Isnin, 8 Oktober 2018 | 11:01am
MENTERI Pelajaran, Maszlee Malik. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Nilai prestasi pengetua, guru besar tanpa dendam

CADANGAN Kementerian Pendidikan supaya pendidik diberikan peluang menilai prestasi guru besar dan pengetua sekolah, menerima reaksi berbeza pelbagai pihak.

Ada menyifatkan sudah tiba masanya penilaian 360 darjah itu dilaksanakan pada peringkat sekolah. Alasannya, pendidik paling rapat dengan pentadbir sekolah berbanding pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) yang tiada hubungan atau urusan secara langsung.

Jika diamati, pelaksanaannya kelak bukan sahaja bakal mewujudkan rasa tanggungjawab antara guru dan pentadbir sekolah, sebaliknya diharap mampu menghasilkan keputusan penilaian lebih telus dan tepat, dalam mengukur prestasi guru besar atau pengetua.

Bagaimanapun ada melihat cadangan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik belum sesuai dilaksanakan, justeru mahu PPD terus diberi hak membuat penilaian untuk menentukan jika guru besar atau pengetua terbabit mencapai Sasaran Kerja Tahunan (SKT) ditetapkan.

Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggap penilaian 360 darjah itu sebagai amat telus memandangkan ia dilakukan dengan pihak yang ada hubungan kerja secara langsung dengan orang yang dinilai prestasi mereka.


AZIH Muda. - Foto Rohanis Shukri

Elak elemen negatif

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata kajian lebih terperinci perlu dilakukan sebelum cadangan diteruskan bagi mengelak sebarang kerosakan pada masa akan datang, biar pun konsep sama sudah diperkenalkan dalam sektor awam lain.

“Kita tidak mahu ada elemen negatif yang mungkin boleh mempengaruhi guru ketika mereka membuat penilaian prestasi terhadap guru besar atau pengetua di sekolah masing-masing.

“Kemungkinan wujud salah faham atau rasa tidak puas hati dalam kalangan orang bawahan ketika menilai ketua mereka tidak dapat dielakkan. Kita tidak mahu perkara sebegini menghasilkan keputusan penilaian yang tidak telus,” katanya.

Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) pula melihat cadangan ini memberikan peluang kepada pendidik untuk menilai prestasi berkenaan, mampu mewujudkan hubungan atau komunikasi dua hala antara pendidik dan guru besar atau pengetua.


MOHAMED Sabri Mohd Arsad. - Foto Osman Adnan

Presidennya, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru sebagai kakitangan bawahan akan menjadi lebih berani menyatakan pandangan sama ada bersetuju atau tidak, sekali gus menunjukkan profesionalisme mereka dalam menilai pihak atasan mereka.

Perlu kajian sempurna

Beliau berkata, sebagai kakitangan yang paling dekat dan berurusan secara langsung, mereka lebih layak menilai prestasi pegawai atasan yang dipertanggungjawabkan mentadbir sekolah.

Mohamed Sabri bersetuju penilaian ini jika dilaksanakan tanpa kajian sempurna, berisiko menyebabkan pelbagai kelemahan sehingga mengundang hubungan tidak sihat antara kedua-dua pihak.

Akan wujud dua kelompok yang dibimbangi boleh memecah-belahkan hubungan antara kakitangan sekolah, apabila ada yang menolak kepemimpinan tidak kena dengan cara mereka.

“Kita tidak mahu wujud unsur membalas dendam dalam kalangan mereka yang tidak sukakan kepemimpinan guru besar atau pengetua terbabit, ketika membuat penilaian prestasi.

“Keadaan ini boleh mewujudkan suasana kerja tidak sihat, selain menimbulkan tekanan terhadap pihak bertelagah,” katanya.

Mohamed Sabri berkata, krisis seumpama itu sekiranya berlaku dibimbangi sukar dipulihkan dan pasti menjejaskan banyak pihak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Cawangan Johor, Datuk Jemale Paiman, berkata penilaian 360 darjah terhadap kepemimpinan di sekolah dapat menghindar budaya nepotisme kerana pentadbir dinilai berdasarkan kebolehan dan prestasi mereka.

Guru adalah golongan profesional yang bijak menilai berdasarkan pandangan mereka secara adil dan telus, tanpa dipengaruhi sebarang kepentingan peribadi.

Justeru, katanya, bidang pendidikan perlu lebih berani melalui perubahan termasuk dalam memberi kebebasan kepada guru menyatakan pendapat mereka tanpa bimbang terhadap pengaruh sesiapa.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarozaman Abd Razak, berkata, sudah tiba masanya proses pengurusan sumber manusia di sekolah dilakukan secara bersemuka dalam suasana lebih mesra, membabitkan pentadbir dan kakitangan bawahan mereka.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaannya memerlukan bimbingan dan penerangan sepatutnya bagi mengelak sebarang salah faham, atau kemungkinan penilaian dilakukan tanpa mengikut garis panduan ditetapkan.

259 dibaca
Berita Harian X