Rabu, 10 Oktober 2018 | 11:13am
TAMAN Putra Perdana Puchong, iaitu tempat kejadian enam anggota bomba lemas. - Foto NSTP/ROSDAN WAHID

Cari langkah terbaik tangani insiden lemas

STATISTIK didedahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkaitan insiden mati lemas yang mencapai 400 kes setiap tahun harus dipandang serius segenap lapisan masyarakat.

Persoalan utamanya ialah apakah punca peningkatan insiden malang ini? Mengapakah tragedi sama berulang pada mangsa berlainan? Apakah langkah pencegahan terbaik agar masyarakat Malaysia dapat melaksanakan aktiviti air dengan selamat dan menyeronokkan?

Dalam membincangkan persoalan di atas, kita tidak seharusnya menuding jari kepada pihak tertentu. Seharusnya kita sebagai masyarakat Malaysia memainkan peranan yang proaktif demi mengelakkan tragedi sedih ini.

Ucapan takziah di media sosial, perbincangan sudut pandang di media cetak dan elektronik perlulah direformasikan agar menjadi amalan aktiviti air yang sihat dan selamat. Jangan seusai tragedi, kesedaran dan keprihatinan mula mengendur, lantas menjadikan kita sebahagian statistik tragedi yang seterusnya.

Saya berpendapat Majlis Keselamatan Aktiviti Air mempunyai peranan besar dalam menggubal dasar keselamatan aktiviti air di Malaysia. Dasar sistematik serta mengambil kira kepentingan semua pihak dapat memacu aktiviti, malahan industri aktiviti air yang selamat, sekali gus boleh menjana pulangan ekonomi kepada negara.


BEKAS lombong di Taman Putra Perdana yang mengorbankan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat remaja lelaki. - Foto BERNAMA

Penggubalan dasar mesti membabitkan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat sivil dan penggiat aktiviti air agar dasar yang dibina mesra masyarakat. Model New Zealand Water Safety Council dan USA Safety Council boleh diguna pakai, bersesuaian dengan senario di Malaysia.

Agensi kerajaan dan syarikat swasta boleh membantu mengurangkan insiden kemalangan air dengan memajukan pusat aktiviti air mesra pengguna. Benar, kos membina kolam renang amat tinggi tetapi bukankah Malaysia mempunyai banyak sumber aktiviti air semula jadi seperti tasik, sungai dan lombong?

Dengan kos minimum, penubuhan Kelab Tasik Putrajaya, Pusat Aktiviti Air Persatuan Jurulatih Rekreasi Malaysia di Ayer Keroh dan Pusat Akuatik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dapat meningkatkan lagi kemahiran keselamatan di air dalam kalangan orang awam.

Masyarakat memainkan peranan amat penting dalam meminimumkan risiko lemas di Malaysia. Program pendidikan berteraskan pengalaman dapat membuka minda masyarakat mengenai langkah keselamatan di air.

Guru boleh mengajar topik keselamatan air dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani secara ‘experiential learning’ di kolam renang, tasik dan air terjun agar pelajar dapat mempraktikkan kemahiran sebenar.

Jika tiada guru berpengalaman, bekerjasamalah dengan Persatuan Renang Malaysia, Persatuan Menyelamat Kelemasan dan Lembaga Pendidikan Kanu. Apalah nilai sedikit kos yang dibelanjakan ini berbanding nyawa pelajar.

Cadangan saya seterusnya ialah menggalakkan semua kanak-kanak dan remaja mengikuti sesi pendedahan keselamatan di air.

Cadangan ini mungkin mengundang persoalan dek kerumitan dalam merealisasikan hasrat ini, namun tahukah kita insiden lemas dalam kalangan kanak-kanak dan remaja majoritinya berlaku di luar waktu persekolahan akibat tiada pengawasan guru, ibu bapa dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti yang sistematik.

Sehubungan itu, golongan ini seharusnya didedahkan kepada pelbagai aktiviti keselamatan di air sepanjang pengajian mereka. Anjurkan kempen keselamatan di air, kursus asas renang, seminar asas berkayak, mahupun aktiviti sukarela yang berteraskan air.

Galakkan pelajar ini aktif dalam aktiviti kesukarelawan agar mereka kelak menjadi pemangkin dalam aktiviti keselamatan air di Malaysia. Syarikat air seperti Lembaga Air negeri dan taman tema ternama juga perlu memainkan tanggungjawab sosial mereka dalam menggalakkan amalan keselamatan di air.

Lembaga Air negeri boleh menyalurkan peruntukan kewangan melalui penubuhan yayasan, manakala syarikat taman tema boleh menganjur seminar mahupun aktiviti kesedaran keselamatan air di taman tema masing-masing. Selain itu, tajaan kepada badan penyelamat sukarela akan mengurangkan beban kos menyelamat agensi kerajaan tertentu saja.

Insiden lemas di Malaysia ialah insiden berulang, namun membabitkan mangsa berlainan. Senario ini didorong kurangnya kajian mengenai insiden lemas serta kesukaran untuk mengakses data insiden.

Justeru, institusi pendidikan tinggi perlu proaktif melaksanakan kajian untuk mengenal pasti punca insiden, kemukakan fakta kes dan data empirikal agar dapat mengilhamkan langkah pencegahan terbaik bagi meminimumkan kes lemas di Malaysia. Pasti, kesedaran masyarakat juga bakal meningkat melalui pelbagai pendedahan kajian saintifik ini.

Setiap isu mempunyai jalan penyelesaiannya. Sehubungan itu, marilah kita bersama-sama memainkan peranan dalam mengurangkan insiden kematian akibat lemas di Malaysia. Kerjasama erat segenap masyarakat, syarikat dan badan kerajaan akan menjana perkembangan aktiviti air yang selamat, sistematik dan seronok.

Semoga aktiviti air akan terus berkembang menjadi aktiviti riadah utama di negara ini.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), peneraju UPSI ResQ Team dan bekas atlet kayak arus deras

338 dibaca
Berita Harian X