Rabu, 7 Februari 2018 | 7:29am
- Gambar hiasan

Masyarakat benteng pencegah penularan wabak sosial

Gerakan kesedaran bagi memupuk sikap prihatin terhadap isu keselamatan sosial masyarakat Kelantan dilancarkan Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di Tumpat, baru-baru ini. Program dinamakan Bicara Kelantanku Sejahtera ialah inisiatif terbaharu Majlis Dakwah Negara (MDN) cawangan Kelantan bertujuan mengajak masyarakat supaya aktif berperanan menangani cabaran isu keselamatan sosial di segenap peringkat dan lapisan.

Data dibentangkan oleh pihak keselamatan menunjukkan cabaran keselamatan sosial di Kelantan membimbangkan. Jenayah yang tidak terkawal akan menggugat kesejahteraan sosial masyarakat sekiranya ia tidak dicegah dari sekarang. Kes curi, pecah rumah dan ragut antara kes utama perlakuan jenayah di Kelantan yang menjadi cabaran keselamatan sosial pada masa ini.

Pelbagai punca dikenal pasti membawa kepada perlakuan jenayah ini. Analisis mendapati perlakuan jenayah berkait rapat dengan gejala penagihan dadah. Penagihan menjadi faktor mewujudkan tekanan dan ini mendorong penagih terjebak melakukan jenayah.

Pencegahan awal

Pihak berwajib mengambil banyak inisiatif menangani gejala penagihan dadah, terutama tindakan pascaketagihan. Pusat serenti memainkan fungsinya mengembalikan semula penagih ke pangkal jalan. Serbuan dan tangkapan pihak keselamatan terhadap suspek banyak membantu dan menghalang kesan buruk.

Sementara semua usaha dialu-alukan, resolusi mengesyorkan supaya strategi dan langkah pencegahan hendaklah diberi keutamaan. Pencegahan awal langkah terbaik mengurangkan perlakuan jenayah seterusnya menjamin kesejahteraan sosial berkekalan.

Program Kelantanku Sejahtera ialah kempen sosial bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya yang akan menimpa mereka, sekiranya gejala jenayah ini tidak dicegah dan dibendung dari awal. Pada tahap ini, masyarakat tidak boleh menyerahkan tugas membendung masalah sosial kepada pihak berkuasa semata-mata.

Peranan masyarakat penting sebagai benteng pencegah penularan wabak sosial. Antara tugas utama mereka ialah mengenal pasti ruang kelemahan yang membawa kepada penularan perlakuan jenayah, merangka langkah membendungnya, serta menggerakkan kegiatan pencegahan menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak setempat.

Sehubungan itu, antara syor utama dikemuka ialah keperluan pembentukan badan khas yang berfungsi sebagai jawatankuasa perundingan pembangunan sosial di setiap peringkat daerah diwujudkan. Badan ini hendaklah berada di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan dan peranan mereka diiktiraf secara rasmi.

Menerusi jawatankuasa ini, ia menjadi wadah penyertaan sukarela dan profesionalisme kepada ahli akademik, tenaga profesional, agamawan, bahagian keselamatan dan aktivis sosial untuk berbincang dan merangka strategi terbaik bagi mengatasi isu keselamatan sosial dihadapi masyarakat setempat.

Fungsi masjid

Syor lain yang dikemuka juga ialah kepentingan pengupayaan fungsi masjid dalam gerakan pemerkasaan sosial dan pencegahan perbuatan jenayah. Dalam konteks Kelantan, peranan masjid amat strategik memandangkan kedudukan dan fungsi imam diakui dan dihormati oleh masyarakat terbanyak. Kepemimpinan imam yang berkesan penting ter- utama dalam memberikan khidmat nasihat serta bimbingan, terutama kepada golongan yang terjebak dengan masalah sosial di peringkat mukim masing-masing.

Setiap masjid di Kelantan disyorkan mewujudkan biro khas bagi menangani isu keselamatan sosial ini. Biro ini berperanan dalam mengenal pasti setiap warga kariah yang berkemungkinan berpotensi terjebak gejala sosial.

Wajar juga sekiranya masjid di peringkat daerah di Kelantan bergabung dan mewujudkan dewan penyelarasan khas antara sesama mereka. Menerusi dewan masjid peringkat daerah, gerak kerja bersama dalam pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat setempat dapat diselaraskan. Dalam konteks Kelantan, masyarakat terbanyak berasa lebih selesa mencurah khidmat mereka memandangkan institusi ini bersifat neutral dari segi politik. Keadaan ini satu kelebihan yang perlu terus dipertahankan.

Masalah sosial yang dihadapi masyarakat hari ini disumbang oleh faktor yang saling berkait rapat. Aspek kesedaran keagamaan, tahap ekonomi, kualiti pendidikan dan institusi keluarga yang rapuh, antara faktor penyumbang kepada isu keselamatan sosial semasa. Sehubungan itu, antara syor lain yang dikemuka juga ialah kepentingan isu kerapuhan institusi keluarga diberi perhatian dalam rangka membina ketahanan sosial masyarakat.

Institusi keluarga yang ampuh boleh berperanan secara berkesan dalam agenda pencegahan jenayah dan menangani masalah sosial. Bagi tujuan itu, program pendidikan kekeluargaan hendaklah dijayakan secara berterusan. Peranan ibu bapa dalam pembangunan anak di rumah satu kemahiran yang mesti dipelajari dan dilatih tanpa henti. Dalam banyak analisis, ramai dari kalangan mereka yang terjebak dengan isu keselamatan sosial berlatar belakang dari institusi keluarga yang rapuh dan tidak seimbang.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Dakwah Negara (MDN) dan juga pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM

142 dibaca
Berita Harian X