Rabu, 18 April 2018 | 7:45am
FOTO hiasan.

SPR laksana tanggungjawab ikut Perlembagaan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR), badan yang dipertanggungjawab untuk mengendali dan menguruskan pilihan raya di negara kita, sentiasa bersikap adil dan memenuhi kehendak undang-undang dalam melaksanakan amanah berkenaan.

Antara tugasnya seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 113 (2) (i) menjelaskan SPR perlu mengkaji semula sempadan bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri dan mengesyorkan perubahan itu dalam tempoh tidak kurang lapan tahun.

Bukti SPR sentiasa bersikap adil dan memenuhi kehendak undang-undang ialah keputusan Mahkamah Persekutuan pada Februari lalu, menolak permohonan beberapa pihak untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar urusan Kajian Semula Persempadanan Bahagian Pilihan Raya di Perak dan Melaka.

Ia membuktikan urusan Kajian Semula Persempadanan dijalankan SPR itu mematuhi dan memenuhi prinsip dan prosedur ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan kerajaan Pulau Pinang berkaitan urusan Kajian Semula Persempadanan di negeri itu. Satu lagi bukti SPR menjalankan tanggungjawabnya selaras peruntukan undang-undang.

Keputusan mahkamah itu satu pengiktirafan kehakiman berkaitan pembahagian kuasa di antara eksekutif, perundangan dan kehakiman, selaras doktrin pengasingan kuasa.

Persempadanan semula bukan faktor

Kajian persempadanan semula dibuat SPR sebelum ini membuktikan proses itu bukan faktor penentu kemenangan atau kekalahan mana-mana pihak, sebaliknya ditentukan pengundi seperti pernah berlaku di Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Terengganu dan Perak.

Parti pembangkang berjaya membentuk kerajaan di negeri terbabit, termasuk kekal mentadbir sehingga beberapa penggal pilihan raya, walaupun masih mengguna pakai formula dan sistem persempadanan sama.

SPR juga mempamerkan Senarai Tuntutan bagi Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun Keempat 2017 (ST4/2017) di semua Pejabat Pendaftar Pemilih Negeri (Pejabat Pilihan Raya Negeri) di seluruh negara selaras Peraturan 14(3) Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

Kemenangan calon ditentukan pengundi sah, sama ada pengundi biasa atau pengundian pos.

Perkara 3(1) hingga (4) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 menetapkan mana-mana warganegara mendaftar pemilih boleh mengundi secara pos dengan syarat perlu tergolong kategori ditetapkan SPR.

Kategori pengundi pos dalam negara, termasuk anggota tentera dan anggota polis yang tidak dapat hadir ketika hari pengundian awal, selain petugas media dan petugas pilihan raya yang bertugas di luar bahagian pilihan raya.

Untuk kategori pemilih di luar negara pula, mereka membabitkan kakitangan awam dan pasangan, pelajar sepenuh masa dan pasangan serta rakyat Malaysia disenaraikan 'Pengundi Tidak Hadir'.

SPR mewartakan kategori baharu yang boleh menjadi pengundi pos melalui warta pada 23 Oktober dan 13 Disember 2017, termasuk anggota bomba, petugas kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja) serta anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Anggota Jabatan Penjara, Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (PVR), Jabatan Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sahaja.

Pengundian pos diberikan kepada kategori pemilih itu hanya tertakluk kepada anggota yang menjalankan tugas pada hari mengundi selepas memohon sebagai pengundi pos dengan perakuan ketua jabatan masing-masing.

Warta bertarikh 23 Oktober 2017 jelas bermaksud hanya anggota PVR dilantik mengikut Seksyen 35 Akta Polis 1967 dan diperakukan bertugas pada hari mengundi sahaja, diberikan kemudahan terbabit, sedangkan anggota RELA bukan dalam kategori sama.

Hakikatnya, SPR sebagai badan bebas, tidak memanipulasi sistem pilihan raya untuk kemenangan parti tertentu. Sebaliknya, semua sistem dijalankan adalah telus dan adil.

Penulis ialah Penganalisis sosiopolitik bebas

279 dibaca
Berita Harian X