Sabtu, 6 Oktober 2018 | 11:01am
KHEMAH sementara bagi mangsa yang selamat di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia. - Foto EPA

Tsunami dan persaudaraan serumpun

SEMALAM, genap seminggu gempa bumi berskala 7.4 magnitud disusuli tsunami melanda Sulawesi, iaitu Palu dan Donggala di Indonesia.

Setakat jam 6 petang Khamis, Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia melaporkan jumlah mangsa korban di Sulawesi Tengah meningkat kepada 1,517 orang.

Penulis turut terkesan kerana ramai keluarga sebelah isteri menetap di Palu dan tertunggu-tunggu kerana dalam tempoh dua hari selepas bencana itu berlaku, kami gagal menghubungi mereka.

Perasaan risau mula dirasai keluarga jurai keturunan Umar Papeo yang berada di Sabah, khususnya Semporna, Tawau, Kota Kinabalu dan Kota Belud, selain Manila dan Zamboanga di Filipina.

Alhamdulillah, tiga hari kemudian kami menerima khabar gembira daripada, ibu saudara isteri saya, dari Bolaan Mongondow, Sulawesi Utara, yang memaklumkan menerusi laman sosial Facebook peribadinya, mereka selamat.

“Baru ada signal telkomsel (telekomunikasi). Alhamdulillah atas lindungan Allah SWT kami sekeluarga dalam keadaan sihat walafiat. Semoga hal mengerikan tak (tidak) berulang lagi,” katanya.

Berlari selamatkan diri

Bekas pembantu rumah kami, dari Kampung Sidoan, Palu pula ketika dihubungi memaklumkan beliau bersama-sama kakaknya turut melihat sendiri keadaan ngeri penduduk di tanah rendah berlari menyelamatkan diri.

Katanya, lokasi rumah mereka di atas bukit menyebabkan tidak terjejas oleh tsunami, walaupun wujud perasaan takut berikutan gegaran yang sangat kuat.

“Keadaan waktu itu memang mengerikan. Walaupun rumah kami berada di tempat tinggi, bimbang juga akan terputus bekalan makanan berikutan hubungan dengan bandar terdekat di Palu terputus,” katanya.

Ayah kepada ibu mentua penulis, Kartinah, iaitu Allahyarham Umar Papeo berasal dari Palu sebelum berhijrah ke Filipina dan Tawau kerana menjadi buruan penjajah Belanda. Mereka antara 13 tokoh yang menuntut kuasa autonomi untuk Sulawesi Tengah.

Dianggarkan lebih 1,000 keluarga Allahyarham Umar Papeo masih menetap di Palu.

Rakyat Malaysia yang terkenal dengan keprihatinan membantu mangsa bencana alam turut membantu meringankan bebanan mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah.

Media Prima Berhad dan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), Khamis lalu melancarkan Tabung Bantuan Bencana Palu sebagai usaha mengumpul sumbangan bagi membantu mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah, Indonesia.

Sebanyak 2,000 khemah sementara dan 10 tan bekalan makanan pula bakal disalurkan kumpulan misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) kepada ribuan mangsa bencana gempa bumi dan tsunami yang kini, seolah-olah menjadi pelarian.

Ketua Misi, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery menjelaskan pihaknya serius dalam usaha membantu mangsa bencana itu dengan menghantar pasukan bantuan awal ke wilayah itu sejak Selasa lalu.

Kutipan derma di masjid

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melancarkan Tabung Gempa Bumi dan Tsunami Sulawesi dalam usaha bagi membantu mangsa dan ahli keluarga yang ditimpa bencana.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim menyatakan kutipan dilakukan menerusi masjid dan surau di bawah pentadbiran JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Malaysian Relief Agency (MRA) pula melancarkan tabung kemanusiaan gempa bumi Sulawesi bagi membantu mangsa yang terjejas teruk akibat gempa bumi berkenaan.

Timbalan Presidennya, Khairil Annuar Khalid memaklumkan mereka sudah menghantar bantuan kecemasan ke Pulau Sulawesi Tengah dengan membawa bantuan makanan asas dan ubat-ubatan yang bernilai kira-kira RM20,000.

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) pula menyediakan sebanyak 629 tabung derma mangsa tsunami Sulawesi Tengah, Indonesia di masjid selama sebulan bermula semalam.

Begitulah prihatinnya rakyat negara kita terhadap mangsa gempa dan tsunami atau bencana lain di seluruh dunia. Diharap sumbangan berkenaan mengukuhkan hubungan diplomatik dan kekeluargaan di antara negara ini dan negara terbabit.

948 dibaca
Berita Harian X