;
Isnin, 5 March 2018 | 9:23am

Pelapis bidang arkeozoologi perlu dicari

PENGIKTIRAFAN yang diberikan kerajaan berikutan sumbangan cemerlang beliau dalam bidang pemuliharaan dan kepelbagaian bio di negara ini menjadi inspirasi kepada Earl of Cranbrook kelima, Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy untuk membantu pembangunan arkeozoologi di Malaysia.

Kerjaya awalnya di Muzium Sarawak pada 1956 sebaik sahaja menamatkan pengajian dari Universiti Cambridge membuatkan dirinya cukup dekat dengan Malaysia yang dilihat memiliki kekayaan sumber semula jadi yang perlu terus dipulihara.

Malah, Anugerah Merdeka 2014 yang dimenanginya bagi kategori Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia, menjadi dorongan kepadanya untuk terus membantu usaha pemuliharaan dan pemuliharaan alam semula jadi di negara ini.

Bermula dengan tugasan awal untuk mengkaji mengenai burung walet di Gua Niah, Gathorne banyak merintis jalan kepada kajian mengenai mengenai hidupan liar dan semula jadi di negara ini, selain turut mencetuskan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kepelbagaian bio dan ekologi alam sekitar.

Menariknya, beliau yang juga Kurator Kehormat Muzium Sarawak menggunakan sebahagian wang yang dimenanginya dalam Anugerah Merdeka 2014 untuk membantu pembangunan arkeozoologi, bidang yang menjadi minatnya lebih 50 tahun lalu.

Taja pelajar Malaysia

"Saya gunakan wang dimenangi untuk menaja pelajar Malaysia mendalami bidang zooarkeologi dan kajian dalam kepelbagaian bio ditawarkan di Universiti Cambridge.

"Saya sendiri tidak menyangka hasil minat dalam bidang ini dapat membantu lebih banyak entiti dan individu, termasuk membabitkan projek berkaitan alam semula jadi yang menjadi kepakaran saya.

"Ternyata kemenangan hadiah Anugerah Merdeka itu memberi banyak kesan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga orang lain," katanya kepada BH, dalam satu pertemuan di ibu negara, baru-baru ini.

Gathrone berkata, penting bagi muzium seperti di Sarawak yang kaya menyimpan pelbagai artifak dan khazanah lampau dipulihara untuk kepentingan sejarah dan generasi akan datang.

Malangnya beliau berkata, semua itu tidak mempunyai sistem katalog yang sempurna di muzium berkenaan, berikutan kurangnya pakar tempatan yang dapat menjamin pemuliharaan semua artifak dan khazanah terbabit.

Bagi memastikan usaha itu, Gathrone menyumbangkan RM100,000, iaitu sebahagian wang yang dimenanginya dalam anugerah oleh PETRONAS itu untuk membiayai kos melatih seorang pakar zooarkeologi tempatan yang bakal berkhidmat di Muzium Sarawak.

Usaha itu turut mendapat kerjasama Jabatan Arkeologi Cambridge sendiri dan St John's College, Cambridge untuk membiayai kursus pengajian di universiti berprestij dunia berkenaan.

Malah, seiring usaha berkenaan juga, Muzium Sarawak kini membina bangunan baharu bagi tujuan menaik taraf imejnya dengan konsep baharu untuk menjaga dan memulihara khazanah penting negara.

Gathrone yang berada di Kuala Lumpur atas undangan Yayasan Hasanah baru-baru ini, turut menyatakan mengenai kepentingan koleksi yang pernah dikumpulkan ahli sejarah, Alfred Russel Wallace yang perlu dikongsi dengan rakyat Malaysia.

Koleksi di merata dunia

Katanya, usaha yang dilakukan yayasan berkenaan disifatkan cukup murni dalam membantu lebih ramai pengkaji dan institusi pendidikan tinggi, terutama memahami semua koleksi dimiliki Wallace yang pernah mengembara ke Kepulauan Melayu sekitar 1850-an.

Sebahagian besar koleksi yang pernah dimiliki Russel ketika penjelajahan itu dikatakan berada di merata-rata dunia, apabila ia bukan sahaja dijual kepada orang berbeza, tetapi turut disimpan di beberapa muzium berbeza di serata tempat.

"Alfred Russel ialah sejarah dalam bidang geologikal dan saya sekarang cuba untuk mencari koleksinya yang lain. Apa yang dimiliki sekarang ini hanya dalam bentuk digital.

"Usaha ini penting untuk kita memahami semua koleksi lampaunya yang banyak menyimpan peninggalan menarik, termasuk mengenai kewujudan orangutan di negara ini," katanya.

Alfred Wallace ialah ahli geografi, antropologi dan biologi Inggeris pada abad ke-19 yang terkenal menerusi karya The Malay Archipelago yang memaparkan penjelajahan saintifiknya ke Kepulauan Melayu.

267 dibaca
Berita Harian X