Jumaat, 2 March 2018 | 6:27am

Pakatan cacamarba, empat parti wajah berbeza

Pakatan Harapan (PH) kerap mendabik dada, mendakwa kononnya mereka lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

Namun, PH kini menghadapi masalah serius menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ter- utama dalam isu pengagihan kerusi.

Contohnya, DAP dilaporkan merancang untuk membenarkan calon Parti Amanah Negara (PAN) bertanding kerusi Parlimen Ayer Hitam, menghadapi penyandang daripada BN yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Namun, DAP kemudian membatalkan niat itu dan meletakkan calonnya di situ.

Selain itu, pakatan DAP-PKR-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)-PAN juga belum bersetuju mengenai pengagihan kerusi di Selangor.

Persoalan lebih utama ialah bagaimana mereka mahu membawa negara terus maju apabila calon Perdana Menteri mereka sendiri mengakui hanya akan memegang jawatan itu selama dua tahun sebelum digantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apa akan berlaku sekiranya Anwar masih tidak bersedia selepas tempoh dua tahun itu? Adakah Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus memegang jawatan atau calon lain pula dipilih?

Mungkinkah anak beliau, Datuk Seri Mukhriz dipilih? Itu tentu akan mencetuskan isu baharu dalam PH.

Tempoh dua tahun juga bersamaan hampir separuh penggal tempoh pemerintahan. Tidakkah memegang jawatan sementara seperti itu hanya membuang masa dan tidak akan membolehkan sebarang pencapaian bermakna yang boleh dibanggakan PH mahupun rakyat?

Amat menghairankan juga apabila mendengar Anwar mendakwa bahawa Dr Mahathir yang juga musuh ketatnya, sudah berubah dan komited kepada agenda reformasi.

Malah, ada penyokong PKR memberi hujah, menjelaskan sebab pakatan empat parti berkenaan menerima Dr Mahathir dengan menggelar beliau 'penyelamat gerakan reformasi.'

Hujah mereka bahawa Dr Mahathir berubah secara tiba-tiba dan penyelamat reformasi hanya alasan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

Ia mengingatkan semula kepada sambutan mereka kepada Anwar selepas beliau membentuk PKR pada 1999 dan menyertai pembangkang selepas dipecat oleh UMNO.

Tawar barang sudah rosak

Ringkasnya, pakatan berkenaan sebenarnya menawarkan barangan yang sudah rosak kepada rakyat untuk digunakan semula.

Mereka ketika ini juga memberi fokus untuk mempertahankan Selangor dan Pulau Pinang yang pentadbirannya kini dibelenggu persoalan integriti Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing.

Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menyedari PH menerima tamparan hebat terbaru selepas bekas pemegang jawatan itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkritik kerajaan negeri berhubung isu tanah Ijok.

Abdul Khalid yang dipecat PKR pada 2014 mempertikaikan keputusan kerajaan Selangor menyerahkan tanah seluas 2,198.4 ekar di Ijok kepada dua pemaju yang kontraknya dibatalkan ketika pentadbirannya pada 2009, sebelum dijual semula.

Faktor utama yang dipersoalkan ialah mengapa peneroka tidak dibayar mengikut harga semasa untuk tanah mereka?

Bagaimana boleh penjualan itu menguntungkan semua apabila peneroka hanya dibayar RM421.4 juta, sedangkan pihak lain menerima RM758.6 juta?

Pemimpin PH tentu juga sedar dengan laporan memetik Abdul Khalid sebagai menyatakan kesediaan bekerjasama dengan beberapa bekas Menteri Besar Selangor, termasuk Dr Mohamad Khir Toyo, Tan Sri Abu Hassan Omar, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib serta PAS dalam hal ehwal negeri itu.

Yang turut memberi kesan ialah keputusan mahkamah yang mendapati Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersalah melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) serta dihukum penjara 30 bulan berkaitan isu National Feedlot Corporation (NFC).

Rafizi dikenali ramai kerana banyak kali membuat tuduhan ke atas kerajaan yang sama ada tanpa bukti, tidak berasas sama sekali atau pembohongan semata-mata.

Di Pulau Pinang pula, kerajaan negeri pimpinan DAP terbabit dalam kontroversi projek pembinaan terowong dasar laut menghubungkan pulau itu dengan tanah besar. Ini belum mengambil kira kes banglo yang dibeli Lim Guan Eng di bawah harga pasaran.


Keratan akhbar BH mengenai isu babitkan pembangkang.

DAP tak mesra rakyat

DAP juga dilihat tidak mesra rakyat kerana ada pemimpinnya suka bertukar-tukar kawasan setiap kali pilihan raya, umpama mengaku tidak dapat memberi perkhidmatan berkesan sebagai wakil rakyat dan takut sukar untuk terus mendapat sokongan.

Sebagai contoh, Lim Kit Siang yang bermula di kerusi Parlimen Bandar Melaka kemudian 'melompat' ke Petaling sebelum berpindah ke Kota Melaka seterusnya ke Tanjong dan selepas itu Bukit Bendera, disusuli Ipoh Timur sebelum ke Gelang Patah pada 2013.

Apa khidmat diberi kepada penduduk di semua kawasan itu? Mungkin Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai boleh bertanya selepas ada gosip menyatakan Kit Siang mungkin bertanding di Parlimen Bentong, meskipun pemimpin DAP itu menafikannya.

Pembangkang sering mempertikaikan integriti pemimpin BN dengan mengungkit isu yang kononnya menjejaskan rakyat dan negara, meskipun dakwaan mereka bermotif politik yang mudah disebar media sosial.

Begitupun, pemimpin PH sendiri tidak boleh mendabik dada mendakwa mereka bebas daripada sebarang kesilapan. Ini jika mengambil kira isu dalam kalangan mereka yang menimbulkan keraguan terhadap sejauh mana keberkesanan pakatan itu memerintah berasaskan apa yang berlaku di Selangor dan Pulau Pinang.

Mungkin atas sebab inilah, penyokong pembangkang menggerakkan kempen undi rosak kerana hilang keyakinan kepada PH atas isu dalaman itu.

Jadi, tidak mengejutkan melihat penyokong PH semakin hilang kepercayaan ke atas integriti pemimpin mereka sendiri.

1783 dibaca
Berita Harian X