Sabtu, 7 April 2018 | 7:17am
PILIHAN raya memberi mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin atau wakil rakyat pada peringkat Parlimen dan DUN. - Foto Hiasan

Berpolitik matang suburkan demokrasi

RAKYAT Malaysia sekali lagi bakal memilih tampuk kepemimpinan negara yang baharu selepas pengumuman pembubaran Parlimen ke-13 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkuat kuasa hari ini.

Pembubaran Parlimen ini membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dilaksanakan dalam tempoh 60 hari. Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) juga boleh dilakukan bagi mengadakan pilihan raya secara serentak.

Proses demokrasi melalui pilihan raya di negara diuji sekali lagi. Namun, kita percaya proses ini dapat dijayakan dengan sebaik mungkin berdasarkan pengalaman negara mengadakan 13 kali pilihan raya umum (PRU) sebelum ini. Ia tidak termasuk pilihan raya pada 1955 yang diadakan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Evolusi demokrasi dan pilihan raya di Malaysia seiring dengan pembangunan dan kemajuan negara. Jika dalam pilihan raya 1955, hanya 52 kerusi parlimen dipertandingkan, kini jumlahnya bertambah kepada 222 kerusi parlimen. Ini disebabkan pertambahan dan kepadatan jumlah penduduk yang perlu diambil kira seperti yang dijamin oleh undang-undang.

Kecekapan SPR

Jika dahulu keputusan pilihan raya mengambil masa yang panjang, kini ia boleh dicapai dalam tempoh 24 jam saja, hasil kecanggihan teknologi dan kecekapan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengendalikannya. Kebiasaannya, keputusan pertama dalam pilihan raya sudah mula boleh diketahui seawal jam lapan malam.

Serentak dengan pertambahan jumlah pengundi dan penggunaan teknologi, kos mengadakan pilihan raya turut meningkat. Jika dalam PRU 1990 misalnya, kos mengendalikan pilihan raya hanya sekitar RM69 juta sahaja, namun ia meningkat kepada RM400 juta untuk PRU-14 akan datang. Perkara ini sememangnya dijangka dengan mengambil kira peningkatan kos dalam semua aspek termasuk membiayai 250,000 orang petugas sementara.

Di Malaysia, pilihan raya boleh dikatakan berlangsung setiap tahun jika diambil kira dengan pilihan raya kecil (PRK). Ada kajian melaporkan, dalam tempoh satu pilihan raya umum ke satu pilihan raya umum, sekurang-kurangnya ada tujuh atau lapan kali PRK yang diadakan, berpunca daripada kematian, hilang kelayakan atau peletakan jawatan wakil rakyat. Ini bermakna, setiap tahun negara kita menghadapi pilihan raya. Meskipun ia sekadar PRK, negara seolah-olah berpilihan raya umum.

Proses demokrasi

Pilihan raya sering kali dianggap sebagai pesta dan kemuncak kepada proses demokrasi. Ia ditafsirkan sebegitu kerana dalam pilihan raya, rakyat berkuasa bagi menentukan pemimpin dan kerajaan yang akan dibentuk.

Dalam kata lain, pilihan raya memberikan mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin atau lebih tepatnya wakil rakyat pada peringkat Parlimen dan DUN. Kita sangat bersyukur, sejak kita mencapai kemerdekaan, proses demokrasi melalui pilihan raya dapat kita laksanakan dengan aman dan harmoni.

Malah, proses transisi kepemimpinan yang berlaku sama ada pada peringkat Parlimen yang membentuk kerajaan Pusat dan peringkat DUN yang membentuk kerajaan negeri, dapat dijayakan dengan penuh tertib tanpa sebarang anasir kekerasan.

Lebih penting, proses demokrasi melalui pilihan raya membuka ruang persaingan politik yang terbuka. Semua parti politik sama ada parti pemerintah atau pembangkang, mereka sebenarnya berpeluang untuk menjadi kerajaan sekiranya mendapat mandat daripada pengundi.

Dalam buku saya, berjudul Islam dan Demokrasi: Cabaran Politik Muslim Kontemporari di Malaysia, terbitan Penerbit Universiti Malaya (UMPress), saya menyifatkan Malaysia sebagai negara demokrasi muslim yang paling berjaya di dunia kerana semua parti politik yang bertanding mendapat manfaat daripada penyertaan dalam pilihan raya, tidak kira ideologi dan dasar perjuangan mereka.

Kemajuan negara

Pembangunan dan kemajuan sesebuah negara sangat bergantung kepada sistem politik yang diyakini dan diamalkan. Dalam konteks di Malaysia, amalan demokrasi yang subur dan pelaksanaan pilihan raya yang menyerahkan kebebasan memilih kepada rakyat, memberikan asas yang kukuh kepada usaha menjayakan transformasi dan pembangunan negara bangsa.

Namun kita harus ingat bahawa demokrasi bukanlah pilihan raya semata-mata. Jika pilihan raya menjadi satu-satunya ukuran demokrasi, kita hanya akan melihat demokrasi itu terlaksana lima tahun sekali saja. Justeru, demokrasi perlu kita lihat melangkaui pilihan raya dan ini termasuk soal memperjuang keadilan sosial, mensejahtera rakyat dan mencapai perpaduan negara.

Selepas pembubaran Parlimen ini, kita akan melalui proses penting lagi kritikal seperti penamaan calon, kempen dan kemuncaknya, pembuangan undi pada tarikh yang akan ditentukan kelak. Selepas berlangsungnya pilihan raya, kita akan melihat sebuah kerajaan baharu akan dibentuk.

Apa yang penting, mandat yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin dan kerajaan perlu dipulangkan kembali kepada rakyat melalui kepemimpinan yang boleh diteladani dan berintegriti serta dasar yang prorakyat.

Penyertaan rakyat dalam proses demokrasi di negara perlu diteruskan meskipun telah selesai PRU-14. Proses literasi dan kematangan berpolitik dalam kalangan rakyat Malaysia perlu lagi digiatkan dari semasa ke semasa.

Lebih-lebih lagi, dalam keghairahan media sosial, terutamanya pelbagai berita sama ada benar atau tidak benar yang bersifat fitnah akan mudah kita terima. Janganlah disebabkan perbezaan fahaman politik, kita bersikap tidak rasional dan terus berbalah tanpa memikirkan kepentingan umum yang lebih utama.

Sesiapa pun yang memenangi pilihan raya, hakikatnya rakyat Malaysia dan demokrasi yang menang. Selepas kita memilih dan mengundi dalam PRU-14 akan datang, marilah kita rapatkan saf dan muafakat sebagai rakyat Malaysia. Marilah sama-sama kita memperhebat negara. Bak kata peribahasa, biduk berlalu, kiambang bertaut.

Penulis adalah Prof Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu, Majlis Profesor Negara (MPN)

410 dibaca
Berita Harian X