Selasa, 9 Oktober 2018 | 11:00am

Enam keutamaan pacu ekonomi digital

GAYA hidup digital, masyarakat berurusan tanpa tunai, perniagaan berasaskan aplikasi, negara ‘pintar’ dan perkhidmatan alam maya. Ekonomi digital kini menjadi buah mulut di Asia Tenggara yang teruja dengan perkembangan semasa, berikutan rantau ini adalah lubuk emas bagi pembangunan digital selain menempa nama di pentas dunia bagi beberapa indikator, termasuk penggunaan internet dan media sosial.

Ledakan transformasi digital di Asia Tenggara jelas terserlah berikutan kemunculan syarikat teknologi ‘unikorn’ yang diakui hebat seperti GoJek, Grab, Lazada, Sea, Tokopedia dan Traveloka. Malah, turut menyaksikan golongan usahawan dan firma kecil berinovasi serta berteknologi semakin meningkat maju.

Semua perkembangan ini menarik minat kerajaan negara serantau yang dilihat melaksanakan pelbagai bentuk strategi bagi memacu sektor ekonomi digital.

Namun, dalam perkembangan memberangsangkan ini, kebanyakan perniagaan belum memanfaatkan teknologi digital sepenuhnya agar seiring penggunaan internet yang tinggi dalam kalangan populasi.

Dalam erti kata lain, potensi teknologi digital sebagai pemacu pertumbuhan sektor swasta belum direalisasikan sepenuhnya. Hal ini disebabkan rantau Asia Tenggara masih berdepan kekangan ketara dalam usaha membangunkan ekonomi digital.

Justeru, enam keutamaan dikenal pasti mampu memantapkan persekitaran bagi merangsang pertumbuhan ekonomi digital, bermula dengan memperbaiki ketersediaan internet berkelajuan tinggi pada harga mampu dibayar.

Kurang akses internet

Kira-kira separuh daripada populasi ASEAN tidak mempunyai akses internet, bahkan jika mereka mendapat akses sekalipun, ia diperoleh melalui jalur lebar mudah alih seperti telefon pintar dan bukannya daripada jalur lebar talian tetap. Sedangkan aplikasi perniagaan berintensifkan data memerlukan jalur lebar bertalian tetap.

Pelaburan sektor awam dan swasta diperlukan bagi mengatasi masalah ini, tetapi pembuat dasar juga perlu membantu bagi meneruskan pembaharuan peraturan kawal selia.

Di kebanyakan negara, pasaran jalur lebar didominasi satu atau dua firma, biasanya dimiliki kerajaan. Oleh itu, pembaharuan bertujuan merangsang daya saing dapat menawarkan harga lebih rendah dan kelajuan lebih tinggi.

Keutamaan kedua adalah memperhebatkan kemahiran digital dalam kalangan penduduk. Walaupun asas literasi dan numerasi di rantau ini boleh dikatakan baik, sistem pendidikan harus lebih bijak membangunkan kemahiran bagi menepati keperluan ekonomi digital.

Ia merangkumi aspek daripada penggunaan asas komputer kepada kemahiran tahap tinggi seperti pengekodan dan data analitik, termasuk kemahiran insaniah seperti kemampuan bekerjasama dan berkomunikasi.

Namun, kemahiran seumpama ini memerlukan penghayatan dan pembelajaran sepanjang hayat dan bukan sekadar memperoleh sijil semata-mata.

Inisiatif dibangunkan Singapura, Skills Future membekalkan program latihan semula dan perkembangan kemahiran berterusan, seharusnya dijadikan contoh.

Di samping itu, pembayaran secara digital juga berperanan penting dalam pertumbuhan ekonomi digital, lantas usaha bagi memperluas kaedah ini perlu dijadikan keutamaan di Asia Tenggara.

Bangunkan infrastruktur

Data Global Findex terbaru oleh Bank Dunia menunjukkan hanya 19 peratus pemegang akaun kewangan di rantau ini mengakses akaun mereka menggunakan telefon mudah alih atau internet.

Angka ini jauh lebih rendah berbanding purata di negara dunia yang berpendapatan sederhana dan negara Sub-Sahara di Afrika, yang masing-masing mencatatkan 27 dan 24 peratus.

Dalam hal ini, pihak kerajaan boleh membantu membangunkan infrastruktur kawal selia yang sewajarnya dan mengguna pakai kaedah pembayaran secara digital apabila membabitkan interaksi dengan rakyat.

Skim pengenalan diri (ID) secara digital dibangunkan kerajaan juga dapat membantu rakyat memperoleh akses akaun mereka dengan lebih mudah.

Bagi sektor e-dagang, kos yang tinggi dan logistik yang tidak menentu menjadi kekangan utama. Biarpun faktor geografi di banyak negara Asia Tenggara pada hakikatnya mencabar, peraturan kawal selia memainkan peranan untuk mengatasi isu ini.

Laporan Bank Dunia-ASEAN, baru-baru ini memperlihatkan halangan logistik kepada perdagangan rentas sempadan di blok ASEAN antara tertinggi di dunia.

Ini disebabkan isu penghantaran secara e-dagang yang berdepan prosedur kastam yang tidak menentu. Malah, Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia turut membuktikan isu kastam adalah kelemahan paling ketara yang menjejaskan prestasi persekitaran logistik merentasi rantau ini.

Keutamaan kelima ialah pelaksanaan dasar yang mampu membina keyakinan peserta ekonomi digital, antara lain dasar yang meliputi privasi data, keselamatan siber dan perlindungan pengguna.

Kurang daripada separuh negara ASEAN mempunyai perundangan menyeluruh bagi perlindungan data, apatah lagi kapasiti pihak penguat kuasa pula terhad.

Di samping itu, dasar sedia ada tidak diselaras pada peringkat rantau ASEAN, sekali gus menyebabkan individu dan peniaga menghadapi kesukaran kerana tidak mempunyai maklumat mengenai peraturan terpakai apabila data mereka merentasi sempadan.

Peranan kerajaan

Akhir sekali, kerajaan perlu berperanan sebagai peneraju dengan menjadi lebih celik digital. Semua sistem berkaitan perlu diperkemas bagi menepati ciri ‘keseluruhan kerajaan’ yang bersepadu dengan menawarkan pelbagai platform perkhidmatan digital bagi menyokong operasi perniagaan, sekali gus mengurangkan tempoh transaksi dan kos seperti kelulusan lesen dan permit dalam talian.

Rentetan itu, inisiatif seperti ID digital peringkat negara mampu memberi manfaat secara langsung dalam ekonomi digital.

Manfaat ini dapat diserlahkan lagi dalam pelbagai bidang ekonomi digital, antara lain bagi pembayaran secara digital yang dinyatakan sebelum ini.

Sungguhpun ada aspek dasar lain yang penting dalam usaha kerajaan memperluas ekonomi digital dengan menguruskan risiko seperti aspek pencukaian, pelaksanaan enam keutamaan di atas dilihat amat kritikal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi digital.

Selain itu, pemantapan kapasiti serantau dan manfaat teknologi bagi menyelesaikan masalah pembangunan juga mampu melonjakkan kedudukan Asia Tenggara agar setiap negara merealisasikan sepenuhnya potensi ekonomi digital di rantau ini.

Penulis adalah Naib Presiden Bank Dunia bagi Rantau Asia Timur dan Pasifik

93 dibaca
Berita Harian X