Sabtu, 14 April 2018 | 7:07am
- Foto hiasan

Kesepaduan jentera pilihan raya tentukan kemenangan BN

KEMENANGAN besar calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) penting bagi meneruskan kesinambungan pentadbiran kerajaan, juga bagi membuktikan gabungan parti berpengalaman itu masih relevan dan diterima semua kaum.

Selain pengundi Melayu, pengundi Cina dan India, sokongan pengundi Bumiputera di Sabah dan Sarawak juga penting untuk memastikan kemenangan BN.

Justeru, bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan BN yang kuat, sokongan besar pengundi diperlukan, sama ada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak. Ia sangat penting untuk BN kekal berkuasa, meneruskan agenda memperkasa pembangunan dan kemajuan negara.

Sokongan kaum Cina meningkat

Petanda sokongan rakyat memang ada jika dilihat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada Jun 2016 yang menyaksikan calon BN, Budiman Mohd Zohdi menewaskan dua calon lain dengan 9,191 undi majoriti selepas meraih 16,800 undi.

Peningkatan sokongan kaum Cina terhadap calon BN sebanyak 35 peratus, berbanding hanya 13 peratus pada PRU-13 adalah bukti UMNO-BN masih disukai rakyat berbilang kaum.

Bukan sahaja BN menang bergaya PRK Sungai Besar, tetapi juga menang besar PRK Parlimen Kuala Kangsar apabila Datin Mastura Mohd Yazid menewaskan tiga pencabar lain dengan majoriti 6,969 undi.

Kemenangan BN di kedua-dua PRK jelas membuktikan solidariti dan permuafakatan politik parti komponen sangat penting. Dalam kedua-dua PRK itu, MCA dan GERAKAN turut bekerja keras menarik sokongan kaum Cina.

Kejayaan itu hasil kesepaduan dalam gerak kerja kempen yang berkesan dan ia perlu diulangi pada PRU-14. Kesepaduan jentera pilihan raya BN penting bagi melaksanakan gerak kerja berkesan menarik sokongan pengundi.

Kesepaduan, kerjasama dan persefahaman dalam kalangan komponen BN yang tinggi akan mendorong tekad yang tinggi untuk memenangi PRU akan datang.

BN memiliki beberapa sifat disukai rakyat menerusi pendekatan berkongsi kuasa, permuafakatan, persefahaman, perundingan dan sifat kesederhanaan yang menjadi resipi utama parti itu dapat bertahan dalam persada politik tanah air.

Nakhoda cekal, bijaksana

UMNO sebagai parti teras dalam BN sentiasa mempunyai nakhoda cekal dan bijaksana, diangkat sebagai Pengerusi BN untuk mengemudi gabungan parti terbesar dan berpengalaman itu.

Sudah 13 kali PRU diadakan dan bahtera BN sentiasa selamat mengharungi segala onar dan badai politik. Sekali lagi UMNO-BN akan berdepan badai lebih hebat pada PRU-14.

Mencipta kemenangan pada PRU kali ini bukan mudah, memerlukan iltizam, ketinggian tekad, semangat waja serta keberkesanan strategi untuk meningkatkan momentum sokongan rakyat berbilang kaum.

Sebarang perkara berbangkit yang boleh menjejaskan BN memerlukan kata sepakat bagi mengatasinya. Kesetiaan atau walak harus ada dalam kalangan pemimpin dan ahli parti untuk mempertahankan parti daripada sebarang tohmahan.

Pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan pembangkang berusaha keras untuk menjadikan kedua-dua PRK itu referendum rakyat menolak kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun usaha itu gagal.

Ia gagal kerana kesetiaan dan solidariti dalam UMNO-BN sehingga gerak kerja parti dapat dilaksanakan dengan berkesan. Kemenangan BN dengan majoriti besar adalah bukti kehadiran tokoh besar pembangkang tidak semestinya menjejaskan sokongan kepada UMNO-BN.

Perkukuh iltizam

Yang penting BN membentuk barisan padu dan bekerja keras bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka. Sewajarnya barisan kepemimpinan UMNO-BN memperkukuh iltizam dan semangat tinggi untuk terus meraih kemenangan pada PRU akan datang.

Usaha mendekati rakyat dengan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi mesti terus dipertingkatkan.

Walaupun UMNO-BN kini berdepan pelbagai tohmahan dan cacian daripada musuh politiknya, BN akan berupaya bertahan sekiranya usaha membantu rakyat, terutama dalam meringankan kos sara hidup mereka terus diperhebatkan.

Segala krisis dalaman perlu diatasi dengan bijaksana, manakala cabaran luar dihadapi dengan tabah kerana ia adalah lumrah perjuangan. Yang penting, UMNO-BN tidak hilang fokus dalam membela nasib rakyat.

Sekiranya BN dapat menumpukan perhatian kepada isu berkepentingan rakyat, menunaikan segala janji dibentangkan dalam Bajet 2018 serta memahami kehendak generasi muda, maka UMNO-BN mampu meraih kejayaan pada PRU akan datang.

Kesimpulannya, UMNO-BN harus ingat bahawa medan isu pada pilihan raya umum akan datang adalah lebih besar dan mencabar.

Solidariti dalam kalangan parti komponen mesti terus diperkukuhkan, strategi kempen dirancang rapi, masalah rakyat dijadikan keutamaan dan segala janji mesti segera ditunaikan.

Penulis adalah Penganalisis Sosiopolitik bebas

104 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »