Isnin, 8 Oktober 2018 | 11:02am
ANWAR bersalaman bersama Saiful Bukhari pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Port Dickson, Negeri Sembilan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Isu kronopolitik Anwar, Saiful Bukhari

BERBAKI hanya lima hari lagi, warga Port Dickson (PD) akan tahu siapa wakil rakyat baharu untuk membawa suara mereka ke Parlimen.

Sabtu ini, akan diketahui adakah mandat akan berpihak kepada bakal Perdana Menteri atau bekas Menteri Besar, bekas pegawai tentera mewakili PAS atau seorang daripada calon Bebas.

Setiap calon mempunyai cabaran tersendiri dalam usaha memenangi hati pengundi dan pada masa sama, perlu juga memerangi persepsi.

Cabaran besar dihadapi bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson ialah waktu, iaitu waktu lalu, waktu sekarang dan waktu hadapan.

Ramai juga ‘ahli falak’ pillihan raya - yang diiktiraf atau peramal di kedai kopi - menjangkakan kemenangan bakal berpihak kepada Anwar, namun ia tidak semudah yang diimpikan.

Ketiadaan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pertembungan di kawasan peranginan itu, digantikan dengan PAS yang pasti tidak akan memberi jalan mudah untuk Anwar yang turut berdepan beberapa calon Bebas.

Kehadiran Saiful Bukhari Azlan, 33, sebagai seorang daripada calon Bebas seolah-olah mahu menggugat Anwar berkaitan suatu ‘isu’ pada masa lalu yang mungkin hendak ‘dikinikan’.

Nampaknya ada seseorang atau jika ada yang menjadi perancang strategik atau Saiful Bukhari sendiri mengambil keputusan bertanding. Sama ada langkah itu sengaja atau tidak, ia akan memberi kesan psikologi kepada Anwar.

Walaupun mungkin tokoh politik kental seperti Anwar tidak akan tergugat dengan kehadiran Saiful Bukhari, sekurang-kurangnya keberadaan bekas pembantu peribadinya di Port Dickson akan termasuk juga dalam fikiran pengundi terhadap kes yang membuatkan beliau dipenjara (walaupun Anwar sudah mendapat pengampunan diraja).

Seolah-olah kehadiran Saiful Bukhari adalah sebagai platform untuk kisah lalu dibuka semula atau sekurang-kurangnya disebut dan dibincang bagi dijadikan fakta sejarah yang kita sendiri tidak inginkan.

Inilah mungkin hasrat yang diinginkan oleh sesiapa pun yang berada di belakang tabir dalam menampilkan Saiful Bukhari bagi PRK ini.

Jika benar ada dalang di belakang langkah itu, mereka mungkin sengaja ingin mencetuskan kekeliruan baharu (sesudah terbukti Anwar tidak bersalah dengan pengampunan) terhadap pemahaman rakyat dalam kes membabitkan dua individu itu.

Pengembalian kuasa

Dalam hal ini, saya mengaitkannya dengan suatu konsep politik yang dikenali sebagai kronopolitik (chronopolitics).

Mungkin sesetengah pembaca menganggapnya sebagai terlalu akademik atau sukar difahami, namun saya akan cuba mempermudahkan huraian dalam membicarakan konsep ini.

Ia supaya apa yang dipelajari tidak tinggal di menara gading sebagai sekadar hiasan konsep dan teori, sebaliknya perlu dijadikan konsep praktik bagi peristiwa yang berlaku dalam masyarakat.

Menurut Paul Virilio dalam bukunya Lost Dimension, kronopolitik adalah proses kronologi mengenai perubahan, reformasi atau transformasi politik waktu atau perubahan dalam politik yang dikaitkan dengan persaingan dalam politik, dinamika sosial, perubahan budaya dan pecutan ke arah kepemimpinan iaitu memegang teraju kepemimpinan.

Dalam hal ini, kronopolitik dikaitkan dengan kronologi waktu, ada sejarah masa lalu serta keadaaan sekarang dalam berhadapan dengan masa kini untuk diunjurkan ke masa depan.

Kronopolitik adalah perancangan, gerak kerja, strategi, pelan dan langkah untuk menjalinkan suatu usaha ke arah pengembalian kuasa dan memberikan konsultasi kepada masyarakat dalam geo-politik mikro.

Dalam geo-politik mikro ini, wacana PD akan dipenuhi pelbagai perdebatan, alasan, pendapat, logika, pengetahuan, strategi, taktik dan teknik yang berkaitan dengan politik waktu atau kronopolitik.

Dalam hal ini, kronopolitik adalah perurutan dalam wilayah PD yang merangkumi perurutan, geneologi, asal usul dan kedudukan asal kisah dan cerita (contoh Anwar dipenjarakan).

Kemenangan serta perjalanan ke tampuk kuasa dan menewaskan satu pihak dengan sudut pandangan dan versi masing-masing di antara kemenangan dan kekalahan, adalah saingan dalam kronopolitik ini.

Buka buku lama

Kemunculan Saiful Bukhari seolah-olah membuka semula buku lama, ingin membekukan atau mempertahankan versinya dalam kes dengan Anwar dengan ruang atau wilayah yang dipertandingkan ialah pencalonannya di Port Dickson.

Persoalan dapatkah Anwar menjadi Perdana Menteri sengaja dibuaikan dan ini terbukti apabila bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad turut bertanding serta dilihat berkemampuan menyekat kemaraan Anwar ke Parlimen.

Rasanya tidak mudah untuk Anwar menerajui tampuk kepemimpinan negara walaupun peralihan kuasa untuknya menduduki kerusi empuk pimpinan tertinggi di Putrajayasudah dijanjikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penulis adalah Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (UNISEL)

967 dibaca
Berita Harian X