Rabu, 10 Oktober 2018 | 10:59am
DR Mahathir menjulang tangan Anwar pada majlis Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap

Julang tangan petanda positif Anwar bakal jadi PM kelapan

RIBUAN yang menunggu kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad di PD Waterfront, malam kelmarin. Mereka menunggu sejak petang walaupun Perdana Menteri hanya dijadualkan sampai ke pekarangan Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan itu pada jam 9.45 malam.

Antara yang menunggu ialah penganalisis politik Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani bersama Penganalisis Media di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, UUM, Azahar Kasim.

Mereka berada di Port Dickson selama tiga hari bagi meninjau Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson. Saya bergegas dari Kuala Lumpur menaiki kereta dalam hujan lebat kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan peristiwa yang dikatakan bersejarah itu.

Ia bersejarah kerana kali pertama Dr Mahathir berkongsi pentas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 20 tahun lalu, sebelum memecatnya 1998. Selain mahu mendengar ucapan, kami mahu melihat reaksi pengunjung dan pengundi.

Mampu bawa perubahan

Acara malam itu dinamakan Ceramah Mega Mahathir-Anwar Gandingan Mantap Harapan Malaysia, satu promosi bahawa gandingan Mahathir-Anwar mampu membawa perubahan dan harapan rakyat untuk Malaysia lebih cemerlang.

Pemerhati juga mahu mendengar sendiri dari mulut Dr Mahathir bahawa Anwar bakal menggantikannya jika beliau menang PRK pada Sabtu 13 Oktober ini. Ini kerana masih ramai yang tidak yakin Dr Mahathir akan melepaskan jawatannya selepas dua tahun ini.

Ada juga yang tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri kelapan negara. Mereka tidak yakin kemampuan Anwar berbanding rekod cemerlang Dr Mahathir memimpin negara selama 22 tahun. Ada juga yang menyatakan calon pilihan Dr Mahathir ialah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Telah beberapa kali Dr Mahathir membuat kenyataan secara terbuka bahawa Anwar adalah calon pilihan menggantikannya sebegai Perdana Menteri, selaras dengan perjanjian yang dipersetujui pemimpin PH.

Namun, sehingga selepas kehadiran Dr Mahathir malam tadi, masih ada yang menyatakan ia belum tentu berlaku. Seorang rakan wartawan misalnya masih sangsi Anwar akan menjadi Perdana Menteri walaupun menang PRK ini.

Bagi beliau, Perdana Menteri sepatutnya mengambil kesempatan di bumi Port Dickson ini, di atas pentas bersama Anwar, disaksikan barisan pemimpin PH dan pengundi dengan berkata “saya dengan ini mengisytiharkan Anwar adalah Perdana Menteri Malaysia selepas saya melepaskan jawatan dalam dua tahun lagi”.

Mungkin itu juga dimahukan oleh penyokong Anwar. Bagi musuh politiknya pula, selagi belum menang PRK ini, selagi belum mengangkat sumpah jawatan, selagi itu lah kedudukan Anwar belum terjamin.

Malangnya, ayat itu tidak keluar daripada mulut Dr Mahathir. Namun, beliau mengakui gembira dapat berkempen untuk Anwar.

“Saya amat gembira dapat berkempen untuk Anwar. Benar, memang saya dan Anwar ada sejarah lalu tetapi itu adalah waktu lampau. Kalau mahu menang, kita kena berpakat, jelas dan ikhlas dan untuk ini tak boleh ingat kembali permusuhan lama.

Matlamat lebih besar

“Jika fikir perkelahian lama, maka kita tak boleh bersatu. Matlamat kita lebih besar berbanding diri sendiri dan parti kita,” katanya.

Antara kata-kata lain Dr Mahathir: “Saya tahu dahulu Anwar dan saya tak berapa baik, tetapi jangan lupa dia masuk UMNO jadi menteri pun kerana saya juga. Kalau Anwar nak fikir mengenai apa yang terjadi kepada dia, kita tak mungkin boleh bersatu.”

Bagi sesetengah pihak, kata-kata seperti itu tidak memadai dan tidak meyakinkan. Mereka seperti mahu Dr Mahathir membuat akuan bersumpah, sekali gus mematikan terus isu itu.

Namun, bahasa tubuh atau body language Dr Mahathir malam kelmarin tidak langsung ada petanda negatif terhadap Anwar walaupun kali terakhir mereka bersama atas pentas pilihan raya adalah 20 tahun lalu.

Beliau kelihatan amat selesa. Dr Mohd Azizuddin dan Azahar sendiri cuba meneliti ucapan Dr Mahathir dan sentiasa memerhatikan bahasa tubuh Dr Mahathir untuk mengenal pasti jika ada isyarat yang mengejutkan.

Namun, apabila saya beritahu bahawa Dr Mahathir sendiri yang memegang dan menjulang tangan Anwar sejurus duduk atas kerusi, Dr Mohd Azzizudin berpendapat, ia sudah memadai dan Dr Mahathir tidak perlu menyuarakannya dalam ucapan.

Bagi mereka kehadiran Dr Mahathir di Port Dickson, walaupun tidak sampai tiga jam, ia adalah pengiktirafan dan perakuan kepada bekas timbalan Perdana Menteri itu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia kelapan.

940 dibaca
Berita Harian X