Sabtu, 6 Oktober 2018 | 11:02am
RISIKO nahas dalam aktiviti riadah di air dapat dielak jika menggunakan peralatan keselamatan yang lengkap. - Foto Hiasan

Ramai remaja maut akibat bencana air

TRAGEDI enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terkorban dalam operasi mencari remaja yang terjatuh berhampiran pintu air bekas lombong di Puchong, Selangor menyentuh perasaan orang ramai.

Statistik JBPM menunjukkan purata 1.5 kematian sehari atau lebih 400 kematian setahun direkodkan membabitkan kemalangan di air pada tahun lalu.

Kematian di air lebih tinggi dua kali ganda, berbanding kematian akibat kebakaran yang dilaporkan ke JBPM.

Mangsa kemalangan air paling ramai yang dicatatkan ialah remaja atau belia berusia antara 15 tahun hingga 30 tahun. Kebanyakan insiden paling banyak berlaku bekas lombong, pusat rekreasi, sungai dan laut.

Biasanya orang ramai tidak sedar dengan keadaan cemas membabitkan kemalangan di air dan penyelamat hanya dihubungi selepas mangsa kritikal.

Justeru, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menubuhkan Majlis Keselamatan Aktiviti Air bagi mengurangkan kemalangan di air. Pelbagai program sudah dilaksanakan oleh pihak berkuasa, termasuk JBPM.

Ini termasuk mengadakan tunjuk ajar cara bertindak dan menggunakan peralatan di persekitaran seperti kotak bekas ikan dan menyelamatkan diri dengan persekitaran.

Penolong Ketua Pengarah JBPM, Datuk Rusmaini Mohamad menjelaskan 58 balai bomba menempatkan pasukan mencari dan menyelamat di dasar air.

Anggota penyelamat ini memiliki lesen menyelam skuba daripada Professional Association of Diving Instructors (PADI) atau The National Association of Underwater Instructors (NAUI).

Beliau memaklumkan 294 balai bomba memiliki kepakaran menyelamat mangsa di permukaan air.

Tambah papan tanda

JBPM turut mendidik bagi meningkatkan kesedaran masyarakat seperti memahami tanda amaran dan larangan serta tindakan yang boleh diambil jika melihat orang hampir lemas.

“Kesilapan biasa dibuat ialah menyelamatkan mangsa lemas tanpa adanya kemahiran berenang dan menyelamat,” katanya.

Pengasas Kumpulan Penyelamat Pertama, Samad Rahim pula mencadangkan pihak berkuasa tempatan memperbanyak papan tanda di lokasi berisiko musibah.

Di luar negara, katanya, pihak berkuasa memperhebatkan langkah kesedaran awam terhadap keselamatan dengan melaksanakan usaha mencegah dan mendidik orang ramai menghargai nyawa sendiri dan orang lain.

269 dibaca
Berita Harian X