Khamis, 5 April 2018 | 7:30am
Ketua Panel Juri Hakim Anugerah Tokoh HAWANA 2017/2018, Datuk Seri Dr Syed Abdullah Idid (tengah) bersama Datuk Seri Azman Ujang (kanan) dan Chamil pada mesyuarat pemilihan tokoh HAWANA baru-baru ini. - Foto BERNAMA

Sejarah, nilai kewartawanan negara

Dalam satu babak filem arahan Tan Sri P Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok yang menjadi kegemaran ramai, dipaparkan watak ketua penyamun lakonan pengarah itu sendiri, sedang membuka pintu gua tempat persembunyian 40 penyamun dan hasil rompakan mereka.

Baru sahaja beliau mahu mendendangkan kata-kata rahsia yang menjadi kata laluan pintu gua itu, beliau ternampak Ali Baba, lakonan Datuk Aziz Satar sedang memerhati gelagatnya dari atas pokok. Sepatutnya Ali Baba ditangkap atau dibunuh kerana mengintip mereka, namun kerana Ali Baba mengatakan bahawa beliau ialah reporter si ketua penyamun membiarkan beliau.

Meskipun kisah itu hanyalah cereka dan jenaka semata-mata, sedikit sebanyak babak itu menunjukkan bahawa kerjaya wartawan sebagai 'tiket' yang besar. Wartawan boleh berada di mana saja. Kerjaya sebagai wartawan memang menarik dan boleh membawa seseorang itu ke banyak tempat, selain berjumpa ramai personaliti unik daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Wartawan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan hala tuju sesebuah negara.

Sejarah kewartawanan

Bidang kewartawanan bertapak di negara ini sejak 203 tahun lalu, iaitu sejak penerbitan akhbar berbahasa Inggeris The Prince of Wales Island Gazzete di Pulau Pinang pada 1806. Antara penerbitan lain yang muncul pada era itu ialah Singapore Chronicle pada 1824, Singapore Free Press (1835), The Straits Times (1845), The Malay Mail (1896), The Straits Echo (1903) dan The Malay Tribute (1918).

Sementara itu, Jawi Peranakan ialah akhbar bahasa Melayu pertama diterbitkan pada 1876 dalam tulisan Jawi.

Laporan akhbar pada ketika itu berciri tempatan, iaitu berkisar perkembangan semasa negeri masing-masing sahaja. Dengan menempatkan wartawan di setiap negeri, Utusan Melayu yang diterbitkan pada 1939 muncul akhbar pertama berciri nasional yang melaporkan berita dari seluruh negara.

Kewartawanan radio bermula pada 1946 apabila berita radio mula diterbitkan oleh Radio Malaya di Singapura, yang kemudiannya ditukar kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), selepas penubuhan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya, berkata kelompok wartawan pada zaman sebelum merdeka jelas menonjolkan semangat perjuangan.

Dalam usaha membebaskan tanah air daripada penjajah, mereka mendukung dan menyebar-luas aspirasi nasionalisme kepada seluruh masyarakat menerusi penulisan, bukan sahaja melalui laporan berita malah karya fiksyen seperti novel, cerpen dan puisi.

Justeru, tidak hairanlah, apabila ramai tokoh wartawan pada zaman itu turut menempa nama dalam bidang kesusasteraan negara.

"Pada masa inilah lahir tokoh wartawan seperti Abdul Rahim Kajai, Melan Abdullah (Pak Melan), Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dan A Samad Ismail (Pak Samad) serta ramai lagi," katanya.

Pascakemerdekaan

Pascakemerdekaan menyaksikan lebih banyak akhbar diterbitkan seperti Berita Harian pada 1957 dan akhbar berbahasa Inggeris, The Star (1971). Kemunculan kewartawanan penyiaran dengan penerbitan berita televisyen oleh RTM pada 1963 dan TV3 pada 1984, menyemarakkan lagi dunia kewartawanan negara.

