Rabu, 10 Oktober 2018 | 11:01am
ANGGOTA Bomba dan Penyenyelamat memantau dan persediaan rondaan kawasan air pasang besar di Senta dan Batu Empat dan Tok Muda. - Foto ihsan bomba

Bersedia hadapi bencana

KIRA-KIRA seminggu lalu, Sulawesi di Indonesia khususnya, Palu teruk dilanda gempa bumi dan tsunami dengan kesan kemusnahan cukup besar. Pusat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan dan Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre) di Jakarta sehingga jam 5 petang semalam merekodkan 1,948 mangsa maut dan 10,679 lagi cedera tidak termasuk kira-kira 5,000 lagi masih hilang. Itu nasib penduduk di Palu dan kita amat bersimpati dengan apa menimpa mereka. Bercakap soal bencana, Malaysia tidak kurang terkesan walaupun apa yang melanda kita tidak seteruk negara jiran itu. Di Kedah contohnya, banjir melanda dengan lebih 300 penduduk sekitar Kota Setar, Kubang Pasu dan Baling terpaksa berpindah ke pusat pemindahan. Beberapa negeri lain, khususnya Selangor dan Johor, fenomena air pasang besar mencetus kerisauan dengan beberapa lokasi disenarai berisiko.

Walaupun bukan berskala besar, ia tetap dianggap bencana dan risiko kehilangan nyawa pasti ada, sekali gus kuasa alam tidak boleh sesekali dipandang remeh. Mungkin ada melihat banjir sebagai fenomena biasa kerana sering berlaku setiap kali hujan lebat melanda. Begitu juga fenomena air pasang yang dilihat sebagai kebiasaan oleh penduduk pesisir Pantai Barat yang dikatakan berlaku dua kali sebulan. Hakikatnya, situasi di Palu wajar dijadikan contoh. Penduduknya menganggap gempa sebagai kejadian biasa, lantas tidak menjangka fenomena luar biasa secara tiba-tiba apabila tsunami pula menyusul. Banjir, ribut dan air pasang besar mungkin biasa bagi kita seperti mana gempa bagi penduduk Palu, namun tiada jaminan alam semesta akan terus ‘baik’ dengan kita kerana ada kalanya ia turut memberontak dengan menonjolkan sifat memusnah.

Dua tahun lalu contohnya, fenomena air pasang besar antara yang terburuk direkodkan khususnya di Terengganu dan Kedah. Ketika itu paras air laut meningkat mendadak, melimpah sehingga memasuki kampung menyebabkan kerosakan bukan sekadar harta benda, tetapi turut membabitkan kehilangan nyawa. Persoalan sekarang, bersediakah kita untuk berdepan risiko bencana kerana pola cuaca termasuk di Malaysia semakin berubah-ubah. Adakah benteng kukuh sudah dibina di pantai berisiko untuk menampung hentaman ombak akibat air pasang besar, adakah saiz longkang, parit dan sungai sudah bersesuaian untuk menampung hujan yang banyak. Fenomena air pasang besar diramal melanda pesisir pantai Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis sehingga 12 Oktober ini, disusuli 22 hingga 27 Oktober, 6 hingga 11 November serta 21 hingga 26 November depan. Banjir pula sukar diramal kerana bergantung penerimaan hujan, namun tindakan proaktif sebagai langkah persediaan awal wajar digerakkan atau mungkin kita lebih selesa menunggu sehingga bencana untuk bertindak ketika semuanya mungkin sudah terlambat.

519 dibaca
Berita Harian X