Selasa, 15 Mei 2018 | 9:49am
PENIAGA di Sana'a, Yaman menjual makanan sempena menyambut Ramadan menjelang tiba. - Foto EPA

Bersedia raih kemenangan berganda Ramadan

TANGGAL 1 Ramadan menjelang tiba. Di mana-mana saja masyarakat Islam mula memperkatakan kemuliaan dan kelebihan Ramadan berbanding bulan lain.

Malah ada lailatulqadar yang pahala beribadah pada malamnya lebih baik daripada 1,000 bulan.

Persoalannya berapa ramaikah daripada kita sudah bersedia untuk bertemu Ramadan? Apa pula yang molek untuk dilakukan dan apa perkara yang mesti ditinggalkan. Justeru, segala persiapan bertemu Ramadan selayaknya mula dilakukan bagi meraih ganjaran berlipat ganda dijanjikan.

Antaranya memurnikan niat berpuasa semata-mata kerana Allah. Bukan berpuasa untuk menyambut Aidilfitri sehingga segala persiapan tertumpu ke sana. Hal ini penting diperhalusi kerana setiap amalan dinilai berdasarkan niat.

Malah niat yang benar akan mencorakkan amalan puasa seseorang sehingga menjadi berusaha bersungguh-sungguh memenuhi Ramadan dengan segala amalan kebajikan tujuan mendekatkan diri kepada Ilahi.

Muslim juga diajak berazam bagi meningkatkan kualiti puasa kepada tingkatan puasa khusus dalam erti kata tidak hanya menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara membatalkan puasa.

Sebaliknya, puasa mesti disempurnakan dengan menjaga seluruh pancaindera daripada berbuat dosa dan maksiat yang jika tidak dipelihara boleh jadi mengurangkan pahala puasa seseorang. Lebih daripada itu adalah tidak molek jika bertahun-tahun dikurniakan nikmat berpuasa pada Ramadan, tetapi keadaan puasanya hanya puasa awam sebagaimana disebutkan oleh al-Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin.

Selain itu, peluang bertemu Ramadan tidak sepatutnya disia-siakan. Syukuri nikmat dipanjangkan umur dengan bersiap sedia untuk meraih segala bentuk ganjaran dan kelebihan Ramadan seperti banyak membaca al-Quran dan melaksanakan solat tarawih setiap malam.

Selain itu, digalakkan juga untuk banyak beriktikaf di masjid dan menunaikan solat fardu secara berjemaah. Setiap individu Muslim turut diajak untuk mendapatkan ganjaran beribadah pada malam lailatulqadar.

Termasuk amalan yang baik untuk dilakukan ialah memberi makan orang yang berbuka puasa. Orang yang sanggup mengeluarkan sedikit perbelanjaan untuk menyediakan makanan berbuka akan dikurniakan pahala puasa orang diberi makan dan tidak akan berkurang sedikit pun daripadanya.

Dalam pada itu jika seseorang tidak mampu berbuat demikian usahlah pula terbabit menyediakan makanan untuk golongan yang malas dan enggan berpuasa kerana boleh jadi turut terpalit dengan dosa.

Peniaga bazar Ramadan juga dinasihat tidak terlalu awal menjual juadah berbuka kerana boleh jadi membuka jalan untuk golongan yang sengaja enggan berpuasa makan sesuka hati.

Dalam pada itu, Muslim dinasihatkan tidak membuang masa dengan perkara tidak bermanfaat. Lebih buruk lagi apabila Ramadan dipenuhi dengan kegiatan mazmumah seperti mengumpat, mengeji dan memburuk-burukkan orang lain.

Selain itu, terlalu banyak tidur juga menyebabkan seseorang terlepas peluang untuk berzikir dan berselawat atas Nabi Muhammad SAW yang turut dilipatgandakan pahalanya ketika Ramadan.

Jangan membazir

Usah juga membazir ketika berbuka puasa. Makan sekadar diperlukan. Perbuatan segelintir yang memenuhkan meja makan dengan pelbagai juadah dilihat tidak selari dengan hikmah berpuasa yang antara lain menggalakkan berjimat dalam berbelanja.

Pembaziran yang dilakukan ini boleh jadi menimbulkan fitnah yang mencalarkan imej Islam sehingga dicemuh dan dihina disebabkan perbuatan umatnya sendiri. Boleh jadi juga kerana terlalu banyak makan menyebabkan seseorang mengantuk dan malas untuk menunaikan solat tarawih dan solat yang difardukan.

Digalakkan Muslim tidak mengubah kebiasaan makan sempena Ramadan. Ramadan seolah-olah pesta makan dengan pelbagai juadah disediakan ketika berbuka. Kekalkan cara makan seperti hari biasa tanpa berlebih-lebihan.

Ketika berpuasa individu Muslim diingat supaya mematuhi kewajipan yang lain. Apalah ertinya berpuasa jika aurat tidak dipelihara, pergaulan tidak dijaga malah solat lima waktu diabaikan. Sedangkan apabila diteliti semua itu termasuk perkara wajib yang tidak boleh dikesampingkan.

Seseorang yang berpuasa dalam keadaan tidak solat dan tidak menutup aurat boleh jadi tidak diterima puasanya dengan sempurna, sehingga gagal beroleh ganjaran kemuliaan Ramadan yang berlipat kali ganda.

Sehubungan dengan itu kaum Muslimin diajak untuk berusaha berpuasa dalam erti kata yang sebenar dengan menjaga seluruh anggota dan pancaindera daripada terbabit berbuat dosa.

Semoga dengan keazaman untuk berpuasa dengan bersungguh-sungguh seseorang beroleh kemenangan berlipat kali ganda sebagaimana dijanjikan oleh-Nya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor

215 dibaca
Berita Harian X