Selasa, 9 Oktober 2018 | 11:08am
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah lori dan kereta yang terbabit kemalangan di Kilometer 255.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora - NSTP/L Manimaran

Penyelesaian tuntas cegah tragedi

Kemalangan mengorbankan lima nyawa di Kilometer 255.3, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berdekatan Terowong Menora di Ipoh pada Sabtu lalu, cukup menyayat hati ketika rasa duka akibat kematian enam anggota bomba dalam misi menyelamat di Puchong, Selangor beberapa hari sebelum itu masih menebal.

Dalam tragedi terbaru kira-kira jam 11.45 pagi itu, lima mangsa rentung terperangkap dalam kereta mereka yang remuk dan terbakar sejurus dihimpit treler membawa muatan bijih besi ke pembahagi jalan konkrit di tengah laluan.

Terowong Menora yang dibuka secara rasmi pada 1986, boleh dikatakan antara lokasi panas kemalangan dengan nyawa terkorban juga tidak terkira. Setiap kali kemalangan dan nyawa melayang, setiap kali itu jugalah pendekatan bersifat tergesa-gesa atau ad-hoc muncul dengan pelbagai pihak ibarat berlumba-lumba mahu jadi ‘jaguh’.

Seperti kes Terowong Menora ini, ia memerlukan penyelesaian lebih tuntas, tidak bersifat bermusim serta bersifat menyeluruh. Memang mengejutkan apabila pemandu treler disahkan memiliki 13 saman trafik termasuk memandu melebihi had laju, manakala syarikat pemilik treler itu pula memiliki 11 saman atas pelbagai kesalahan.

Selesai satu bab apabila permit 28 kenderaan Syarikat Usaha Maju Trading Sdn Bhd digantung serta-merta selama dua minggu susulan kejadian itu, malah pemandu treler juga ditahan untuk tindakan lanjut.

Kini skop lebih besar perlu dilihat dalam menilai kemalangan maut di Terowong Menora itu. Dari aspek geografi, laluan itu sememangnya menuntut kenderaan mendaki dan menuruni bukit secara berselang-seli dengan faktor kelajuan bukan sesuatu yang boleh dipandang remeh. Jadi kadar had laju bersesuaian perlu diputuskan.

Hasrat Kerajaan Perak mengkaji pelbagai cadangan penambahbaikan untuk laluan dari arah Terowong Menora ke Kuala Kangsar wajar dipuji, termasuk pembinaan laluan baharu bagi mengelak kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

Laluan maut berbukit dikenali Bukit Tujuh di Kelantan yang meragut banyak nyawa wajar dijadikan panduan. Ia kini lebih selamat selepas dinaik taraf dengan laluan lebih landai.

Selain itu, ramai melihat laluan Terowong Menora kurang sesuai untuk kenderaan berat apabila rata-rata kemalangan di lokasi berhampiran banyak membabitkan kenderaan dalam kategori itu. Cadangan sama ada wajar disediakan laluan khusus untuk kenderaan kelas berkenaan atau laluan alternatif, ia suatu yang patut dipandang.

Spesifikasi kenderaan khususnya kenderaan berat turut perlu dinilai kerana setiap kali insiden berlaku. Faktor kenderaan rosak, brek tidak berfungsi sering menjadi punca. Wajar juga dinilai supaya kenderaan berat seperti lori atau treler diberikan had tempoh beroperasi.

Mungkin maksimum 10 tahun jangka hayat untuk dikira layak berada di jalan raya atau mungkin mewajibkan pemeriksaan menyeluruh secara berkala untuk satu tempoh yang dikira sesuai.

Apa yang pasti, insiden Terowong Menora pada Sabtu lalu harus dinilai secara menyeluruh supaya tiada lagi pengguna jalan raya menjadi mangsa.

290 dibaca
Berita Harian X