Yang turut berkembang ialah penerbitan beberapa tabloid seperti Mingguan Perdana (Januari 1982), Mingguan Wanita (Ogos 1982) dan Bacaria (November 1982). Selain itu, beberapa majalah yang popular ketika itu ialah Wanita mula diterbitkan pada Ogos 1969 dan majalah khas hiburan, Utusan Radio & Televisyen (URTV), pada Januari 1970.

Kelahiran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) pada 1968 juga melakar sejarah sebagai agensi tunggal yang menyalurkan berita kepada organisasi media tempatan dan antarabangsa.

Terkini bidang kewartawanan melalui fasa alam maya dengan kebangkitan pelbagai media sosial yang tidak terbilang jumlahnya. Kini, kebanyakan akhbar mempunyai laman web masing-masing dan boleh diakses melalui internet.

Kemunculan portal berita dalam talian seperti Malaysiakini, Malaysian Digest dan Free Malaysia Today, mengubah landskap kewartawanan negara dengan menuntut laporan berita yang lebih pantas dan terkini.

Selain itu, peningkatan teknologi digital dan penggunaan luas media sosial menyebabkan kerjaya kewartawanan berhadapan pelbagai cabaran, berikutan kewujudan pelapor daripada kalangan orang awam yang menyampaikan berita secara langsung.

Nilai kewartawanan

Chamil menggariskan tiga nilai kewartawanan yang diamalkan, iaitu kewartawanan perjuangan, kewartawanan perkhidmatan awam dan kewartawanan komersial.

Kewartawanan perjuangan menyaksikan wartawan menggunakan profesionnya untuk memperjuangkan sesuatu ideologi yang dipercayainya. Jelas beliau, konteks perjuangan wartawan pramerdeka untuk menuntut pembebasan daripada British.

Mutakhir, wartawan berjuang untuk menentang rasuah, membongkar skandal dan penyelewengan pemimpin negara yang bersifat 'musang berbulu ayam' atau pengkhianat bangsa.

"Mereka mahu membetulkan apa dilihat sebagai silap. Selain membaiki pelaksanaan dasar kerajaan yang kelihatan pincang," katanya.

Dari perspektif kewartawanan perkhidmatan awam pula, wartawan menganggap diri mereka sebagai the fourth estate yang memainkan peranan penting dalam sesuatu negara selepas tiga institusi utama, iaitu penggubal undang-undang, pelaksana dan kehakiman.

Menurut Chamil, golongan berkenaan selalunya lebih beretika dalam membuat laporan dan mengutamakan kepentingan awam.

"Dalam konteks negara ini, ramai wartawan mengambil pendekatan ini dan bertugas dengan berhemah.

"Laporan menegur kerajaan atau pihak berkuasa disampaikan dengan nada sinis dan sindiran," katanya.

Selain itu, kewartawanan komersial pula mengetengahkan nilai berita yang boleh dijual dan menarik perhatian khalayak, seperti berita berunsur human interest, sukan dan hiburan, bagi meraih keuntungan kewangan.

Pergi lebih jauh

Chamil, yang menceburi bidang kewartawanan pada usia 19 tahun berkata, mereka yang menjadi wartawan pada waktu itu memilih kerjaya berkenaan atas minat yang mendalam.

Berbanding generasi wartawan kini yang mempunyai pendidikan tinggi, wartawan terdahulu memasuki bidang itu tanpa memiliki ijazah, malah ada yang hanya berkelulusan Darjah Enam.

Walaupun tanpa latihan di universiti, Chamil berkata, generasi wartawan dahulu cepat belajar selok-belok kewartawanan dan sanggup berkorban masa serta tenaga dalam menjalankan tugas.

"Wartawan generasi sekarang ialah wartawan terlatih dan mempunyai pendidikan yang baik. Mereka golongan profesional.

"Oleh itu, mereka sepatutnya boleh pergi lebih jauh dan boleh menghasilkan karya yang lebih baik," katanya.

Sempena menghargai kerjaya kewartawanan, sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) bakal berlangsung pada Rabu ini sebagai langkah mengangkat martabat wartawan ke tahap sewajarnya.

Sambutan yang julung kali diadakan ini bertema 'Wartawan Membela Bangsa, Membina Negara' akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

BERNAMA

187 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »