Isnin, 9 April 2018 | 8:01am
- Foto hiasan

Konsep terima kasih demi kestabilan negara

SEJAK mendapat pendidikan di sekolah rendah, kita diasuh dan dididik guru untuk mengucapkan terima kasih beramai-ramai sebelum guru keluar kelas apabila tamat waktu pengajaran.

Terima kasih cikgu! Berbunga senyuman cikgu meninggalkan kelas, betapa halusnya pekerti dan falsafah hidup mengenai perasaan berterima kasih. Alangkah sedihnya jika segala apa yang kita miliki pada hari ini tidak dibalas walau sebaris kata terima kasih.

Kecemerlangan diri yang kita miliki hari ini bukanlah kita cipta dan mengharunginya secara bersendirian. Ibu bapa, guru dan pensyarah ialah insan yang terlalu besar pengorbanan mereka, kita tetap rumput yang menadah embun pengorbanan mereka.

Usah mendabik dada dan dengan mudah melupakan orang yang mendidik kita sejak kecil hingga dewasa. Cabaran berjaya dalam kehidupan hadir dalam pelbagai bentuk, namun kepayahan dan kesukaran tidak semestinya pengakhiran sebuah perjuangan hidup.

Banyak peluang, ruang

Lihat pekerja asing sanggup meninggalkan negara mereka untuk mencari rezeki di Malaysia. Seharusnya rakyat negara ini menginsafi betapa terlalu banyak ruang dan peluang pekerjaan di negara sendiri.

Mungkin ini disebabkan rata-rata rakyat kita mendapat pendidikan asas, menengah dan tinggi hingga di universiti yang baik, membuatkan mereka seperti tidak rela memilih pekerjaan buruh kasar seperti dilakukan pekerja asing.

Kita faham segala kemudahan disediakan kerajaan seperti sekolah rendah dan menengah, 20 universiti awam, ratusan kolej dan universiti swasta meningkatkan tahap kepandaian anak kita dan mereka layak memiliki kerja mengikut bidang pengajian.

Realiti masa kini, ijazah bukan lagi jaminan mendapat kerja idaman. Kecemerlangan akademik bukan segala-galanya, melainkan disokong penguasaan pelbagai kemahiran insaniah, kreativiti berfikir dan bertindak, malah sanggup melakukan apa sahaja kerja bagi menambah pengalaman hidup.

Nilai pengalaman sangat tinggi dan tiada dalam bilik kuliah. Senario kemajuan dunia pendidikan menyebabkan hampir semua keluarga di negara ini ada anak belajar di universiti, berbanding 40 tahun lalu mungkin hanya seorang anak di setiap kampung belajar di menara gading.

Perubahan zaman

Dahulu, tanpa sebarang tuisyen, belajar dalam situasi serba kekurangan, namun tetap berjaya memperoleh keputusan baik dan cemerlang. Zaman sudah berubah, kemajuan dinikmati hari ini, mencerminkan komitmen seluruh rakyat yang ingin melihat Malaysia setanding negara lain.

Dalam sistem pendidikan, kaedah pengajaran dan pembelajaran juga sudah berubah kepada pedagogi abad ke-21 dan terbaru, Revolusi Industri 4.0. Hakikat zaman sudah berubah menuntut perubahan dalam gaya bekerja dan merancang masa depan.

Perbezaan impian, pendapat dan persepsi itu resam kehidupan. Apalah guna sebuah kemenangan jika di hadapan pintu masa depan menanti kehancuran. Semoga Malaysia tidak seperti nasib sesetengah negara yang rakyatnya ditindas dan segala kedamaian hanya tinggal kenangan.

Penulis adalah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

182 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »