua pemimpin parti politik amat dinanti-nantikan rakyat.

Sejak kebelakangan ini, banyak kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kepemimpinan negara terdahulu dibawa ke mahkamah atau disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperlihatkan perlunya langkah membendung rasuah melalui akta disegerakan.

Bagi kerajaan ditunjangi Pakatan Harapan (PH), inilah masa terbaik bagi memperlihatkan iltizam tinggi dalam membanteras rasuah dengan memastikan pelaksanaannya mengikut perancangan seperti digariskan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.

Akta baharu dicadangkan ini perlu dijadikan model dalam mendepani mana-mana perbuatan rasuah atau penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin politik pelbagai peringkat tanpa mengira parti, negeri, sama ada penyokong kerajaan atau pembangkang dalam mengumpul harta kekayaan secara tidak sah.

Selain tidak memilih bulu, sewajarnya langkah mewajibkan pengisytiharan harta ini tidak hanya menumpukan kepada pemimpin parti pembangkang atau individu yang pernah menganggotai pentadbiran kerajaan terdahulu seperti didesak beberapa pihak ketika ini.

Hakikatnya, rakyat perlu mengetahui jumlah harta dimiliki setiap pemimpin sama ada mewakili kerajaan atau pembangkang kerana tidak mahu lagi episod lama berulang, iaitu ada pemimpin memiliki jutaan ringgit dalam rumah.

Berdasarkan laporan sebelum ini, buat permulaan undang-undang atau akta baharu dicadang SPRM hanya tertakluk untuk Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, sebelum diperluas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai kanan kerajaan.

Bagaimanapun, sudah ada arahan untuk semua anggota pentadbiran Kerajaan PH menyelesaikan pengisytiharan harta sebelum pertengahan bulan ini bagi mengelakkan terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Bagi kakitangan kerajaan, pengisytiharan harta membawa maksud perisytiharan harta kali pertama, harta tambahan, pelupusan harta dan termasuk pengakuan tiada perubahan ke atas pemilikan harta. Di bawah Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, semua pegawai dikehendaki mengisytiharkan secara bertulis kepada ketua jabatan segala harta dimiliki atau isteri atau suami atau anak atau yang dipegang mana-mana orang bagi pihaknya atau bagi pihak isteri atau suaminya atau anaknya.

Sewajarnya syarat mengisytiharkan harta dikenakan ke atas penjawat awam diikuti oleh pemimpin politik seperti apabila mereka dilantik memegang jawatan terbabit, dikehendaki oleh kerajaan, memperoleh harta tambahan dan melupuskan harta.

Jika pegawai kerajaan dikehendaki membuat perisytiharan harta sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh lima tahun, sewajarnya pemimpin politik disyarat untuk lakukannya setiap tahun demi menjaga integriti individu terbabit atau kerajaan dan parti politik yang diwakilinya.

Paling penting, ketelusan dan akauntabiliti pemimpin politik diketahui rakyat, termasuk harta pasangan dan ahli keluarga terdekat.

115 dibaca
Berita Harian X