Isnin, 9 April 2018 | 7:51am
ORANG ramai bersorak selepas Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Najib Razak menyampaikan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 'Bersama Barisan Nasional Hebatkan Negaraku' di Stadium Axiata Arena. - Foto BERNAMA

Antara janji BN, manifesto pembangkang

PELBAGAI andaian dan ramalan dilontar mengenai keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang akan menyaksikan gabungan parti pimpinan Datuk Seri Najib Razak di bawah bendera Barisan Nasional (BN) ditentang Pakatan Harapan (PH), diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jika berdasarkan rekod, kerajaan BN pimpinan Najib yang baru sembilan tahun menjadi Perdana Menteri wajar diberi mandat untuk terus mentadbir kerana cemerlang dalam melaksanakan pelbagai pembangunan untuk negara dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

Kos sara hidup yang menjadi isu turut ditangani, malah kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah untuk membantu rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah, termasuk subsidi berbilion ringgit bagi membantu mengurang dan menstabilkan harga barang keperluan di pasaran.

Contohnya, RM3.9 bilion disediakan sebagai subsidi untuk mengurangkan harga barang dan pengangkutan seperti gas memasak, tepung, minyak masak, elektrik, tol dan sebagainya, RM26.5 bilion pula untuk mengurangkan kos perkhidmatan kesihatan dan perubatan kepada rakyat.

Manifesto BN lebih terperinci

Kerajaan juga memastikan barang keperluan asas dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), mengecualikan GST ke atas lebih 578 barang seperti beras, ayam, telur, ikan, sayur, roti, buah-buahan, petrol, surat khabar dan ubat-ubatan.

Malam tadi, Perdana Menteri melancarkan Manifesto BN yang menjelaskan pelbagai perancangan kerajaan untuk semua peringkat rakyat dan di seluruh pelosok negara secara terperinci yang pastinya dipenuhi.

Bagi PH pula, manifesto dibentangkannya dilihat hanya janji manis dan tidak mudah memperdaya pengundi, malah Dr Mahathir sendiri mengakui manifesto pakatan itu bagi PRU-14 bukan janji yang pasti dilaksanakan.

PH bersenjatakan manifesto 10 perkara, kononnya bagi meringankan beban rakyat dalam tempoh 100 hari pertama menjadi kerajaan, namun sebahagian besarnya adalah kitar semula daripada manifesto pakatan sebelum ini atau Buku Jingga yang ditawarkan pada PRU-13.

Janji menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memerlukan penelitian mendalam mengenai impaknya kepada ekonomi negara dan rakyat. GST bukan asing kerana dikuatkuasakan lebih 160 negara terbukti membantu menangani pelbagai masalah percukaian, termasuk isu peniaga mengelak membayar cukai.

GST sebenarnya meluaskan skop sumber hasil kepada negara. Apakah rakyat sedar hasil kutipan GST diagihkan semula untuk meringankan beban mereka seperti RM6.8 bilion dalam bentuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

GST di Malaysia bukan cukai tambahan seperti didakwa sesetengah pihak, tetapi menggantikan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diamalkan sejak 1970-an. Kadar GST ditetapkan 7 hingga 27 peratus oleh kebanyakan negara ASEAN, Asia Barat dan negara Barat.

Singapura yang menjadi negara contoh dan idaman DAP, menetapkan kadar GST pada 7 peratus, India yang baru melaksanakan sistem itu menetapkannya pada 5 hingga 20 peratus, Norway dan Denmark pula pada 25 peratus dan Hungary, 27 peratus.

GST di Malaysia hanya enam peratus lebih rendah daripada kebanyakan negara dan SST yang dikenakan kepada rakyat pada kadar 16 peratus, iaitu cukai jualan 10 peratus dan cukai perkhidmatan 6 peratus, namun tidak disedari kerana dimasukkan dalam harga barangan.

Meskipun pembangkang mendakwa GST kononnya menyebabkan kenaikan harga barang keperluan, sistem cukai baharu itu sepatutnya mengurangkan harganya kerana pengeluar boleh menuntut semula cukai yang dibayar kepada kerajaan.

Apakah orang tengah atau peniaga menyebabkan kenaikan harga untuk raih untung berlebihan dan biar kerajaan dipersalahkan?

Kenaikan harga barang

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang bersidang baru-baru ini, mendedahkan kenaikan harga barang bukan disebabkan GST, tetapi lebih kepada faktor ekonomi lain seperti peningkatan kos pengeluaran, kekurangan barangan berbanding permintaan dan kemerosotan nilai ringgit.

Malah kadar inflasi semasa yang rendah, iaitu antara dua hingga tiga peratus jelas membuktikan kuasa beli rakyat Malaysia adalah munasabah dan lebih baik daripada lain-lain negara.

Jadi, sekiranya GST, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tol dan duti dimansuh seperti dijanjikan PH, rakyat terpaksa menanggung kehilangan hasil lebih kurang RM416.6 bilion dan secara puratanya, terpaksa menanggung beban lebih RM15,000 seorang.

Program pembangunan dilaksanakan turut tergendala, malah rakyat juga akan hilang peluang pelbagai kemudahan sosioekonomi disediakan kerajaan BN selama ini dalam menjamin kesejahteraan mereka dan negara.

Penulis adalah Penganalisis Politik dan Pensyarah Komunikasi Strategik, Kementerian Komunikasi dan Multimedia

1131 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »