;
Sabtu, 10 Februari 2018 | 11:48am

PBB dokong aspirasi anak Sarawak

PERHIMPUNAN Agung Ke-14 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula semalam, menyaksikan ketiga-tiga jawatan kepemimpinan utama parti itu tidak dipertandingkan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg terus diberikan kepercayaan sebagai Presiden PBB, selepas mengambil alih jawatan 'nombor satu' itu daripada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan, yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, 11 Januari tahun lalu.

Jawatan Timbalan Presiden I dan Timbalan Presiden II, masing-masingnya disandang oleh dua orang Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai mewakili sayap Pesaka dan Bumiputera PBB.

Bagi PBB yang juga parti politik kedua terbesar di Malaysia, ia cukup dikenali dengan struktur organisasi tersusun, termasuk penyediaan barisan pelapis bagi meneruskan warisan kepemimpinan berpaksikan semangat toleransi dan kesepakatan.

Menginjak usia penubuhannya ke-45 tahun, ia menempuh perjalanan penuh pengalaman dan pengajaran, sekali gus membantu mendewasakannya, termasuk memastikannya kekal relevan dengan perkembangan semasa.

Berkongsi formula kejayaan itu, Awang Tengah menjelaskan bahawa parti berkenaan sentiasa menerapkan disiplin, ketaatan dan kesetiaan, dengan semua elemen itu cukup difahami dan dihayati seluruh ahli dari peringkat akar umbi hingga kepemimpinannya.

"Ia bukan sekadar pegangan, sebaliknya sebagai perlambangan tradisi PBB sejak penubuhannya pada 5 Januari 1973, melalui penggabungan Parti Pesaka Anak Sarawak (PESAKA) dengan Parti Bumiputera Sarawak (BUMIPUTERA).

Patuh kepada ketua

"Kita dididik agar sentiasa patuh kepada ketua. Mesti ada restu. Jika perlu berkorban demi kepentingan dan kelangsungan parti, kita perlu melakukannya dengan hati terbuka bertepatan dengan slogan PBB, Berkorban Bersatu. Ini bukan bermaksud tiada demokrasi dalam PBB, namun kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi," katanya.

Dalam temu bual eksklusif dengan BH, Awang Tengah menjelaskan budaya parti yang mengutamakan sifat kebertanggungjawaban bersama meletakkan PBB di landasan kukuh sebagai parti dominan BN Sarawak.

"Kita memiliki struktur (kepemimpinan) yang baik. Selain sentiasa patuh pada perlembagaan parti, dari peringkat ranting, cawangan hingga ke perhimpunan agung. Kita ambil kira kepentingan semua pihak, majoriti dan minoriti. PBB sebagai parti utama membentuk kerajaan negeri turut merangka dasar bersifat inklusif," katanya.

Bagi Awang Tengah juga, PBB lebih daripada sekadar parti politik, sebaliknya institusi kepemimpinan dalam membentuk kelompok pemimpin berwibawa sehingga tidak pernah ketandusan pemimpin baharu.

"Ada sudah menjadi Menteri, Timbalan Menteri (Persekutuan), Menteri Muda (Kabinet Sarawak), ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen. PBB juga yang pertama menampilkan calon wanita (dalam pilihan raya). Ini proses kematangan ke arah mewujudkan kesinambungan legasi kepemimpinan dinamik.

"Kita tidak membuat keputusan mengikut emosi, tiada semangat kewilayahan, sentimen perkauman atau keagamaan. Gabungan PESAKA dan Bumiputera menjadikannya PBB cukup inklusif mendokong Dasar Politik Matang. Ibarat payung dalam memperjuangkan hak anak Sarawak. Tidak kiralah Bumiputera atau bukan Bumiputera," katanya.

Seiring usianya melangkaui empat dekad, PBB kini muncul sebagai parti berorientasikan rakyat, dihormati dan disegani terutama dalam usaha menuntut kembali hak dan kepentingan negeri dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dirintis Tok Nan.

"Ini hak kita seperti termaktub dalam MA63. Berlandaskan Perlembagaan, kita hanya mahukan ia dihormati. Kita bukan mahu bawa Sarawak keluar dari Malaysia. Tok Nan pernah berkata, Sarawak bersama membentuk Malaysia dan sampai bila-bila pun tetap bersama Malaysia.

"Abang Johari juga secara jelas turut mengulangi pendirian sama dalam ucapan penggulunggannya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), 17 November lalu. PBB juga lantang memperjuangkan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) kerana menyedari kepentingan tanah NCR kepada masyarakat Bumiputera Sarawak," katanya.

PETROS ditubuh

Atas inisiatif PBB juga, yang dimulakan oleh Adenan, kepentingan industri petroleum negeri sentiasa dilindungi sehingga menyaksikan PETRONAS bersetuju memberikan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada syarikat anak Sarawak, sekali gus memastikan mereka terbabit secara aktif dalam sektor minyak dan gas di Sarawak.

Awang Tengah turut bersyukur kerana tampuk kepemimpinan negeri kini berpindah tangan kepada Abang Johari sebagai kapten baharu 'Tim Adenan', lebih-lebih lagi dengan pengalaman luas beliau sebagai veteran PBB.

Di bawah kepemimpinan Abang Johari, tertubuhnya Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang cukup signifikan dalam meningkatkan penyertaan anak Sarawak dalam sektor huluan dan hiliran industri petroleum.

"Penubuhan PETROS menunjukkan kesungguhan ketua menteri untuk memastikan penyertaan kita dalam industri minyak dan gas agar lebih bermakna. Ia antara platform pengukuhan ekonomi negeri, selain penubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dalam memperkasa landskap pembangunan Bumi Kenyalang," katanya.

Tema 'Mentranformasikan Sarawak Melalui Ekonomi Digital' pula memperlihatkan PBB bersiap sedia bergerak seiring dengan perubahan global agar kekal relevan dengan perkembangan semasa.

"Ekonomi Digital itu bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan penting seiring ledakan kemajuan bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ya, dalam PBB, walaupun sejarah sentiasa menjadi rujukan atau pedoman, namun keperluan masa depan sentiasa dititikberatkan.

"Konsep Ekonomi Digital perlu difahami dalam konteks sebenar. Perlu ada kesedaran agar mudah kita menerima pembaharuan. Peruntukan RM1 billion untuk meningkatkan prasarana ICT jelas memperlihatkan komitmen kita dalam hal ini, selain tertubuhnya Lembaga Multimedia Sarawak dan Sarawak Pay," katanya.

347 dibaca
ABANG Johari merasmikan Perhimpunan Agung Ke-14 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching, semalam.- Foto Nadim Bokhari
Berita Harian X