;
Khamis, 8 Februari 2018 | 6:19am
GAMBAR fail, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim (dua dari kanan) melancarkan laman Tahun Memperkasa Wanita 2018 di Facebook pada Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM Bil 1/2018 di Putrajaya pada 9 Januari lalu. Turut kelihatan Timbalan Menteri KPWKM Datuk Azizah Mohd Dun (tiga dari kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Suriani Ahmad (kanan). - Foto Nursyahirah Marzuki

TMW18 lahir lebih ramai usahawan wanita

Ketika dunia berdepan dengan era digital dan Revolusi Industri 4.0, kerajaan tidak pernah mengabaikan golongan wanita dengan mempersiapkan mereka ke arah itu.

Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18) memperlihatkan inisiatif negara bertujuan memperkasa dan memacu golongan Hawa sebagai persediaan menghadapi persaingan pada peringkat global.

Justeru, lima kluster utama membabitkan bidang ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesihatan dan kebudayaan dipilih serta menjadi tumpuan utama kerajaan dalam memastikan usaha ini membuahkan kejayaan menerusi 345 program yang dirangka Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensinya, Jabatan Pembangunan Wanita.

Pemilihan lima bidang berkenaan selaras dengan Dasar Wanita Negara, selain fokus utama untuk memastikan setiap wanita menjadi inklusif dan diberi peluang menghadapi setiap cabaran yang mendatang.

Ketua Pengarah jabatan itu, Datuk Yatimah Sarjiman, berkata keadaan ekonomi semasa yang semakin tidak menentu dan mencabar pada masa depan memerlukan wanita diketengahkan sebagai guna tenaga penting negara.


GAMBAR fail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bergambar bersama ikon wanita, Tengku Datin Paduka Setia Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Pengasas Bersama Fashion Valet, Datin Vivy Yusof selepas melancarkan logo dan jenama Tahun Memperkasa Wanita 2018 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 17 Januari lalu. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Katanya, ia bukan sahaja mampu menjana pendapatan negara ketika berdepan dengan cabaran ekonomi, paling utama peranan wanita dalam pembangunan negara terus dipertingkatkan.

Statistik Jabatan Perangkaan Malaysia 2016 menunjukkan kadar pembabitan tenaga buruh wanita hanya 54.3 peratus berbanding 80.2 peratus lelaki, membuktikan perlunya galakan berterusan supaya wanita terus diberi peluang dan tidak ketinggalan dalam bidang ekonomi untuk menyamai lelaki.

Lahir wanita berdikari

Pastinya tumpuan TMW18 terhadap bidang ekonomi diharapkan mampu melahirkan lebih ramai wanita yang mampu berdikari, membina empayar perniagaan sendiri seperti yang dibuktikan pengasas Fashion Valet dan The Duck Group, Datin Vivy Yusof serta pengasas juga pengarah NH Prima International, Noor Neelofa Mohd Noor.

Pemilihan dua usahawan muda sebagai ikon Wanita Gemilang TMW18 dilihat tepat untuk menarik lebih ramai golongan Gen Y menceburi bidang keusahawanan secara serius.

Kesihatan wanita ialah aspek yang tidak boleh diabaikan, apatah lagi statistik Jabatan Perangkaan tahun lalu menunjukkan golongan wanita hidup 4.7 tahun lebih lama berbanding lelaki, iaitu 77.4 tahun. Sehubungan itu, penting untuk memastikan golongan wanita sihat fizikal dan mental ketika mencecah usia berkenaan.

Malah, jaminan kesihatan menjadi asas kukuh untuk membina keluarga cemerlang, sihat dan ceria dengan memastikan pelbagai program dan kempen pencegahan penyakit berbahaya dianjurkan untuk kesedaran wanita.

Seiring peredaran zaman

Keharmonian negara pasti terjejas jika aspek keselamatan masih terabai dan penindasan serta keganasan terhadap wanita terus berleluasa.

Statistik Polis Diraja Malaysia sejak 2010 hingga Mac 2017 menunjukkan jumlah kes keganasan terhadap wanita yang dilaporkan sebanyak 57,519 kes, dengan 40 peratus daripadanya membabitkan kes keganasan rumah tangga.

Pastinya sokongan masyarakat penting untuk memastikan semua bentuk keganasan terhadap wanita dihapuskan menerusi program termasuk literasi undang-undang, seminar antijenayah dan kempen Eliminate Violence Against Women (EVAW).

Pendidikan elemen penting dalam pembangunan negara dan peranan wanita dalam bidang ini juga perlu ditingkatkan dengan tumpuan diberikan kepada sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM), seiring dengan peredaran zaman.

Kluster ini penting bagi memastikan wanita terus diberi peluang untuk meningkatkan tahap pendidikan mereka sama ada secara formal, atau sebaliknya kerana hanya dengan ilmu mampu memartabatkan mereka untuk bersaing ke peringkat antarabangsa.

Jati diri yang tinggi dan rasa kecintaan terhadap negara tidak akan dicapai tanpa penghayatan dan pegangan teguh terhadap budaya bangsa. Aspek budaya dilihat mampu mengubah persepsi dan andaian lebih tepat mengenai peranan gender dalam masyarakat, berikutan terlalu banyak stigma dan tanggapan serong terhadap wanita yang perlu diperbaiki.

408 dibaca
Berita Harian X