Khamis, 8 Februari 2018 | 12:42pm
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara selama 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank termasuk milik National Feedlot Corporation (NFC) pada 2012. - Foto Asyraf Hamzah

Jangan ikut perasaan dedahkan maklumat sulit

Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam selepas disabitkan kesalahan mengikut Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Seorang lagi yang menerima nasib sama ialah bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, kerana bersubahat dengan Naib Presiden PKR berkenaan.

Rafizi, 41, didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.

Johari pula yang didakwa bersubahat dengan Mohd Rafizi dituduh mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama.

Kesalahan dilakukan mereka ialah mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.

Susulan hukuman ke atas Ahli Parlimen Pandan itu, pelbagai tafsiran dibuat mengenai statusnya selaku Ahli Dewan Rakyat serta peluang pemimpin PKR berkenaan bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Mengikut Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang itu tidak layak menjadi calon pilihan raya sekiranya dijatuhi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Artikel sama juga menyebut, seseorang wakil rakyat boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman sama.

Dalam reaksi segera, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dilaporkan berkata, kedudukan Rafizi termasuk sebagai calon pilihan raya, hanya akan muktamad selepas semua proses perundangan berkaitan, termasuk rayuan selesai sepenuhnya.

Pendapat sama juga dikongsi pengamal undang-undang, Datuk Hasnal Rezua Merican yang menegaskan, status Rafizi sebagai Ahli Parlimen kekal kerana beliau masih boleh mengemuka rayuan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

"Rafizi masih boleh merayu untuk hukuman lebih rendah, namun jika tiada keputusan mengenai rayuan sehingga PRU-14 diadakan, beliau tidak layak bertanding, bertepatan dengan undang-undang negara," katanya.

Selain persoalan mengenai status Rafizi selaku wakil rakyat, tidak kurang juga yang menerima sinis keputusan mahkamah, merumuskan kes berkenaan mempunyai kaitan dengan agenda politik.

Mereka enggan mentafsir peruntukan undang-undang yang melarang seorang pengarah atau pegawai mana-mana institusi berlesen atau sesiapa yang memiliki akses kepada mana-mana rekod daripada memberi, mengeluarkan, memberitahu, mendedahkan atau mengumumkan kepada sesiapa, apa-apa maklumat atau dokumen berkaitan perkara atau akaun seorang pelanggan tanpa persetujuan pelanggan.

Mengapa pula dikaitkan kes itu dengan politik? Apakah terlalu istimewa seseorang itu apabila bergelar wakil rakyat sehingga kebal daripada undang-undang, sedangkan mangsa perbuatan mereka mengalami pelbagai tekanan.

Seksyen 97(1) BAFIA tidak seharusnya dipolitikkan kerana sesiapapun tidak akan terlepas daripada pendakwaan di mahkamah jika terbukti melanggar undang-undang berkenaan.

Tidak kiralah sama ada yang melakukan kesalahan itu ahli politik, kakitangan swasta atau kerajaan atau orang awam.

Hakikatnya, mendedahkan maklumat sulit kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta atau mana-mana organisasi salah jika ia dilindungi di bawah undang-undang tertentu.

Hukuman yang diterima Rafizi dan rakan subahatnya sepatutnya menjadi pengajaran untuk orang lain agar memahami peraturan dan tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat sulit yang dilindungi mengikut undang-undang.

Seperti nasihat seorang lagi pengamal undang-undang, Salim Bashir, keputusan mahkamah dalam kes Rafizi, bukan saja sebagai pengajaran kepada ahli politik, tetapi juga mereka yang gemar mendedahkan maklumat yang dilindungi menerusi media, sama ada media konvensional atau media sosial.

4951 dibaca
Berita Harian X