Jumaat, 9 Februari 2018 | 6:19am
Amalan berwakaf seperti dalam sektor kesihatan digalakkan dalam Islam. - Foto hiasan

Perluas skop wakaf ke sektor kesihatan

Amalan berwakaf antara amalan sunat yang amat ditekankan dan digalakkan dalam Islam. Kenyataan ini bersandarkan kepada amalan Rasulullah SAW dan sahabat yang sentiasa berlumba-lumba mewakafkan harta mereka untuk kebaikan agama.

Seluruh sahabat berebut-rebut melakukan amalan mulia ini apabila mengetahui kelebihannya yang akan menjadi saham akhirat kepada pewakaf.

Bahkan, ada dalam kalangan sahabat melahirkan rasa sedih dan mengadu kepada Rasulullah SAW kerana mereka tidak mampu bersedekah (berwakaf) akibat kemiskinan.

Sebagai Muslim sejati yang mengetahui bahawa perlunya membuat persiapan untuk ke alam akhirat, berlumbalah mengerjakan kebaikan secara berterusan, terutama sekali berwakaf. Amalan berwakaf tidak hanya terhad kepada membuat masjid, mewakafkan tanah perkuburan, membina sekolah dan seumpamanya.

Sudah tiba masanya kita melihat wakaf dalam skop lebih luas seperti wakaf pendidikan, wakaf tunai, wakaf korporat, wakaf kesihatan dan lain-lain, supaya masyarakat tidak hanya melihat dan memahami wakaf dalam skop yang sempit.

Antara bentuk wakaf yang perlu diberi tumpuan ialah wakaf kesihatan seperti pembinaan hospital, peralatan rawatan dan kemudahan bagi kegunaan pesakit. Pada hari ini, kos rawatan antara yang diberi penekanan dan memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi.

Bantu kurangkan beban

Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada bantuan dan subsidi kerajaan, sebaliknya perlu bersama-sama membantu mengurangkan bebanan perbelanjaan rawatan, menerusi amalan berwakaf seperti rawatan hemodialisis.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata jumlah rakyat Malaysia yang mengalami masalah buah pinggang semakin meningkat, dengan 6,000 kes baharu dicatatkan setiap tahun.

Kerajaan pula memperuntuk tidak kurang RM1.6 bilion bagi membiayai kos rawatan pesakit buah pinggang tahap 5 di negara ini, menunjukkan bahawa golongan yang memerlukan rawatan hemodialisis adalah sangat tinggi.

Peningkatan kos rawatan hari ini yang menggerunkan, pastinya memberi kesan mendalam terhadap golongan asnaf memandangkan setiap pesakit memerlukan rawatan sebanyak tiga kali seminggu membabitkan kos sekitar RM2,000-3,000 sebulan.

Antara alternatif untuk membantu golongan asnaf ialah dengan menubuhkan pusat hemodialisis secara wakaf untuk mengurangkan beban kewangan bagi pesakit golongan asnaf.

Kesimpulannya, membantu sesama insan yang memerlukan adalah tanggungjawab bersama dan amalan yang murni. Setiap sumbangan wakaf bagi mengurangkan bebanan saudara kita, dikira sebagai amalan soleh yang menjadi bekalan berterusan di alam akhirat nanti.

Penulis adalah Pengarah Pusat Wakaf dan Zakat Universiti Sains Islam Malaysia

174 dibaca
Berita Harian X