Jumaat, 13 April 2018 | 6:35am
Orang ramai teruja melihat peta projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sempena majlis pecah tanah projek ECRL peringkat Negeri Kelantan di Tunjong. - Foto BERNAMA

Rakyat Kelantan perlu manfaat PRU-14 untuk kemajuan

Pertembungan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di Kelantan sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga dekad ini, sering disederhanakan kepada konsep yang simplistik kepada sentimen siapa sokong atau siapa lawan agama atau ulama.

Kempen seperti ini sebenarnya tidak sihat kerana lebih bermain dengan emosi pengundi tanpa memberikan kesempatan kepada wacana dan perbincangan sebenar dalam konteks demokrasi.

Hubungan Islam dalam politik bukan hanya dengan menamakannya sebagai parti Islam dan meletakkan kalimah al-Quran serta hadis dalam perlembagaan parti atau mengira berapa banyak slogan dan janji berkaitan Islam yang diungkapkan pemimpinnya.

Sebaliknya, ia berhubung dengan apakah pandangan alam digunakan dalam menterjemahkan perlembagaan parti dan tindak-tanduk pemimpinnya? Malah, Islam sendiri tidak boleh disempitkan kepada salah satu komponen daripada tauhid dan akidah, fiqh dan perundangan serta akhlak dan tasawuf.

Apatah lagi konotasi 'mahu menegakkan Islam' tidak bermakna melaksanakan undang-undang hudud dan qisas semata-mata, tetapi tidak menitikberatkan dua komponen teras yang lain.

Dalam konteks akidah, kerangka dan pandangan alam Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) seperti yang difahami dalam tradisi ilmu yang benar, perlulah menjadi tonggak utama.

Apa yang bercanggah atau terkeluar daripada jalan seperti difahami oleh apa yang dipanggil Sowadul A'zom perlu diberi perhatian dalam melihat sejauh mana parti boleh diberi undi.

Peringatan Rasulullah

ASWJ dalam konteks moden perlu mengambil kira bukan saja fahaman seperti sekularisme, bahkan apakah reaksi sesuatu parti kepada modenisme, sama ada bersikap ekstrem kiri dengan mengambil fahaman liberal atau ekstrem kanan yang literalis dan cenderung kepada tindakan keras?

Rasulullah SAW mengingatkan bahaya golongan yang zahirnya taat dalam agama dan sering membacakan al-Quran, tetapi imannya keluar daripada kerongkong seperti anak panah yang dilepaskan dari busur.

Bagi aspek akhlak atau tasawuf, ia perlu dilihat lebih luas daripada perbincangan etika berorganisasi. Ada pihak yang melihat sejauh mana tindak-tanduk yang salah bergantung kepada kesan diterima kepada organisasi.

Penerimaan sesuatu konsep yang ditawarkan oleh parti tidak boleh diletakkan dalam kerangka dikotomi antara iman dengan kufur. Ini bermakna sesiapa yang tidak menerima konsep ditawar atau diperjuangkan parti itu, ia mengakibatkan individu atau golongan itu menentang Islam.

Wujudnya dikotomi bahaya sebegini dapat kita lihat seperti kenyataan pemimpin politik yang menggunakan Perang Badar sebagai analogi malaikat akan membantu partinya pada pilihan raya.

Ia membawa konotasi kepada perjuangannya adalah al-haq (benar), manakala pihak yang menentangnya batil. Dikotomi inilah yang mewujudkan golongan ekstrem dan pelampau seperti Khawarij yang wujud pada zaman Sahabat RA serta al-Qaeda dan Daesh pada masa kini.

Walhal konsep yang ditawarkan pada pilihan raya adalah berdasarkan interpretasi mereka terhadap kehendak syariat yang ijtihad.

Kita mengharapkan pilihan raya dalam konteks Kelantan dapat dikembalikan kepada pertimbangan yang benar, tanpa terperangkap dalam permainan emosi atau nostalgia semata-mata.

Pentas pilihan raya sepatutnya membuka peluang kepada parti politik yang bertanding untuk menawarkan sesuatu yang terbaik daripada pembangunan yang bersifat seimbang dan holistik.

Pembangunan sebenar seperti ditegaskan oleh Prof Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya, Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru Yang Lebih Sempurna, mengisyaratkan suatu kegiatan penting dan terancang yang menghasilkan kebaikan.

Pembangunan atau pengislahan seperti yang digunakan oleh Wan Mohd Nor, memberi makna kebaikan dari semua segi dalam semua jenis kegiatan manusia.

Biarlah PRU-14 menjadi 'pentas' kepada rakyat Kelantan untuk menimbang parti mana yang dapat menawarkan pembangunan yang holistik, sekali gus dapat membawa negeri yang kaya secara material dan intelektual ini kepada pengislahan sebenar.

Penulis adalah Pengarang Sastera BH

927 dibaca
Berita Harian X