Khamis, 12 April 2018 | 11:26am
- Gambar hiasan

Pendakwah khusus tangani LGBT

Satu kumpulan khusus dianggotai pendakwah berkelayakan perlu ditubuhkan dalam usaha menangani penularan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini, termasuk dalam kalangan remaja Islam.

Untuk tujuan itu, pemilihan pendakwah perlu mengambil kira pelbagai aspek terutama dari segi personaliti dengan memiliki ciri tertentu seperti mudah mesra, bersikap terbuka dan tidak mudah menjatuhkan hukum terhadap golongan sedemikian.

Panel Pemikir Panel Isu Semasa Wanita Islam (PISWI), Dr Fariza Md Sham, berkata sinergi antara pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu diwujudkan bagi memberi latihan khusus kepada pendakwah atau pegawai agama.

Katanya, ini penting demi memastikan teknik penyampaian digunakan pendakwah khususnya ketika berdepan golongan LGBT mampu memberi kesan secara lebih menyeluruh kepada golongan sasar.

"Pemulihan bagi LGBT ini tidak boleh dilakukan secara bidan terjun dan sembarangan kerana bukan semua golongan agama mampu mengendalikannya...ciri paling penting mereka mampu menerimanya sebagai sasaran dakwah.

"Berdasarkan kajian yang kami lakukan, golongan ini mengalami masalah psikologi, perasaan kurang yakin diri dan beranggapan masyarakat membenci fizikal serta diri mereka.

"Mereka ini kebanyakannya tahu kesalahan yang dilakukan, jadi perlu kepada pendekatan bersesuaian untuk menarik perhatian secara berhikmah. Dakwah pula perlu dilakukan secara tertutup tanpa penyertaan orang awam," katanya ketika sesi temu bual media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di Bangi, semalam.

Fariza yang terbabit dalam penyelidikan isu transgender sejak 2015, berkata statistik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada 2013 menunjukkan tiga peratus daripada rakyat Malaysia terjebak dalam gejala LGBT.

"Bayangkan pada 2013 direkodkan sebanyak 173,000 pelaku LGBT di negara ini dan dipercayai angka ini terus meningkat...amat membimbangkan, kajian yang kami lakukan mendapati pelaku LGBT ini bermula pada usia remaja seawal 14 hingga 15 tahun.

"Ada antaranya terjebak gejala tidak sihat ini kerana kurang penghayatan agama, bahkan amat malang ada yang tidak faham ayat al-Quran dengan mentafsir perintah Allah SWT supaya berpasang-pasangan, bagi menghalalkan hubungan songsang mereka," katanya.


Temubual Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Dr Fariza Md Sham mengenai isu seksual di kalangan remaja dalam islam di Universiti Kebangsaan Malaysia UKM, Bangi. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Banyak disebut dalam al-Quran

Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Pengajian Islam UKM, berkata jika dilihat sejarah manusia, golongan LGBT ini banyak disebut dalam al-Quran terutama mengenai kisah kaum Nabi Luth yang wajar dikongsikan sebagai peringatan dan pengajaran kepada umat Islam hari ini.

"Allah SWT menyifatkan golongan ini sebagai melampaui batas kemanusiaan dan melanggar perintah-Nya, selain ia melambangkan kejahilan sehingga sanggup memuaskan nafsu dengan memilih pasangan daripada jantina yang sama," katanya.

Beliau berkata, JAKIM turut memainkan peranan penting dalam menangani isu ini dengan mengeluarkan empat teras pelan tindakan bagi menanganinya secara tuntas dan progresif.

"Ia termasuk meningkatkan pembabitan pelbagai pihak untuk bekerjasama termasuk keluarga, sosial dan komuniti, selain menetapkan daripada segi dasar dan undang-undang bagi mencegah golongan ini dari terus berkembang.

"JAKIM turut memfokuskan usaha melahirkan program pencegahan dan perkhidmatan yang mudah diakses serta memperkasa pegawai khidmat sosial syarie bagi memastikan keberkesanan setiap acara dianjurkan," katanya.

Fariza berkata, LGBT turut menjadi ancaman bagi masyarakat Islam pada peringkat global khusus apabila Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011 mengiktiraf hak asasi mereka golongan ini.

"Cabaran lebih besar apabila 20 negara menyokong pengiktirafan terhadap LGBT, sekali gus memberi petanda buruk terhadap kesukaran membendung pertambahan kelompok ini," katanya.

Justeru, beliau berkata, semua pihak perlu bersatu dalam menangani isu LGBT dan mendekati mereka dengan cara yang baik, memandangkan pergaulan dan pembawakan diri yang agak berbeza berbanding manusia normal.

"Berikan teguran termasuk di media sosial secara berhemah dan jangan sesekali meminggirkan mereka," katanya.

259 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »